Mungkin surat ini dibuat oleh seorang ibu bapa yang kaya dan berada ataupun pihak kementerian pelajaran sendiri melakarkan surat ini untuk kononnya menyetujui apa saranan kerajaan, sila baca
Ibu bapa, sekolah mesti sefahaman (Berita Harian)
ANAK-ANAK baru saja memulakan sesi persekolahan 2008 mereka, ini bermakna ibu bapa sudah menjalankan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan menghantar anak untuk menimba ilmu pengetahuan yang bakal menentukan masa depan mereka.
Beberapa hari sebelum sesi persekolahan bermula, saya mendaftarkan anak saya ke Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Kulai, Johor, pada hari berkenaan, pihak sekolah menjalankan penjualan buku dan bayaran tambahan.
Bagi saya yang berpendapatan sederhana dan atas rasa tanggungjawab sebagai ibu bapa segala bayaran yang dikenakan oleh pihak sekolah memang berpatutan dan tidak membebankan. Mungkin ada beberapa bayaran yang dianggap oleh segelintir ibu bapa tidak perlu dikenakan seperti pembelian kemeja-T sekolah, bayaran saham koperasi, tag nama bergambar dan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Sebagai ibu bapa, saya faham tujuan pihak sekolah mewajibkan pembelian kemeja-T, iaitu agar ada keseragaman sewaktu menjalankan aktiviti PJK.
Bayaran saham koperasi adalah untuk pihak sekolah mendapat dana modal menjalankan aktiviti perniagaan dan wang saham itu, boleh dituntut semula apabila mereka tamat persekolahan di samping dividen setiap tahun. Begitu juga keperluan tag naman dan yuran PIBG.
Bagaimanapun, ada ibu bapa yang mempertikaikan harga buku latihan yang dikatakan terlalu mahal. Bagi saya harga itu amat berpatutan dan hampir semua sekolah berhampiran mengenakan harga yang sama.
Saya amat kagum dengan pihak pentadbiran sekolah berkenaan yang tetap memberi layanan baik walaupun ada ibu bapa yang sengaja menimbulkan ketegangan.
Sebagai bapa, saya malu dengan sikap ibu bapa yang amat berkira untuk pelajaran anak tetapi untuk perkara yang tidak begitu penting seperti bayaran yuran Astro, tambah nilai telefon bimbit, telefon bimbit mahal dan kereta mewah, mereka tidak berkira.
Ingatlah rakan ibu bapa, janganlah terlalu meminta semuanya percuma, pihak kerajaan sudah memansuhkan yuran peperiksaan dan pemberian buku teks percuma. Kalau semuanya percuma di mana tanggungjawab dan pengorbanan kita sebagai ibu bapa.
Jagalah perlakuan kita sebagai ibu bapa ketika berhadapan dengan pihak sekolah dan janganlah mencari populariti murahan. Jangan sampai anak kita malu dengan sikap dan perlakuan kita dan hilang hormat kepada kita kerana tindak tanduk yang melampau.
BAPA PRIHATIN,
Kulai Utama, Johor.
Perbalahan ini timbul kerana sikap kerajaan yang membuat keputusan membabi buta disamping keadaan ekonomi yang tidak baik. Kepada rakyat yang mewah mungkin mereka tidak sedar. Namun bila rakyat bertelagah tentang isu ini, akibatnya rakyat berpecah kepada dua. Yang mampu, akan menyokong saranan kerajaan. Manakala yang tidak mampu pula akan menyalahkan kerajaan kerana setiap perbelanjaan akan mempengaruhi perbelanjaan bulanan mereka yang lain.
Kebanyakan mereka yang beranggapan bahawa yuran dikenakan itu tidak membebankan atau buku latihan tidak semahal yang disangka adalah datangnya dari kalangan mereka yang tidak memikirkan isu dan kaitannya secara menyeluruh. Bukan hanya belanja penyekolahan anak yang perlu diberikan tumpuan tetapi makan dan minum keluarga serta perkara asas kehidupan perlu difikirkan bersama. Manakala keadaan ibu bapa yang kini mungkin tertekan dengan barangan mahal dan keadaan ekonomi yang tidak baik menjadikan keadaan bertambah tegang. Tambahan lagi, punca pendapatan mungkin terhad kerana hanya suami yang bekerja. Ramai yang kini mengadu kekurangan kerja lebih masa 'overtime', peluang perniagaan merosot dan tidak kurang juga yang dibuang kerja.
Kepada BAPA PERIHATIN (Penulis surat tersebut), adalah lebih baik anda mengisi tabung derma untuk membantu mereka yang tidak mampu dari asyik menyalahkan rakyat sedangkan mereka tidak minta menjadi SUSAH pun. Agak agak berapa yang dia mahu bantu?
0 comments:
Post a Comment