Hentam Anwar, perilaku Chandra pelik dan amat membingungkan - Wee Choo Keong
Wan Nordin Wan Yaacob
harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Serangan peribadi Dr Chandra Muzaffar terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim amat tidak bertanggungjawab dan menunjukkan hilangnya integriti moral cendekiawan tempatan itu, kata veteran politik Wee Choo Keong.
Wee, yang merupakan bekas pemimpin DAP Bukit Bintang dan calon KeADILan Wangsa Maju berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Chandra dalam satu forum khas 'Pilihan Raya Umum Malaysia 2008' anjuran akhbar The Star dan Pusat Kajian Media Asia 3 Mac lalu.
Dalam forum itu, Chandra memberi amaran kepada rakyat Malaysia untuk tidak menyokong pembangkang dan berkata, sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri, rakyat mengundang 'malapetaka'.
Mengulas lanjut, Wee dalam satu laporan Suara KeADILan semalam berkata, serangan peribadi Chandra kepada Anwar bertujuan menyelamatkan air muka BN dari kritikan rakyat.
Pendirian sebenar Chandra ini dapat dibaca dalam kenyataan malam itu yang menegaskan bahawa tiada perikatan lain di negara ini selain BN, dakwa Wee.
"Serangan Chandra malam itu jelas cubaan untuk mensabotaj usaha rakyat," tegas Wee lagi.
Wee berkata, beliau amat kecewa dengan serangan peribadi Chandra terhadap pemimpin reformasi yang dimalukan dan dipenjarakan di bawah ISA pada 1998 kerana menentang pentadbiran rasuah BN.
"Dr Chandra Muzaffar tiba-tiba bertukar arah dan membenarkan dirinya dimanipulasikan oleh parti BN sehingga sanggup melempar fitnah terhadap Anwar Ibrahim dan secara tidak langsung mempengaruhi rakyat Malaysia untuk tidak menyokong pembangkang," kata Wee.
"Apa yang dikatakan Chandra di forum anjuran The Star itu tidaklah mengejutkan melihat kepada rekodnya dahulu. Kata-kata seperti itu harus disimpan dalam tong sampah," tegur Wee.
Dalam forum itu Chandra menuduh Anwar sebagai seorang ektremis Islam yang anti-Hindu. Tuduhan tersebut dibuat dengan merujuk kepada insiden pertelingkahan agama antara Islam-Hindu di Kampung Rawa, Pulau Pinang, Mac 1998.
Namun begitu, selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri itu pada September 1998, Chandra menyokong Anwar dan menyertai KeADILan.
"Perilaku Chandra ini amat pelik dan membingungkan," kata Wee.
Sikap hipokrit ini kata Wee dapat dilihat dari awal penubuhan KeADILan lagi.
Menurut wee, selepas beliau dan teman-teman dipecat dari DAP, mereka memutuskan untuk menyertai KeADILan yang dilihat platform yang sesuai memerangi rasuah dan penyelewenangan kuasa.
"Namun pada ketika itu, Chandra selaku Timbalan Presiden KeADILan, mengisytiharkan semua bekas DAP dilarang dari menyertai KeADILan," jelas Wee.
"Seraya dengan itu, kami menyeru Chandra untuk terus menjadi pengkritik dalam penjara akademiknya dan berhenti dari menghina kebijaksaan orang-ramai," katanya.
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
3 hours ago
0 comments:
Post a Comment