serkamvelley.blogspot
SHAH ALAM: Prof Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah bersedia melepaskan jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) jika disenaraikan sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac ini. Namun, beliau menjelaskan setakat ini tidak menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai penyenaraian namanya sebagai calon Barisan Nasional (BN), walaupun khabar angin mengenainya heboh diperkatakan ketika ini. “Saya tahu mengenai khabar angin mengatakan saya tersenarai sebagai calon BN, tetapi tidak terkejut mendengarnya kerana seperti sudah menjadi lumrah setiap kali pilihan raya, nama saya pasti dikaitkan sebagai calon, namun akhirnya ia kekal sekadar khabar angin, gempak saja sebenarnya. “Bagaimanapun, andainya benar-benar tercalon, saya akan akur demi perjuangan bangsa dan negara. Mana-mana saja jika kerajaan perlukan, saya akan ikut. “Jika benar-benar tenaga saya diperlukan di arena politik saya akan melepaskan jawatan akademik ketika ini dan menyertai dunia politik, jika tidak, saya akan kekal sebagai Naib Canselor,” katanya ketika ditemui di UiTM, semalam. Ibrahim mengulas laporan Berita Harian kelmarin yang menyenaraikan beliau sebagai antara nama yang disebut bakal mengisi kekosongan jawatan Ketua Menteri Melaka menggantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dikatakan akan berpindah ke Parlimen. Timbul spekulasi akhir-akhir ini mengatakan anak jati Melaka kelahiran Kampung Pulai itu bakal dicalonkan untuk bertanding di DUN Serkam dalam Parlimen Jasin sebagai laluan ke jawatan itu. Ahli akademik terkenal ini yang bakal tamat kontrak dengan universiti itu pada tahun ini, dikatakan menjadi pilihan pucuk pimpinan untuk menerajui Melaka berdasarkan pengalaman dan sifat intelektualnya.
Feb 20, 2008
Naib Canselor UiTM calon BN Serkam ???
Labels: Belit BN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment