thoughtsintangents
Sudah pun dikemukakan petanda kekalnya pengaruh Khairy dari analisa Pak Lah akan sebab kekalahan BN. Pak Lah memberi gambaran ini kerana golongan muda Melayu menolak DEB/DPB, apabila sebenarnya Khairy dan pemesong DEB/DPB lain yang ditolak; lagi pun sudah lama disyaki Khairylah hipokrit pembenci serta musuh dalam selimut DEB/DPB. Di sini ingin diajukan sedikit 'bukti' kekalnya Khairy sebagai pengemudi pentadbiran Pak Lah berdasarkan susunan kabinet.
Melihat prestasi buruk BN pada PRU-12 dan berdasarkan desakan lantang menggesa perletakan jawatan beliau, Pak Lah beraksi dengan begitu licik sekali. Sudah kembali ahli politik yang berjaya hidup begitu lama dalam UMNO walaupun dikelilingi musuh yang berkuku-taring lebih tajam. Malang sekali yang kepintaran tersebut agak kurang dalam menangani pentadbiran negara, mahupun menguruskan pilihanraya umum, tetapi di dalam UMNO, Pak Lah tetap gagah.
Setelah menerima maklumat jelas bahawa perlindungan dan kuasa tidak rasmi yang dikurniakan beliau kepada Khairy merupakan antara tunas kekalahan BN, Pak Lah mengambil kesempatan terdekat untuk:
1. Mengelak dari melantik Khairy ke jawatan kabinet.
2. Membenarkan propaganda menular yang nyawa politik Khairy sudah hampir hilang di media perdana serta halaman web pro-kerajaan seperti Malaysian Insider.
3. Membenarkan Pemuda UMNO memutuskan supaya Mukhriz Mahathir tidak dikenakan tindakan disiplin atas tindakan beliau menulis surat memohon perletakan jawatan Pak Lah sendiri.
Ini menunjukan seolah-olah Khairy bukan faktor dalam pentadbiran kerajaannya sekarang. Tambah pula:
1. Menteri yang kurang popular seperti Rafidah Aziz dan Radzi Sheikh Ahmad digugurkan.
2. General-general setia Pak Lah seperti Noh Omar diberi pangkat menteri sebagai persediaan perhimpunan agung UMNO.
3. Panglima-panglima pemimpin lain seperti Shabery Cheek diberikan kedudukan menteri dalam usaha menarik sokongan mereka.
4. Panglima-panglima yang sudah pasti tidak akan dapat ditarik kesetiaan kepada Pak Lah, seperti Tengku Adnan dan Jamaluddin Jarjis telah digugurkan, walaupun prestasi mereka yang lepas boleh tahan juga.
5. Pemimpin UMNO yang sering lantang mengkritik dari luar seperti Shahrir Samad dan Zaid Ibrahim pula cuba didiamkan dengan kedudukan baru.
6. Dibawa masuk juga sepahi upahan Muhamad Muhamad Taib sebagai menteri yang terjamin setia kerana kembalinya ke tampuk kuasa atas jasa Pak Lah.
Pemilihan kabinet Pak Lah tepat dengan tujuan mempertahankan kedudukan beliau dalam UMNO. Namun, Pak Lah mungkin terlalu sayangkan Khairy hingga tidak upaya beliau menidakkan pengaruh Khairy sama sekali. Contohnya:
1. Wan Ahmad Farid, teman setia Khairy yang melicinkan pengagihan projek di Terengganu suatu masa dahulu kini dilantik menjadi Timbalan Menteri.
2. Azalina, rakan sejawat Khairy semasa beliau menjadi pengacara TV dahulu, menonjol sebagai satu-satunya wakil Wanita UMNO di kabinet. Adakah ini petanda beliau bakal merampas kuasa kepimpinan wanita kelak? Khairy masih terhutang budi kepada Azalina yang lebih berhak menjadi wakil rakyat di Rembau, kampung asal-usul bapanya.
Perlantikan kabinet menunjukkan Pak Lah, dalam usaha mempertahankan hidup politiknya, sedia mengenepikan sedikit Khairy. Namun pengaruh Khairy terlihat kekal walaupun hanya ala-kadar. Mungkin perlantikan pada peringkat agensi-agensi kelak akan menonjolkan lagi tahap pengaruh Khairy pasca PRU-12; benarkah sudah dikekang, atau hanya sekadar wayang kulit sahaja beliau diketepikan dari kabinet.
Mar 19, 2008
Benarkah Sudah Berakhir Riwayat Politik Khairy?
Labels: Beruk Rembau, Kabinet Baru
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment