MASALAH PENDUDUK LADANG KIRBY/KAROTINA TIDAK SELESAI!
www.jerit.org
Penghujung 2007 sudah kita hampiri
Semua menunggu menyambut 2008
Penduduk Ladang Kirby berjuang sejak 2001 lagi
Sudah 7 tahun masalah tak selesai lagi !
Pada tahun 2001, penduduk ladang Kirby dan Ladang Karotina diberhentikan kerja dan diberi notis untuk keluar dari tanah tersebut. Dari hari itu, para penduduk ladang telah menghantar memorandum sebanyak 2 kali kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Haji Mohamad bin Haji Hassan ; 3 kali berjumpa Dato' Rajagopal (Exco Kerajaan Negeri Sembilan); beberapa kali berjumpa ADUN Labu, Haji Muhammad Shahlan Bin Haji Shaid dan banyak surat telah ditulis kepada majikan Sime Darby , malah masalah telah dibawa juga ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) , akan tetapi masalah penduduk Ladang Kirby belum selesai lagi. Apa yang datang ialah notis demi notis dan ugutan supaya mengosongkan rumah atau rumah akan diroboh.
Keadaan ini semua telah membuat penduduk Ladang Kirby , untuk sekali lagi ke pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan untuk menuntut supaya pihak Menteri Besar campurtangan dan selesaikan masalah mereka ini. Maklumlah , Menteri Besar kan wakil rakyat, dialah harus menyelsesaikan masalah rakyat. Akan tetapi , walaupun telah diberitahu awal mengenai keinginan penduduk untuk berjumpa Menteri Besar pada 27/12/2007, namun yang menyambut penduduk ialah pejabat kosong Menteri Besar. Menteri Besar sedang bercuti dan di luar negara adalah maklumat yang diterima oleh penduduk.
Setelah lebih ½ jam berpiket di luar Pejabat Menteri Besar dan tiada respon dari pejabat Menteri Besar, para penduduk telah masuk kedalam pejabat Menteri Besar . Apabila ini berlaku, barulah pegawai keselamatan berlari datang memberitahu, bahawa MB tiada di pejabat dan beliau sedang seronok bercuti.
Laungan slogan-slogan "MB cuci tangan, Sime Darby tipu kami" , "MB ada rumah; kita tiada rumah" oleh para penduduk Ladang Kirby dan Ladang Karotina mempercepatkan proses membuat keputusan di pejabat MB untuk hantar wakil bagi menerima memorandum tersebut.
Tetapi penduduk yang berkumpul pada hari ini dengan tegas memberitahu bahawa mereka tidak mahu pegawai yang mempunyai kuasa yang terhad datang dan menerima memorandum hanya untuk menyempurnakan tugas mereka. Penduduk menuntut, kalau MB takde dalam negara , bagi kami tarikh supaya kami boleh datang jumpa dengan beliau. Ketegasan penduduk ini telah memaksa, En. Saiful Mahadir bin Nordin, Pegawai Khas bagi MB untuk bersetuju berjumpa dengan delegasi dari Ladang Kirby dan Ladang Karotina. 5 orang delegasi termasuk Encik Muniandy iaitu Setiausaha Jawatankusa bertindak Penduduk Kirby/ Carotina, dan Saudara Arutchelvan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysiatelah masuk berjumpa dengan wakil MB. En. Saiful Mahadir selepas menerima memorandum daripada penduduk ladang memberitahu bahawa MB hanya akan balik dari cuti pada 2 Januari 2008. Dia berjanji akan sampaikan memorandum ini kepada MB dan akan menentukan satu tarikh perjumpaan dengan MB.
Penduduk Ladang Kirby dan Karotina , walaupun tidak dapat berjumpa dengan MB, sedar bahawa , wakil MB turun sebab ketegasan dan desakan mereka dalam perjuangan ini. Ketegasan ini akan terus ditunjukkan disepanjang perjuangan demi mencapai kemenangan. Selagi tidak mencapai kemenangan, perjuangan ini tidak akan selesai!
Hidup perjuangan Rakyat !
Disediakan oleh,
Sivaranjani. M
JERIT
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
3 hours ago
0 comments:
Post a Comment