Mohd Azmi Abdul Hamid
harakahdaily.net
TERAS melihat senarai menteri Kabinet yang baru dilantik oleh Perdana Menteri tidak meyakinkan untuk membariskan jamaah Kabinet yang dapat memperbaiki masalah yang diresahi oleh rakyat.
Ternyata bahawa mendatangkan semula beberapa orang yang telahpun mempunyai masalah di kaca mata rakyat kerana terlibat dengan salah guna kuasa adalah sesuatu yang jelas tidak membantu untuk memulihkan keyakinan rakyat.
Kami tidak nampak Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang dipilih untuk kali ini mampu membawa perubahan kepada rakyat desa melainkan hanya menghasilkan projek-projek yang lebih menonjolkan imej daripada membawa perubahan sebenar yang diperlukan oleh rakyat.
Adakah seorang yang sudah tercatat mempunyai rekod membawa jutaan ringgit tunai ke luar negara boleh dilihat bersih untuk membangun masyarakat desa?
Demikian juga melantik seorang peguam sebagai "Menteri Undang-Undang" yang jelas mempunyai rekod cenderung untuk menyokong pemikiran sekular dan liberal mengenai Islam di negara ini. Kami terpaksa menyatakan bantahan terhadap perlantikan menteri dari orang yang yang cenderung untuk bersikap liberal kepada persoalan murtad.
Ini juga jelas kelihatan betapa menghadirkan semula seorang bekas Setiausaha Parlimen di JPM sebagai Timbalan Menteri yang dipersoalkan oleh rakyat mengenai pandangannya terhadap isu mencari nafkah melalui pelacuran, juga sangat disangsikan.
Soalnya kini, orang ugama yang benar-benar mahu memurnikan imej kerajaan kerana sikap yang semakin liberal terhadap agama tidak kelihatan dapat dipilih dari golongan pemerintah yang ada.
Kelihatan juga barisan Kabinet yang dipilih PM tidak banyak melihat kredibiliti seseorang calon, melainkan membayangkan barisan yang boleh mengekal kuasa pihak tertentu dari digugat oleh pergolakan yang sedang kencang berlaku dalam parti pemerintah.
Persoalan yang sangat besar yang diresah oleh rakyat ialah ketiadaan menteri-menteri kerajaan Pusat dari mereka yang tegas dan berwibawa untuk membersihkan imej kerajaan. Barisan Kabinet yang dilantik kali ini maseh belum memperlihatkan kewibawaan untuk mengubati keresahan rakyat.
* Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden TERAS
Mar 19, 2008
Teras persoal perlantikan Mat Taib, Zaid dan Mashitah
Labels: Kabinet Baru
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment