SUK Nafi Bekas MB Tandatangani Perjanjian Dengan Puncak Niaga
bernama
SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud menafikan bahawa bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menandatangani perjanjian dengan Puncak Niaga Bhd sehari sebelum pilihan raya umum lepas.
Beliau berkata perjanjian yang membabitkan penyelengaraan dan operasi pelan rawatan air Sungai Sireh itu ditandatangani oleh beliau sendiri bukan Dr Mohamad Khir.
"Benda ni dah lama, mungkin pihak Puncak Niaga dah lupa dan diluluskan exco dan mendapat nasihat dari Kementerian Komunikasi, Air dan Tenaga serta penasihat undang-undang untuk menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas upacara Penyerahan Watikah dan Angkat Sumpah Menteri Besar Baru Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Istana Bukit Kayangan di sini.
Ramli berkata beliau telah menyemak dan Dr Mohamad Khir tidak menandatangani sebarang dokumen perjanjian.
Beliau berkata dokumen itu memang ditandatangani sehari sebelum hari pengundian tetapi ia tidak membabitkan Dr Mohamad Khir kerana kelulusan berhubung perkara itu telah dipersetujui kira-kira setahun lepas.
Katanya, penyediaan semua dokumen yang diperlukan berhubung perjanjian itu siap kebetulan sehari sebelum hari mengundi dan beliau sendiri yang menandatanganinya.
Mengikut laporan sebuah akhbar hari ini, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Dr Mohamad Khir dengan Puncak Niaga sehari sebelum hari pengundian dan ia disahkan oleh seorang pegawai kanan walaupun dinafikan oleh Dr Mohamad Khir semalam.
Sementara itu, mengulas dakwaan dokumen yang dimusnahkan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Ramli berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dan jika didapati ia berlaku, tindakan akan diambil terhadap pegawai yang terbabit.
RAKYAT CERDIK HARUS BERFIKIR
4 hours ago
0 comments:
Post a Comment