LPKP gempur teksi ‘ali baba’
Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
HULU LANGAT - Noktah untuk gejala 'ali baba'. Itulah azam Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang akan bertindak tegas membanteras kegiatan itu di kalangan pemandu teksi.
Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran menegaskan, pihaknya tidak akan memberi muka lagi kepada kegiatan 'mementingkan keuntungan di atas angin' itu.
"Sebelum ini kita berjaya membanteras kegiatan 'ali baba' di kalangan syarikat bas, tetapi kali ini tumpuan akan diberikan kepada pemilik teksi pula.
"Kalau betul setelah disiasat ada di kalangan mereka (pemilik teksi) menjalankan kegiatan 'ali baba', saya tidak akan teragak-agak untuk membatalkan permit.
"Sebenarnya bukan sahaja teksi, apa saja kegiatan yang berkonsepkan 'ali baba' akan menyebabkan beban pelbagai kos meningkat dan ini menyusahkan semua pihak," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Larian Jubli Emas MSSM Selangor 2008 anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan KOSMO! pada 13 Februari lalu berhubung kegiatan 'ali baba' atau dengan kata lain pemilik teksi sebenar menyewakan kenderaannya kepada beberapa pihak lain semata-mata untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.
Menurut Markiman, gejala 'ali baba' menyebabkan ada di kalangan pemandu yang menyewa teksi daripada pemilik sebenar terpaksa membayar kos sewa teksi dengan kadar yang lebih tinggi setiap hari.
Sementara itu, ditanya adakah beliau telah menemui pihak pengurusan RapidKL dan RapidPenang berhubung isu mogok pemandu bas kedua-dua syarikat itu pada minggu lalu, Markiman memberitahu, ia sedang dilaksanakan oleh pegawainya.
"Saya dah hantar beberapa orang pegawai untuk mendapatkan maklumat secara lebih terperinci di kedua-dua syarikat ini dan kini ia masih dalam peringkat perbincangan," katanya.
No2umno -Sudah disondol bontot, baru buat kerja. Sebelum ini buat tahi mata. Itu pun takut bermusim. Bila orang dah senyap....tengok timbul lagi pemandu bas dan teksi dari kalangan pendatang asing. Atau setakat lepas batuk ditangga, lepas kan waktu pilihanraya.
0 comments:
Post a Comment