Mohd Sabri Said
Harakahdaily
KEPALA BATAS, 14 Jan (Hrkh) - Sah! masyarakat India di Parlimen Kepala Batas diketepikan apabila ratusan mereka bertekad tidak akan memberi undi pada Barisan Nasional (BN) lagi pada pilihanraya umum ke 12 nanti sebaliknya menyokong pembangkang yang dilihat menjagai keharmonian serta tidak bersikap kronisme.
Keazaman bertambah terserlah setelah 300 orang antara mereka bertindak drastik menyerahkan borang keahlian baru pada Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang (KeADILan), Dato' Zahrin Hashim di Taman Bertam Indah semalam.
Fenomena itu benar-benar mengejutkan ramai pihak termasuk Umno yang mendapat sokongan penuh masyarakat India yang berjumlah 1,700 orang di parlimen itu manakala 1,100 orang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bertam.
Ketua Penaja KeADILan Taman Bertam Indah, Gunasegaran, 39, (Gambar kiri) berpendapat banyak lagi masyarakat India akan menjejaki langkah mereka menjelang pilihanraya umum kelak.
Jelasnya, kemelut masyarakat India bertambah parah apabila tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada Ketua Bahagian MIC Kepala Batas sendiri, Dato' Sivanathan yang pandai berjanji tetapi tidak pernah melunaskannya.
"Kami rasa tertipu dengan setiap tutur katanya bila berbincang mengenai tahap golongan India yang bekerja dengan kerajaan. Masalahnya sekarang kenapa jadi begitu walhal isu itu kerap menjadi agenda penting dalam setiap pertemuan termasuk dengan Ahli Parlimen Kepala Batas merangkap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, " ujarnya ketika ditanya kenapa meninggalkan MIC.
Ketua Pemuda Penaja KeADILan Cawangan Taman Bertam Indah, Anan, 26, (Gambar bawah) pula menyifatkan sampai sekarang MIC gagal tangani masalah tandas di Sekolah Jenis Kebangsaan Palalnidy Jalan Kedah, Kepala Batas.
Masalah tandas di sekolah berkenaan sungguh memalukan kerana murid-murid yang mahu membuang air kecil atau besar dibenarkan pulang ke rumah.
"Sungguh memalukan mana ada sekolah yang tandasnya tidak berfungsi sekian lama. Walaupun masalah tersebut diadukan melalui MIC namun tidak mendapat perhatian," jelasnya kecewa.
Jack 24 juga kecewa masalah kebajikan golongan miskin kaum India masih tidak diatasi dengan baik.
Ramai lagi golongan miskin terbiar dan bila diadukan lazimnya kepimpinan MIC sekadar berkata OK! kami akan buat.
"Selepas ini mana-mana individu yang masih berdendangkan lagu lama harus disingkirkan. Jangan simpan kepimpinan yang asyik pentingkan diri semata-mata, " katanya.
Semalam majlis penyerahan borang baru KeADILan itu cuba diganggu pihak keselamatan dengan alasan perhimpunan haram.
Majlis penerangan sempat berjalan hanya dua jam sahaja bermula lapan malam apabila terpaksa ditamatkan awal ekoran desakan polis kerana mendapat desakan pihak atasan.
Selain Dato' Zahrin, turut berucap ialah aktivis KeADILan, Kalai Vanar dan bekas calon Bertam, Mohamad Hashim.
Kelihatan hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Ketua KeADILan Bahagian Kepala Batas, Zaini Awang, Setiausaha KeADILan Negeri, Malek Kasim, Ketua Wanita KeADILan Negeri, Puan Norhayati Jaafar dan Setiausaha PAS Kepala Batas, Zulkiply Ishak.
Cina juga akan sertai KeADILan
Sementara itu dalam perkembangan yang berkaitan, Abdullah Badawi dijangka tercabar lagi apabila ura-ura mengatakan ramai ahli MCA dan Gerakan akan menyertai KeADILan.
Kemasukan itu didakwa kerana mereka tidak puas hati dengan pemerintahan BN yang sering menindas rakyat dengan menaikan harga barangan, penipuan dan bersikap mementingkan kroni.
Keadaan ini sekaligus memeningkan kepala kepimpinan BN bahagian itu terutamanya Umno kerana selama ini mereka berharap penuh pada sokongan orang Cina bagi mengimbangkan pengaruh DAP yang dikatakan cuba mencuri perhatian dengan mengadakan beberapa siri pertemuan.
Harakahdaily mendapat maklumat kali ini salah satu lagi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kepala Batas selepas Bertam akan menjadi saingan hebat kepada BN untuk mengantar wakil yang lebih berwibawa mengantikan Adun yang jarang turun padang meninjau permasalahan rakyat sebaliknya asyik bergaya dengan kemewahan miliknya.
Semalam sahaja peristiwa kemasukan beramai-ramai kaum India ke dalam KeADILan Bahagian Kepala Batas menjadi isu panas apabila pasukan polis cuba dijadikan perkakas oleh Umno untuk membatalkan majlis yang dihadiri Zahrin.
Majlis tersebut KeADILan menerima 300 ahli baru dan akan berterusan kerana ada yang resah dan bimbang akibat ugutan pihak tertentu. - mr
SAPA IKUT PAS PN TAK SIGN SSPA MEMANG BODOW
47 minutes ago
0 comments:
Post a Comment