Isu Pembubaran Parlimen
Anwar Ibrahim dan PKR
kuda-kepang
12 Februari 2008: Hari ini banyak pihak berteka-teki: benarkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan bagi pembubaran parlimen pada 13 Februari 2008? Benarkah esok, Rabu, merupakan hari Mesyuarat Kabinet yang terakhir bagi kerajaan Abdullah? Betulkah PRU12 akan dijalankan dalam seminggu dua lagi?
Jawapan kepada seluruh teka-teki di atas adalah: Abdullah belum mengadap Agong. Esok bukan Mesyuarat Kabinet terakhir bagi Abdullah. PRU12 belum pasti diadakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
Mana saya perolehi jawapan di atas? Daripada orang dalam. Siapa mereka? Itu rahsia kerana etika kewartawanan mengizinkan saya melindungi sumber-sumber maklumat saya. Bolehkah info ini dipercayai? Kalau nak percaya, silakan. Kalau tak percaya, apa boleh buat!
Sebagai maklumat tambahan, sumber-sumber saya menyatakan bahawa Mesyuarat Kabinet terakhir bagi Abdullah adalah pada 27 Februari 2008. Pada 26 Februari 2008, beliau dijangka mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.
Kalau begitu, tidak mungkinkah parlimen akan dibubarkan pada 1 Mac 2008, hari penamaan calon pada 13 Mac 2008 dan pembuangan undi pada 22 Mac 2008? Kesemua tarikh ini mati dengan angka 4. 1 Mac adalah 1+3=4. 13 Mac adalah 1+3=4. 22 Mac adalah 2+2=4.
Saya ramalkan tarikh di atas kerana kata orang, Abdullah sangat menggemari angka 4. Tapi, jika Abdullah bukannya kaki nombor, ini bermakna parlimen mungkin dibubarkan pada atau selepas 27 Februari 2008. Dan, ini juga bermakna bahawa seluruh komuniti politik tanah air akan terus berteka-teki mengenai tarikh PRU12 yang sebenarnya.
Dalam kesibukan komuniti politik berteka-teki seperti di atas, malam ini saya ketemu sahabat dan bos lama saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama isteri, YB Datin Seri Wan Azizah Ismail, di satu majlis deklamasi puisi anjuran Prihatin Malaysia atau PRIMA, di kediaman Tan Sri Khalid Ibrahim, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, kami yang duduk bersebelahan, hanya terluang waktu beberapa minit sahaja untuk bertukar-tukar maklumat siasah. Sebaliknya, Anwar memperli saya kerana kononnya mengambil sikap “atas pagar” dan saya pula mengucapkan “selamat berjuang” kepada beliau yang akan memimpin Barisan Alternatif dalam PRU12.
Dalam pada itu, pengacara majlis memperkenalkan saya sebagai mantan Ahli Parlimen Parit Sulong. Saya pun berkata: “Saya memang mantan AP Parit Sulong. Tetapi, kehadiran saya dalam satu majlis bersama Anwar bukan untuk mengesahkan ura-ura kononnya saya akan bertanding atas tiket PKR bagi parlimen yang sama dalam PRU12.”
Para hadirin yang hampir 200 orang, majoritinya warga PKR, karyawan, cendikiawan dan warga korporat, ketawa berderai mendengar kata-kata tersebut.
Apa pun, sama ada benar atau tidak saya akan bertanding atas tiket PKR, Anwar tetap sahabat yang saya kenali sejak 1969 - murah dengan senyuman, karismatik, berjiwa besar dan masih lagi penuh dengan api perjuangan yang terus membara.
Kepada Anwar, saya sampaikan menerusi blog ini satu mesej daripada seorang sahabat: “BN goyang di lima negeri. BA mungkin boleh sapu BN kalau ketengahkan calon yang secocok.”
Saya tidak tahu sama ada mesej itu benar atau propaganda semata-mata. Bagaimanapun, saya ucapkan selamat berjuang dan selamat maju jaya! – Ruhanie Ahmad
Feb 13, 2008
Isu Pembubaran Parlimen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment