Karyawan bertindak
Oleh Mohd Nasif Badruddin
hmetro
PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sebulat suara mengambil tindakan melucutkan keahlian Datuk Aziz Sattar, Zieman (Fauziah Johar), Betty Banafe dan Yang Jamil kerana mencemarkan kredibiliti dan nama baik persatuan.
Keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat AJK Karyawan yang diadakan pada 11 Februari lalu.
Menurut presidennya, Freddie Fernandez, tindakan sedemikian sah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Artikel 8(1)(b) Perlembagaan Karyawan.
"AJK Karyawan merasakan bahawa tindakan mereka yang dinamakan (empat nama di atas) mencemarkan nama baik dan reputasi Karyawan. AJK juga memanggil mereka untuk membela diri atau memberikan tunjuk sebab kenapa keahlian mereka tidak harus digugurkan.
"Akibat daripada kegagalan untuk hadir, AJK secara majoriti bersetuju untuk menggugurkan keahlian mereka," katanya ketika sidang media di Pejabat Karyawan, di sini semalam.
Tambahnya lagi, empat hari sebelum mesyuarat, beliau menelefon mereka tetapi tidak mendapat respon. Dua hari kemudian, dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), tetapi juga tidak mendapat maklum balas kecuali Zieman yang mengatakan 'OK' dan tidak kisah.
Sementara Aziz menerusi kenyataan di media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Karyawan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 5 Februari lalu berkata, beliau tidak kisah dilucutkan keahlian dan sanggup keluar dari Karyawan. Manakala Betty dan Yang Jamil masih tidak memberi sebarang respon.
"Walaupun bukan ahli lagi, Aziz terus akan menerima pencen Karyawan setiap bulan dengan syarat dia harus datang sendiri ke pejabat Karyawan untuk mengambil cek pencen itu pada setiap 28 haribulan.
"Ini diadakan kerana sebelum ini bayaran dibuat secara automatik ke dalam akaunnya, tetapi dia sendiri mempertikaikannya dan membuat kenyataan tidak tahu sama ada menerima atau tidak wang itu kerana tiada apa-apa surat dikeluarkan Karyawan," katanya.
Freddie juga berkata, pihaknya masih mengkaji sama ada akan menyaman Aziz dan tiga lagi bekas ahlinya atau tidak atas alasan mencemarkan nama baik Karyawan selain dikenakan tindakan digugurkan keahlian.
Aziz sebelum ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 17 Januari lalu selepas timbul perasaan tidak puas hati dan mengesyaki wujud penyelewengan kuasa dan dana oleh individu tertentu dalam Karyawan.
Beliau juga dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), Putrajaya pada 22 Januari lalu.
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
7 hours ago
0 comments:
Post a Comment