bernama - Usaha membina terowong dari Pahang ke Selangor bagi mengatasi masalah kekurangan air mentah di Selangor adalah sesuatu yang tidak perlu, memadai dengan pembinaan lebih banyak kolam takungan air, kata Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.
Beliau berkata pembinaan terowong 44.6 kilometer yang menelan belanja keseluruhan RM8.5 bilion itu merugikan, dan masalah air mentah itu boleh diatasi dengan pembinaan lebih banyak kolam takungan air di setiap cabang laluan sungai Selangor yang melalui ibu kota.
"Sungai yang melalui Kuala Lumpur ini semua sungai Selangor. Jika hujan, air sungai pasti tidak dapat menampung jumlah air yang masuk dan menyebabkan limpahan dan seterusnya banjir. Ini juga bermakna Selangor mempunyai air yang cukup. Kalau tidak cukup, pasti tidak akan banjir," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat Harakah di sini hari Jumaat.Husam seterusnya mencadangkan agar satu sistem pengurusan yang bersepadu diwujudkan dengan hanya satu pihak yang diberikan kuasa untuk menyelaras semua kolam takungan tersebut selain mempunyai satu mekanisme pengurusan yang moden.
Katanya beliau juga akan menghantar cadangan berhubung langkah-langkah bagi mengatasi banjir di sekitar Lembah Klang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor, esok.
Husam berkata kolam takungan air itu akan membantu dalam mengelak air sungai daripada melimpah tebingnya apabila sesetengah dari cabang sungai itu dapat menahan air dari terus memasuki sungai utama secara serentak, selain mengurangkan masalah hakisan tebing sungai.
Shaziman baru-baru ini dilaporkan berkata projek terowong penyaluran air mentah sepanjang 44.6 kilometer dengan kos keseluruhannya RM8.5 bilion dari Pahang ke Selangor kini menerima bidaan daripada tiga konsortium.
Menurutnya bagi projek itu, Pahang akan memperuntukkan RM3.9 bilion bagi membina terowong air, rumah pam, saluran paip dan empangan manakala Selangor pula membina loji rawatan air kedua di Hulu Langat yang bernilai RM5 bilion.
0 comments:
Post a Comment