Jika ekonomi baik, seperti dakwaan Pak Lah, kenapa rakyat terhimpit?
detikdaily.net
Oleh Anis Nazri
KUALA LUMPUR: Sampai bila rakyat akan terus terpujuk dengan kata-kata manis Abdullah Ahmad Badawi bahawa pertumbuhan ekonomi negara ini semakin meningkat dan berada dalam tahap yang begitu baik, sedangkan hakikatnya kita berdepan bebanan yang semakin meruncing.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifli Ahmad, berkata pertumbuhan ekonomi yang baik dan sihat tidak akan membebankan rakyat, sebaliknya kekayaan dan pendapatan negara perlu diagihkan sebaik-baiknya bagi kemaslahatan rakyat.
"Di saat kita dimaklumkan bahawa ekonomi negara berada di tahap yang baik, rakyat sebenarnya semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat, dengan harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat. Namun tidak ramai rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu menyedari kepentingan urus tadbir ekonomi negara dengan lebih telus dan amanah," tegas beliau kepada Harakah baru-baru ini.
Katanya, ekonomi yang tidak diurus dengan baik akan menjejaskan faktor kehidupan rakyat, kerana ia secara langsung menentukan faktor hidup rakyat.
Atas sebab itu, katanya, soal kepentingan ekonomi ini tidak boleh dianggap hanya menjadi masalah kepada golongan kaum Cina semata-mata, kerana ia turut menyinggung setiap permasalahan kehidupan rakyat, termasuk kaum Melayu.
"Orang Melayu, khususnya di kampung-kampung yang berpendapatan rendah berpandangan bahawa kos sara hidup yang ditanggung mereka kini amat membebankan. Jika dulu dengan RM12 mereka boleh membeli dua ekor ayam, kini hanya dapat seekor. Kuasa membeli di tangan mereka kini semakin terhakis," jelas beliau.
Katanya, biarpun kakitangan awam baru-baru ini diberikan kenaikan gaji, namun kenaikan tersebut tidak memberi sebarang kesan positif kerana terpaksa berhadapan dengan keadaan inflasi yang melanda.
Malah, kata Dr Dzulkifli, jurang pendapatan Malaysia jauh lebih tercorot berbanding negara Asia Tenggara lain.
Menurut Bank Dunia, jurang pendapatan individu yang lebih dahsyat di Malaysia adalah kedua paling teruk di antara negara-negara Asia yang mempunyai data untuk kajian. Hanya Papua New Guinea lebih corot dari Malaysia.
Malah, daripada 127 negara yang diberikan data, Malaysia berada pada nombor 101 dari segi nisbah Gini. Selain Papua New Guinea, negara-negara yang mempunyai jurang individu yang lebih dahsyat daripada Malaysia terletak di Amerika Selatan dan Tengah – rantau yang sememangnya mempunyai jurang ekonomi yang besar – dan negara-negara Afrika seperti Afrika Selatan dan Zimbabwe.
Situasi ini berlaku, katanya, tidak lain kerana agihan pembangunan yang tidak seimbang yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan yang lebih mengutamakan kepentingan kroni berbanding kepentingan rakyat terbanyak.
Sebagai contoh, ujar Dr Dzulkifli, projek pembangunan seperti Masjid Kristal, Monsun Cup hanya memberi imbuhan kepada pihak tertentu semata-mata, dan rakyat hanya menjadi penonton kepada pembangunan tersebut.
Jika ekonomi baik, seperti dakwaan Pak Lah, kenapa rakyat terhimpit?
Malah, tambah beliau dalam soal pembangunan seumpama itu, ia tidak menjana pekerjaan, sedangkan ekonomi ini sepatutnya menyentuh soal menyediakan pekerjaan.
"Ia diakui sendiri oleh Pengarah Eksekutif Malaysian Institute of Economic Research (MIER), Dr Mohamed Ariff yang mengatakan pada tahun lalu apabila pertumbuhan berlaku setinggi 5.8 peratus, yang sepatutnya menjana 200,000 pekerjaan, tetapi ia tidak terjana dengan baik.
"Sekarang, Abdullah sebut tentang pembangunan seperti koridor-koridor yang kini giat dilaksanakan. Itu perkara akan datang. Belum tentu ada. Sepanjang 45 bulan lalu, apa yang dibuat Abdullah untuk rakyat? Itulah rekod buruk Abdullah kepada rakyat," tegas beliau.
Justeru, katanya rakyat Malaysia seharusnya melihat isu ekonomi negara ini dengan memahami hakikat sebenar yang berlaku dalam negara ini, dan tidak terus terpujuk dengan kata-kata Abdullah.
Beliau mengharapkan rakyat kali ini bangkit menyatakan perubahan bagi memastikan pendapatan negara dapat diagihkan sebaiknya demi kepentingan rakyat terbanyak.
Feb 20, 2008
EKONOMI BAIK TAPI RAKYAT TERHIMPIT
Labels: Belit Dollah, Kemiskinan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment