Kertas Undi Pos Setiawangsa: Ada nombor siri dan nama bertindih, muslihat terbaru SPR?
(Harakah)- "Penggunaan peti undi lutsinar, dakwat jari pengundi dan ketiadaan nombor siri pengundi pada kertas undi seperti yang diumumkan sebelum ini akan dilaksanakan pada pilihan raya umum ini."
"Tiada siapa tahu anda undi siapa," demikianlah janji 'manis' Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada 14 Februari lalu.
Namun lain pula halnya tentang undi pos yang mana terdapat nombor siri yang tertulis pada slip kertas undi yang membolehkan pihak-pihak tertentu khususnya Tentera dan Polis mengenal pasti undian yang dibuat oleh anggotanya.
Perkara ini berjaya dikesan di Pusat Agihan kertas undi di Stadiaum Titiwangsa bagi Parlimen Setiawangsa pagi tadi oleh kira-kira 20 agen pengundian termasuk wakil calon KeADILan Mohd Mustafa Ghanzanfar sewaktu memerhati pengagihan kertas undi pos untuk tentera dan polis dibuat oleh pihak SPR.
Perkara itu menimbulkan sedikit kekecohan dan mendapat bantahan agen kerana sebelum ini Rashid telah berjanji tidak akan menggunakan nombor siri pengundi pada kertas undi tetapi yang berlaku di pusat tersebut adalah sebaliknya, kata Mustafa.
Sebelum ini, seorang agen KeADILan telah bergegas ke pejabat Hararah tengah hari tadi bagi memaklumkan kejadian terbabit dan turut menunjukkan rakaman salah satu kertas undi kepada Harakahdaily yang sempat dirakam melalui telefon bimbitnya.
"Lebih membimbangkan dua kertas undi yang mempunyai nombor siri dan nama anggota tentera yang sama dimasukkan ke dalam karung yang sama menyebabkan saya membantah dan minta kertas yang kedua dikeluarkan," kata Mustafa yang dihubungi Harakahdaily.
"SPR enggan dan menjawab bahawa jika terdapat lebihan kertas undi, pihak Tentera akan mengenal pasti sendiri dan mengeluarkan kertas undi tersebut," kata Mustafa menjelaskan jawapan SPR itu.
Beliau memberi satu contoh seorang anggota tentera Zulhairi Bin Zainon (KP/T 533580) yang tertera nombor siri 3906 daripada rejimen semboyan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai dua kertas undi yang sama yang dimasukkan ke dalam kotak dan karung yang sama.
Manakala karung atau kotak tersebut akan dibawa ke pusat pembuangan undi Tentera dan Polis di tempat asing-masing yang telah dinyatakan oleh SPR sebelum ini.
Begitu juga bagi nombor siri 3954 untuk anggota Mohd Kamal Bin Keliwon (KP/T 53766) daripada rejimen sama mengalami situasi yang sama termasuk nombor siri yang lain seperti 11856, 3896, 3897 dan 2700, kata Mustafa.
"Pertama kali kami (agen KeADILan) telah dipanggil untuk menyemak nama anggota tentera yang disebutkan dan kertas undinya di masukkan ke dalam satu karung. Kemudian kali kedua kami dipanggil, nama anggota sama disebutkan dan kertas undi kedua pula dimasukkan ke dalam karung yang sama," katanya.
"Ini mendatangkan kebimbangan kepada anggota tentera dan polis untuk mengundi dan ini mengurangkan keyakinan orang ramai terhadap ketelusan SPR selama ini terhadap undi pos dan seluruh proses pilihan raya kali ini," kata Mustafa yang masih berada di pusat tersebut untuk melakukan pemantauan dan penyemakan.
"Situasi ini akan meberi kesan kepada 221,085 pengundi pos di seluruh negara. Mana janji Rashid dan ini muslihat terbaru SPRkah?," katanya.
Pengundian bagi Undi Pos akan dijalankan pada 3hb Mac bagi polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) manakala 5hb Mac ini bagi tentera di Mindeff, masing-masing di Jalan Semarak dekat sini, kata Mustafa.
Parlimen Setiawangsa menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Zulhasnan Rafique ditentang anak bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Ibrahim Yaacob, 56, yang bertanding di bawah tiket KeADILan.
MAHATHIR MAHAKAYA, MAHAZALIM... KEH.. KEH...
1 hour ago
0 comments:
Post a Comment