
Majlis Taklimat Di Unisel-Ulasan
desakerayongindah
Majlis Taklimat yang berlangsung di Kampus Utama Unisel, Bestari Jaya (dahulunya Batang Berjuntai) pada 27 Februari 2008 (Rabu) yang lalu pada jam 10:00 pagi telah dihadiri oleh Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor, MDKS, LPHS, Probil Sonati dan pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah.
Apa yang menariknya, majlis tersebut diadakan secara tergesa-gesa bilamana surat jemputan ke majlis taklimat tersebut hanya mula diedarkan melalui pos pada hari Isnin 25 Feb 2008. Oleh yang demikian, maka sebilangan pembeli terutamanya yang tinggal di luar Lembah Klang menghadapi kesukaran untuk menghadirinya. Ditambah pula ianya diadakan pada hari Rabu iaitu hari bekerja. Ini tidak termasuk ada pembeli yang menerima surat jemputan tersebut pada beberapa hari selepas majlis taklimat itu berlangsung.

Dari cakap-cakap yang kita dengar, majlis taklimat yang diadakan ini adalah atas arahan daripada pihak atasan yang boleh kita andaikan sebagai memenuhi diari kerja. Ini ditambah lagi dengan Protes yang diadakan telah tersebar luas bukan sahaja di Selangor, malahan seluruh negara dan menjadi bahan kempen parti lawan. Oleh sebab ianya juga diadakan secara tergesa-gesa, maka mereka yang memberikan taklimat pada hari tersebut ternyata tidak bersedia dan terpaksa berhadapan dengan kemarahan pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah yang menghadapi kesusahan sejak 9 tahun yang lepas.
Apa yang sedihnya bilamana pihak yang memberi taklimat telah mendedahkan kepada pembeli yang hadir tentang banyak lagi kes rumah terbengkalai yang terdapat di Selangor ini. Mereka pula terpaksa berkejaran ke sana ke mari untuk mengaturkan majlis taklimat sedemikian bagi menunjukkan kepada pembeli bahawa bukan mereka sahaja yang menghadapi nasib sedemikian dengan harapan agar kemarahan pembeli akan menjadi reda.

Tidak perlu rasanya untuk kita mengulas panjang lebar berkenaan dengan tujuan utama mereka mengadakan majlis tersebut yang tak lain hanya untuk sekadar gimik pilihanraya untuk memancing undi sepertimana yang berlaku ke atas pembeli-pembeli Alam Perdana semasa kempen pilihanraya Ijok pada 28 April 2007 yang lalu.
Tambahan pula pihak yang terlibat menganjurkan majlis taklimat itu hanya orang ketiga yang pada akhirnya tidak akan mampu untuk merealisasikannya. Mereka hanya berjanji untuk membawa permasalahan rumah terbengkalai ini kepada pihak atasan untuk diberikan perhatian sedangkan dalam masa yang sama pihak atasan sedang sibuk meraih simpati rakyat untuk kekal berkuasa.

Manakala Desa Kerayong Indah sebenarnya tidak mempunyai keistimewaan seperti rumah pangsa Alam Perdana ini. Bolehkah mereka mengumpulkan tidak kurang 70% pembeli untuk meneruskan pembinaan rumah tersebut, sedangkan kehadiran di majlis taklimat tidak sampaipun 10%?
Dimanakah wang sebanyak RM70 juta yang diperlukan oleh Kontraktor Baru menyiapkan projek ini, sedangkan secara puratanya banyak wang pembeli telah dileburkan sehingga ada mencecah 95%~100%. Atau ianya sekadar omong-omong kosong yang menyatakan kesediaan Kontraktor Baru untuk meneruskan projek sedangkan dalam masa yang sama ada sejumlah pembeli yang telah memfailkan kes ini ke mahkamah. Bagaimana harus mereka memasuki tapak projek tersebut?
Apakah pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah, sekali lagi akan termakan janji-janji yang ditaburkan pada kali ini? Sedangkan perkara yang sama telah mereka lakukan sejak 9 tahun yang lalu dengan mengadakan pelbagai mesyuarat demi mesyuarat, tetapi akhirnya tidak menjadi.
Nasihat kepada pembeli yang masih mahupun rumah tersebut :-
- Pertambahan Kos - Secara logiknya, mana-mana kontraktor baru yang mengambil alih projek terbengkalai, pasti akan ada sedikit pertambahan kos, itupun kalau keadaan rumah/tapak adalah sempurna semasa ditinggalkan oleh kontraktor lama. Inikan pula Desa Kerayong Indah yang keadaan rumah yang telah rosak teruk dan keadaan peningkatan harga barangan semasa seperti besi, simen dll. Sekiranya Kontraktor Baru mengatakan bahawa tiada pertambahan kos, bermakna ada sesuatu yang tak kena yang perlu diambil perhatian....
- Perjanjian Baru - Mana-mana kerja yang hendak dibuat oleh satu-satu syarikat mestilah tertakluk kepada syarat-syarat dan terma-terma. Inilah yang dikatakan perjanjian. Sekiranya tiada perjanjian, bermakna Kontraktor Baru akan terlepas segala tanggungan (legal) sekiranya mereka gagal menyiapkan projek tersebut, sedangkan pada masa itu Bumi Circle telah terlepas dari tanggungan secara legal (tempoh dan hadmasa berakhir). Bak kata pepatah, terlepas mulut harimau masuk pula mulut buaya.
- 70% Pembeli - Mampukah mereka memujuk seramai tidak kurang 70% pembeli (sekurang-kurangnya 700 orang) untuk meneruskan projek tersebut sedangkan Tempoh dan Hadmasa terawal akan berakhir pada Jun 2008 ini?
- Kontraktor Baru - Siapakah Kontraktor Baru ini? Apakah latar belakangnya sebelum ini pernah menyiapkan dengan sempurna unit-unit rumah kediaman?

Jadikanlah sejarah kes Desa Wawasan Lesung Batu di Negeri Melaka sebagai sempadan untuk kita menilai apakah maksud dan tujuan mereka yang sebenarnya. Sebagai rekod... bekas ADUN yang terlibat sama di dalam projek tersebut telahpun dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun atas kesalahan penyalahgunaan kuasa semasa memegang jawatan sebagai EXCO.
Kita bukanlah bermaksud untuk mengetepikan hasrat pembeli-pembeli yang lain untuk memiliki rumah di Desa Kerayong Indah, tetapi apa yang perlu dibimbangi adalah permainan dan tipu helah mereka untuk menidakkan HAK pembeli dan sekaligus melenyapkan hak pembeli untuk membuat tuntutan gantirugi bilamana tempoh dan had masa berakhir.
Dalam episod seterusnya...kita akan kupas berdasarkan kepada sumber-sumber yang dipercayai, bagaimana mereka akan mendapatkan dana sebanyak tidak kurang RM70 juta untuk meneruskan projek Pembesaran Kampung yang telah gagal ini.
- Apakah mereka mampu memperolehi dana sebanyak itu dalam masa yang terdekat?
- Apakah akan adanya suntikan dana daripada pihak-pihak yang berkepentingan demi untuk menutup keterlibatan secara salah pihak-pihak (VIP) yang terlibat di dalam projek ini?
- Apakah bentuk balasan yang bakal dinikmati oleh Kontraktor Baru bilamana tiada satupun kontraktor lain yang sanggup menyiapkan projek yang ditinggalkan oleh Bumi Circle ini?
- Mengapakah ada sesetengah pihak yang beriya-iya benar hendak meneruskan projek yang ternyata sudah tidak bermaya ini? Tunggu.....
Semoga apa yang akan terbongkar ini akan menjadi iktibar kepada semua pihak bahawa setiap yang HAK itu akan tetap menjadi HAK bilamana kebathilan akan terhapus dengan doa yang mustajab dari mereka yang teranaiya.
Wassalam.
Blogger
1 comments:
macammana dengan kerajaan bar. dapat tolong selesaikan masalah ini atau kena selesaikan sendiri sebab tiada kaitan dengan kerajaan negeri.
dengar khabar dah meeting dengan mb khalid taoi tiada sebarang perkembangan positif. macam biasa kerajaan tak dapat tolong.
Post a Comment