kickdefella
Penyu Menangis Kit Siang Bukan Tahu!
Menjelang lapan malam tadi, para pemberita sibuk mencari logik disebalik kenyataan Lim Kit Siang dan jawatankuasa kerja DAP (CEC) yang mahu memulaukan upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru.
DAP merasakan Menteri Besar Perak sepatutnya dari DAP atau setidak-tidaknya dari PKR dan bukan PAS. Setelah anaknya Lim Guan Eng mengenepikan terus PAS dari Kerajaan Rakyat di Pulau Pinang, bapanya pula menyiram petrol ke atas air yang sudah mula membara.
Sukar memaksa rakyat berfikiran rasional apabila pemimpin sendiri buta dari melihat dan pekak dari mendengar. Sebab itu rakyat menolak BN.
Sedihnya, bila rakyat mula bertanya, adakah mereka telah membuat pilihan yang bijak. BN menerusi komponennya yang menyaksikan begitu banyak jaguh mereka tumbang di bumi Maharajalela yang pernah menumbangkan J.W Birch akan tersenyum. Rakyat akan dipersendakan dan rakyat akan diherdik bahkan dikeji kerana pilihan mereka yang kini cuba dibuktikan oleh Lim Kit Siang sebagai satu keputusan yang silap.
Mungkin Lim Kit Siang dan anak beranaknya dan rakan-rakannya di dalam DAP tidak melihat sendiri bagaimana rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India beratur untuk mengundi PAS di Selangor, di Kedah, di Kelantan dan di Perak, di Pulau Pinang dan tentu sekali di Wilayah Persekutuan.
Mungkin Lim Kita Siang dan anak beranaknya berkata di dalam hati mereka, ah, orang Cina dan India yang mengundi PAS itu semua adalah orang-orang Cina dan India yang dulunya mengundi BN jadi bukan ada kepentingan bagi DAP sebab selama ini mereka ini tidak pernah mengundi DAP.
Di dalam tulisan-tulisan saya yang lalu, saya telah membuat kesimpulan terhadap DAP, ramai mengeji saya. Tapi hari ini, Lim Kit Siang telah memalukan mereka yang mengeji saya dengan membenarkan segala tulisan saya.
Tidak salahlah pengamatan saya bahawa DAP adalah sebuah parti zaman Jurasik.
Di dalam rakyat Malaysia mengorbankan masa depan mereka dengan mengundi sesuatu yang baru, yang belum terbukti berjaya dan kalau sudah terbukti pun hanyalah di Kelantan sahaja, kini rakyat Malaysia seolah dibangkitkan pula oleh suatu mimpi ngeri yang mereka tahu boleh berlaku, tetapi berdoa agar tidak berlaku sewaktu mereka membuang undi mereka 8 Mac yang lalu.
Bagaimana agaknya perasaan pengundi-pengundi Cina dan India yang telah mengundi PAS dan memenangkan calon PAS apabila melihat seorang yang bangga berdiri sebagai jaguh Cina sendiri menghina parti yang kaum mereka undi.
PAS menerima undi dari mereka yang bukan Islam dengan penuh kesyukuran dan mengakui, pengundi-pengundi ini tidak mengundi atas dasar ideologi. Oleh yang demikian PAS menghormati pengundi-pengundi ini. Selain daripada penyokong PAS, mereka yang mengundi PAS di luar Kelantan mengundi PAS bukan atas dasar mahu penubuhan sebuah Negara Islam. Tetapi mereka mahu mengajar BN di atas segala ketidak adilan selama ini. Oleh yang demikian, PAS memberi pelbagai jaminan dan membuktikan keterbukaannya mahu mewakili rakyat Malaysia dengan menubuhkan kerajaan Rakyat di Kedah, membuka laluan kepada mereka rakyat Malaysia untuk menerajui Majlis Meyuarat Negeri Kedah sehinggakan menyediakan satu posisi kepada ADUN dari DAP di Kedah tanpa menghiraukan kuota kemenangan DAP. Untuk rekod, DAP hanya menang satu kerusi DUN di Kedah. Dan untuk rekod, kaum Cina dan India terpaksa diwakili oleh PKR dalam exco Kerajaan Negeri Kedah.
Keputusan ini di buat, walaupun setelah Lim Guan Eng langsung tidak menyebut PAS di dalam pengumuman penubuhan kerajaan di Pulau Pinang sehingga membuat penduduk Pulau Pinang yang beragama Islam mula gusar.
Apakah Lim Kit Siang begitu tidak sensitif sekali sehingga bersedia menjatuhkan maruah Tuanku yang menerajui tahta di Perak supaya Tuanku terpaksa menggunakan fasa dalam perlembagaan negeri yang memberi kuasa kepadanya melantik seorang yang bukan Melayu/Islam mengetuai Kerajaan Negeri? Mengapa Lim Kit Siang tidak boleh menghormati PKR yang sudah bersetuju demi kebaikan kerajaan campuran, apakah pula yang akan terpalit kepada Anwar Ibrahim?
Adalah lebih mudah jika DAP membuat keputusan supaya PAS tidak dimasukan ke dalam Kerajaan Campuran di Perak sebagaimana tidak di Pulau Pinang. Biar sahaja kerajaan minoriti di tubuhkan di Perak oleh BN. Yang penting bukanlah DAP, PKR, PAS maupun BN. Yang penting ialah rakyat Malaysia. Yang penting adalah rasa selamat rakyat Perak. Yang penting adalah keutuhan tahta Tuanku di Perak.
Saya yakin pendirian pemimpin-pemimpin PAS di dalam isu ini adalah amat rasional dan bukannya mereka kemaruk untuk merebut jawatan teraju. Mereka berusaha siang dan malam menubuhkan kerajaan dengan segera supaya proses demokrasi dilengkapkan dan tidak memusnahkan harapan rakyat.
Setiap hari yang berlalu mengundang lebih banyak tekanan kepada semua pihak. Setiap hari berlalu menimbulkan beribu persoalan di kalangan rakyat. Mungkin masanya DAP keluar dari alam Jurasiknya dan berfikir seperti pemikiran manusia di abad ke 21.
Kita tidak lagi memperkatakan tentang perbezaan, kita tidak lagi bercakap soal Melayu, Cina dan India. Majoriti kita telah membuktikan bahawa kita berdiri sebagai Orang Malaysia. Tetapi kita sedar, untuk kita berjaya sebagai orang Malaysia, kita hendaklah biarkan Melayu, Cina dan India serta lain-lain kaum di Malaysia merasa selamat.
Jika kita tidak selamat, kita tidak akan aman, tanpa keamanan, tiadalah kemakmuran.
Salam buat rakyat Malaysia, semoga tabah melalui saat getir ini.
RAKYAT CERDIK HARUS BERFIKIR
4 hours ago
0 comments:
Post a Comment