naningku
HENDAK BERNUJUM BERNUJUMLAH, TAPI PILIHANRAYA MESTI SEGERA DIADAKAN JUGA
Nampaknya Pak Lah susah nak membuat keputusan. Sampai sekarang pilihanraya belum pasti apakah benar akan diadakan dalam tempuh yang singkat atau beliau akan menangguhkannya lagi kerana maklumat yang beliau beroleh barangkali bukan yang menyenangkan.
Kelantan kelihatan masih akan kekal diperintah Pas, manakala di Trengganu Pak Lah dan menantunya, Khairy Jamaluddin, semakin tidak disenangi ramai.
Meskipun BN telah banyak berusaha untuk menentukan kemenangan di Kelantan pada pilihanraya ini, masalah kenaikan harga barangan dan isu-isu yang berkaitan keluarga Pak Lah, justeru, membawa kepada penolakan konsep Islam Hadari dan menguntung Pas.
Ianya bermakna Kelantan kelihatan akan terus kekal dikuasai Pas dan di Trengganu Pas nampaknya akan dapat menambah bilangan wakilnya dalam Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
Masalah utama di Kelantan tersimpul pada inflasi yang melampau dan penolakan atau resentment rakyat, seperti juga di Trengganu. Jelas sekali Khairy Jamaluddin telah berjaya menjadikan dirinya notorious bagai Si Kitul.
BN, yang telah membuat persediaan besar untuk mengambilalih Kelantan, sudah mulai kurang bernafsu untuk bertarung habis-habisan.
BN Kelantan telah menerokai pembangunan asas untuk mencapai lonjakan sekiranya kuasa bertukar tangan dan minyak luarpantai Kelantan mula mengalir. Gua Musang, Jeli dan Kok Lanas pun sudah bertukar wajah dan telah bersedia untuk maju sebagai perbandaran moden.
Malangnya, sentimen kedaerahan di Kelantan masih tebal dan kerana langkah Pak Lah dipandang kesongsangan dengan nilai-nilai Islam tradisional, dan memihak Singapura pula, maka peluang BN beroleh Kelantan semula akan memerlukan semangat dan tenaga juang yang lebih gigih dan kental.
Pas, kebetulan, mempunyai majority hanya satu, bagai tongkat sakti yang semakin hari semakin mereput. Namun, sentimen adalah segala-galanya dalam pertarungan politik yang demokratik dan sentimen di Kelantan, adalah lebih mujarab daripada pembangunan untuk menentukan sikap rakyatnya.
Apa Pak Lah harus buat?
Beliau tidak harus melengah-lengahkan pilihanraya yang dinanti-nantikan. Sama ada BN boleh mempertahankan prestasinya pada tahun 2004 atau tidak bukan perkara penting.
Yang penting adalah kredibiliti beliau sebagai pemimpin akan meleset macam belon bocor jika pilihanraya ini beliau tidak isytiharkan segera. Belum pernah seseorang pemimpin dan anggota keluarganya dibenci seperti ini dan kebencian itu sudah tetap menjadi-jadi dalam kegawatan yang semakin menghampiri.
Mau tak mau, kerana sudah terjerat dalam perkembangan ekonomi yang pasti memburuk, beliau terpaksa isytiharkan pilihanraya secepat mungkin.
Selain itu, jentera pilihanraya Umno dan BN sudahpun merengut. Pilihanraya yang dijadualkan berlaku tahun lalu sudah jauh lewat dan banyak tenaga telah kehanyutan.
Lebih berat adalah kepercayaan anggota parti bahawa Kelantan sudah boleh dimenangi kalau pilihanraya berlaku menurut jadual pada tahun lalu, yakni sedang harga barangan belum melambung sampai sebegini perit-padahnya.
Harga barangan akan jauh memburuk tidak lama lagi. Harga minyak pada pam mungkin mencecah RM2.60 seliter atau lebih. Malahan, permasalahan itu sudah tetap akan dirumitkan lagi dengan krisis barang makanan pula, bermakna harga barangan esensiil akan menekan rakyat.
Ertinya, Pak Lah tidak ada pilihan. Menunggu sehingga tahun depan akan menyulitkan lagi kedudukan BN yang sekarang telah pun rasa tertekan pada kawasan-kawasan tertentu di beberapa buah negeri pantai barat semenanjung, khusus di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Kini harga getah dan kelapa sawit sedang meninggi dan pendapatan penerokanya yang lumayan, justeru, melegakan perasaan sebilangan pengundi.
Dengan kenaikan harga minyak dan penurunan kadar pembangunan Republik Rakyat Cina dan India yang sudah tentu menjadi sedang Amerika dan Eropah menanti kemelesetan ekonomi, maka tidak syak inilah masa terbaik untuk Pak Lah menjemput pilihanraya.
Jika beliau terus melengah-lengahkan keputusan, nescaya semakin beratlah jadinya keadaan dan sentimen yang merugikan BN.
Kalaulah Amerika dan sekutunya menyerang Iran seperti yang kelihatan mungkin berlaku, kegawatan ekonomi yang akan ditempah adalah kehampiran kiamat.
Harga minyak mungkin sekali melebehi USD 200 satu tong. Harga barang-barang pembinaan dan makanan serta ubat-ubatan akan kelambungan ke langit ke tujuh!
Kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Pak Lah tetap flat, macam tayar kereta pamcat empat-empat sekali. Flat!
Itulah risiko yang Pak Lah hadapi dan perlu memutuskannya sekarang. ----a. ghani ismail ----14 Jan. 2008
Jan 14, 2008
APA .... BN MENANG DI KELANTAN?
Labels: Belit BN, Belit Pak Lah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment