Kabinet Dalam Lif
tehranifaisal
Lif di pangsapuri saya tersangatlah lembab. Hai kalaulah saya boleh salahkan DEB kerana kelembapan ini. Makin lama, makin ramai penghuni berhimpun di hadapan lif. Ada yang berwajah lesu kerana seharian bekerja keras, ada yang oleh letih setelah bekerja keras itu sempat tersengguk sekejap di depan lif. Ada dua orang Tionghua yang mengepit akhbar berbahasa Cina edisi petang dengan foto wajah Rafidah Aziz semacam terperanjat. Ada sepasang kembar pulang dari sekolah menghela beg besar. Mak cik Musalmah Lebar juga terbit entah dari mana, tersenyum pahit sahaja kepada saya.
Kami semua menanti. Masing-masing kurang mempeduli. Saya percaya dalam hati semua orang menyumpah seranah kelembapan lif itu. Hai kalaulah boleh disalahkan DEB kerana hal ini. Tiba-tiba dua orang penghuni (mereka adalah penari Istana Budaya, menginap di tingkat 14) muncul dan berbual-bual tentang kabinet baharu. Saya kira perbualan mereka amat menarik untuk dirakam di sini. Sila maklum bahawa institusi Istana Budaya duduk di bawah takluk KEMENTERIAN PERPADUAN, KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN WARISAN
Penari 1: Lega aku dah tak ada pak cik itu jadi menteri. Dia nak semua orang ikut cakap dia sahaja. Problemo betul. Dulu dia perah tenaga kita menari di kawasan parlimen dia sepanjang kempen. Mujur dia dah pindah ke Kementerian lain. Waktu dia jadi menteri, asyik-asyik konsert sahaja dianjurkan IB. Tak ada pengisian penting lagi signifikan pun. Muak aku.
Penari 2: Aku fikir lebih baik kau jangan lega, lebih baik kau cemas.
Penari 1: Kenapa?
Penari 2: Menteri baharu yang jaga Istana Budaya sekarang ini, dahulunya, barang runcit pun dia tak dapat nak kawal kenaikan harganya. Minyak masak pun selalu tak ada. Bila tak ada dia salahkan penyeludup. Kau tak cemas? Minyak masak pun tak boleh tangani apatah lagi muzium dan arkib, boleh lingkup segala warisan budaya.
Penari 1: Ye ke?
Dan pintu lif pun terbuka. Kami bergegas masuk ke dalam. Pintu lif tertutup. Semua senyap. Tiba-tiba mak cik Musalmah Lebar yang terselit di penjuru lif mencelah, "Aku yang paling tak puas hati sebab tak ada Kak Dah. Kalau tak ada Kak Dah, Kak Limah kan ada? Masa banjir dulu dia sungguh-sungguh naik bot tahu tak? Orang lain mana? Makan nasi kandar lagi ada."
Saya berkerut, dalam hati memikir langsung teringat. 'Haah, Kak Limah berpengalaman juga. Menang pun majoriti besar juga.'
Kemudian masing-masing sampuk menyampuk.
Sungguh, demam pilihanraya belum berakhir. Malah drama menjadi lebih tebal dengan plot. Hah, bercakap tentang plot, jangan lupa dapatkan buku panduan penulisan kreatif saya 'Karya nan Indah'. Bukan setakat menjelaskan apa itu plot, terdapat juga sembilan buah cerpen disertakan.
Mar 19, 2008
Shafiee Apdal bakal lingkupkan segala warisan budaya
Labels: Belit Shafie Apdal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment