Lanjusoh
Harakah
KOTA BHARU, 29 Feb (Hrkh) – Malaysians For Free And Fair Elections (Mafrel) menganggap undang-undang bagi menjamin kebebasan dan keadilan perjalanan pilihan raya di negara ini sudah tidak berfungsi.
Pengarah Mafrel Wilayah Timur, Dr Abdul Halim Yusof berkata, lumpuhnya penguatkuasaan pihak yang bertanggungjawab memburukkan lagi keadaan.
“Fenomena ini seakan-akan sudah menjadi satu normal masyarakat yang diterima pakai secara sah. Oleh itu Mafrel ini menanyakan sampai bila perilaku ini akan berlanjutan.
“Sampai bila undang-undang terus diperkosa dan diperkotak-katikkan. Siapa yang sepatutnya memulakan langkah pembaikian. Mahukan kita mengaku sebagai negara bertaraf dunia sedangkan amalan dipandang hina masyarakat,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.
Menurutnya Mafrel sebagai badan pemerhati bebas pilihan raya di negara ini mendapat banyak laporan tentang berlaku salahlaku secara meluas dalam proses pilihan raya.
Antaranya laporan media yang amat berat sebelah dengan memberi laporan yang tidak seimbang.
Sedangkan kata Dr Abdul Halim tuntutan amalan demokrasi perlu memberi keadilan kepada semua pihak dalam liputan media bagi membolehkan parti-parti bertanding menyampaikan mesej kepada rakyat.
Apa yang berlaku sekarang katanya wujud laporan yang mengelirukan dan pemalsuan maklumat.
Selain itu Mafrel juga mendapati berlaku secara meluas pemberian wang dan sogokan kepada pengundi secara terang-terangan, mengenakan tekanan terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan dengan ugutan ditukar tempat bertugas.
Memberi bantuan kepada pelajar dengan memaksa ibu bapa bersumpah mengundi pihak tertentu dan menggunakan agensi kerajaan untuk berkempen termasuk mesyuarat PIBG.
Dr Abdul Halim berkata, kesalahan tersebut secara jelas bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Sedangkan menurutnya pilihan raya merupakan proses demokrasi yang paling penting dalam sesebuah negara.
Oleh itu Mafrel menuntut semua pihak yang masih mempunyai maruah memberhentikan amalan yang hina itu bagi mengembalikan kedaulatan undang-undang.
Sementara itu Mafrel cawangan Kelantan melantik lebih 300 sukarelawan bagi memantau pilihan raya umum kali ini. Di seluruh negara Mafrel mempunyai lebih 1,000 sukarelawan pemantau.
Mafrel diiktiraf Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bebas bagi memantau perjalanan pilihan raya di negara ini. - mj
Mar 1, 2008
Undang-undang jamin keadilan pilihan raya tak berfungsi - Mafrel
Labels: Belit SPR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment