zul4kulim
06 March 2008
KENYATAAN AKHBAR
ZULKIFLI BIN NOORDIN
CALUN PARLIMEN P-18
KULIM BANDAR BAHARU
KULIM REPOT NO: 001625/ 08
BERTARIKH 04.03.2008
Saya telah ditunjukkan dengan keratan akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 02.03.2008 dimana dimuka surat 3 dilapurkan bahawa Pegawai Pengurus Pilihanraya kawasan P-18 Mat Noh Ahmad telah membuat lapuran polis mendakwa kononnya saya ”gagal mengemukakan penyata perbelanjaan Pilihanraya 2004 ketika menyerahkan permohonan untuk bertanding kerusi Parlimen Kulim/ Bandar Baharu dalam Pilihanraya Umum Ke 12 pada 8 Mac ini”.
Kenyataan yang dibuat ini dan cara lapuran ini disebarkan menunjukkan ianya berniat jahat dan berbaur dengan unsur politik dengan tujuan memberi gambaran seolah-olah saya tidak layak bertanding dalam PRU 12 ini. Tambahan apabila ianya dibuat tatkala kempen pilihanraya sedang rancak berjalan.
Fitnah ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh pihak-pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah yang pengundi tidak perlu mengundi saya pada 8 Mac ini kononnya saya tidak layak bertanding. Maka jika saya menang pilihanraya pun tidak ada gunanya kerana Mahkamah akan membatalkan kemenangan saya. Malahan lapuran akhbar tersebut diakhiri dengan satu kenyataan ”sekiranya Zulkifli memenangi kerusi Parlimen Kulim/ Bandar Baharu, BN boleh mengemukakan petisyen di mahkamah pilihanraya bagi memohon membatalkan kemenangan berkenaan”.
Adalah jelas kenyataan ini dibuat dengan matlamat dan tujuan untuk mempengaruhi pengundi yang saya tidak layak untuk bertanding. Pihak Pengurus Pilihanraya P-18 termasuk Mat Noh Ahmad langsung tidak menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan sebelum membuat lapuran tersebut.
Saya kesal kerana Mat Noh Ahmad telah membiarkan dirinya dan SPR diperkudakan oleh UMNO/BN.
Ini menunjukkan seolah-seolah ada cubaan pihak pihak tertentu yang berkepentingan untuk menjejaskan nama dan kredibiliti saya sebagai calun P-18. Saya juga kesal dengan sikap Utusan yang langsung tidak memberi ruang menyiarkan jawapan saya walaupun saya telah memberi kenyataan kepada wartawan Utusan.
Usaha saya untuk mendapatkan pihak akhbar Utusan untuk memberi penjelasan langsung tidak dilayan.
Saya ingin menegaskan bahawa seseorang calun yang mahu bertanding dimana-mana kerusi Parlimen dikehendaki membeli satu ”SET BORANG KERTAS PENAMAAN PARLIMEN” yang terkandung didalamnya Borang 4 (kertas Penamaan), Borang 5 (Akuan Berkanun), Borang A (Sumpah Kerahsiaan), Borang Deposit Bahan Kempen Pilhanraya dan Contoh Pengisian Borang Penamaan Calun”. Semua Calun hanya perlu mengisi borang-borang ini dan menyerahkan kesemuanya berserta dengan deposit calun berjumlah RM10,000-00 dan deposit bahan Kempen berjumlah RM5,000-00.
Sepanjang pengetahuan saya, saya telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan untuk menjadi calun bagi pertandingan peringkat Parlimen P-18.
Sepanjang pengetahuan saya, mengemukakan penyata perbelanjaan Pilihanraya 2004 kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen P-18 Kulim Bandar Baharu ketika menyerahkan permohonan untuk bertanding kerusi Parlimen Kulim/ Bandar Baharu bukan syarat untuk melayakkan saya bertanding kerusi Parlimen tersebut.
Malahan semasa tempoh bantahan dihari penamaan calun pada 24.02.2008 tiada sebarang bantahan pun dikemukakan oleh mana-mana pihak termasuk calun BN. Pihak Pengurus Pilihanraya juga telah mengambil masa menyemak dan bermesyuarat selepas itu untuk memastikan dokumentasi dan kelayakan saya sebagai calun disahkan. Malahan semasa membuat pengumuman calun, Mat Noh Ahmad jelas menyatakan bahawa tiada bantahan diterima oleh mana-mana pihak dan beliau berpuashati saya layak bertanding dan dengan itu mengumumkan bahawa saya adalah calun yang sah untuk bertanding bagi kerusi Parlimen P-18 Kulim/ Bandar Baharu.
Malahan saya ingin menegaskan bahawa saya telahpun memfailkan Penyata Kewangan bagi Pilihanraya ke 11 tahun 2004 di pejabat SPR. Bukti jelas pemfailan tersebut ialah bayaran deposit calun & bahan kempen berjumlah RM15,000-00 telah pun dikembalikan kepada saya; yang mana bayaran tersebut tidak akan dikembalikan melainkan calon telah memfailkan Penyata Kewangan.
Oleh itu tidak timbul soal saya tidak layak bertanding untuk kerusi Parlimen P-18 Kulim/ Bandar Baharu. Selain daripada lapuran polis ini, saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk mengkaji mengambil tindakan undang-undang terhadap Mat Noh Ahmad dengan segera.
Saya akan mengemukakan saman bernilai RM10juta terhadap Mat Noh Ahmad kerana cuba membuat fitnah terhadap saya.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mencabar calun BN Aziz Sheikh Fadzir supaya bertanding dengan saya secara anak jantan. Jangan kita hanya berani mengaum menjadi jagoan kampungan menghunus keris didepan khalayak sendiri tetapi menikus bila berdepan dengan rakyat. Jangan kita hanya angkuh nak membakar Dewan Cina tetapi bacul bila berdepan dengan pengundi. Ayuh kita berlawan sebagai anak jantan... jangan kita berangan mat jenin nak menang percuma. Apakah ini budaya yang cuba dibawa oleh Aziz Sheikh Fadzir... nak senang dan menang dengan mudah dan percuma. Biar Mahkamah rakyat menentukannya pada 08 Mac ini.
Zulkifli Bin Noordin
Calun Parlimen PKR
Bagi Kerusi Parlimen P-18 Kulim Bandar Baharu
Bertarikh 04.03.2008
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
3 hours ago
0 comments:
Post a Comment