Ahmad Lutfi Othman / Hakarahdaily
Walaupun 2007 berlalu tanpa menyaksikan pilihan raya umum ke-12, masih banyak adegan politik yang menarik dan berwarna-warni sifatnya dapat dirakamkan sepanjang tahun tersebut. Di samping menyuntik keinsafan buat diri bahawa baki usia kian pendek, tahun baru 2008 diramal menghidangkan pelbagai episod siasah yang lebih mendebarkan lagi.
Pastinya setiap parti-parti politik yang bakal bertanding mendakwa sudah bersedia menghadapi suara dan pilihan rakyat walaupun persiapan itu belum dapat ditingkatkan sepenuhnya. Semua akur bahawa tidak mudah buat parti-parti pembangkang menyusun gerak dan memperlengkapkan jentera untuk berdepan kerajaan Barisan Nasional.
Padang tidak sama rata sentiasa menjadi alasan bahawa kemenangan bukan menjadi teka-teki lagi. Dalam lain perkataan, pada hari penamaan calon lagi sudah dapat diagak siapa yang bakal menerajui kerajaan Pusat, cuma untuk beberapa negeri sahaja ramalan itu sukar untuk disahkan lebih awal, misalnya Kelantan dan Terengganu, dahulunya termasuk Pulau Pinang dan Sabah.
Dan inilah yang sering ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa rakyat Malaysia sebenarnya tidak mempunyai pilihan ketika mereka membuang undi kerana, katanya, parti-parti pembangkang tidak pernah menawarkan diri sebagai kerajaan alternatif kepada BN. Secara terbuka Rashid memperlekeh dan menghina keupayaan pembangkang untuk menyaingi kehebatan BN.
Kemampuan pembangkang memberi saingan hebat terhadap BN
Pemimpin pembangkang tentu dapat mengemukakan sanggahan dalam bentuk fakta dan dokumen lengkap bagi menolak dakwaan Rashid itu. Malah, operasi tempang dan tunggang-langgang SPR yang diterajui Rashid adalah antara bukti nyata bahawa kemenangan besar BN selama ini adalah disumbangkan oleh banyak faktor manipulasi dan eksploitasi, selain penipuan terancang dan taktik kotornya sebagai penyandang.
Manakala bagi pemimpin Umno-BN, mereka berhujah, jika proses pilihan raya kita tidak adil, telus dan bebas, sebagaimana dakwaan pembangkang, sudah tentu PAS tidak berupaya menawan Kelantan (sebelum ini termasuk Terengganu), apatah lagi kemenangan pada 2004 itu hanya dengan kelebihan satu kerusi dan perbezaan undi pula sekadar dua sahaja. Jika BN mempunyai mekanisme canggih untuk menipu, pastinya PAS akan berputih mata di Kelantan empat tahun lalu.
Logika itu, bagi sebahagian orang, mungkin boleh diterima akal, walaupun ia dibuat dalam konteks yang salah. Penyelewengan perjalanan pilihan raya di Malaysia tidaklah sampai sehingga meletakkan kertas undi palsu ke dalam tong yang kemudiannya akan dijumlahkan bersama. Manipulasi itu melalui satu proses yang panjang dan terancang, misalnya melalui kaedah persempadanan semula kawasan pilihan raya, undi pos, pengundi hantu, mengundi berulang kali, politik wang, salahguna kuasa kerajaan sementara, selain penghakisan ketara elemen demokrasi berjalan lancar sebelum Parlimen dibubar lagi.
Saya tidak berhasrat untuk mengulangi segala ketempangan pengurusan pilihan raya kita yang sudah diketahui umum itu. Perarakan raksasa 100,000 anjuran Bersih pada 10 Nov lalu menyaksikan isu-isu berkaitan tuntutan pilihan raya adil dan bebas sudah dapat dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Tidak mudah untuk mengerahkan orang seramai itu dalam isu-isu yang tidak menyentuh hal agama atau sensitiviti kaum. Ia satu petanda positif yang cukup menjanjikan buat gerakan pemulihan demokrasi di Malaysia.
Apa yang ingin saya kongsi bersama adalah keupayaan dan kemampuan pembangkang untuk memberi saingan paling hebat kepada BN, seterusnya berusaha membentuk kerajaan alternatif ataupun menjadi pembangkang kuat yang berwibawa tinggi. Ketika mendedahkan seribu satu kepincangan sistem dan penipuan pemerintah, kita tentu yakin ada ruang yang masih boleh dimanfaatkan untuk menggerakkan perubahan itu. Ataupun, sejak awal kita sudah mengangkat bendera putih dan menyertai pilihan raya sekadar tidak mahu memberi kemenangan percuma buat BN? |more...|
MAHATHIR MAHAKAYA, MAHAZALIM... KEH.. KEH...
1 hour ago
0 comments:
Post a Comment