kuda-kepang.blogspot.com
Ruhanie Ahmad
Di bawah ini adalah kenyataan terbaru dari seorang menteri dalam kerajaan sementara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai bloggers tempatan. Menteri berkenaan (sahabat saya) menyarankan bloggers Malaysia “menjalani kursus budi bahasa.”
Saya tidak akan komen kenyataan di bawah ini. Sebaliknya, saya paparkan beberapa posting saya terdahului mengenai blogging dan bloggers buat renungan bersama. Juga dipaparkan di sini adalah sebahagian epilog buku yang sedang saya tulis – Bloggers Kawan Atau Lawan – sebagai input penggeloraan minda.
Berikut adalah antara sedutan kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang saya petik daripada Bernama 19 Februari 2008, berjodol Hentam Kerajaan Dalam Blog Bukan Budaya Malaysia.
Penulis blog perlu menilai diri sendiri sebelum mahu menghidupkan budaya mencemuh orang lain di negara ini.
Walaupun budaya menghentam kerajaan dalam laman blog adalah antara cabaran yang dihadapi oleh Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum, ia bukanlah budaya BN dalam berkempen dan memenangi pilihan raya.
Kursus Budi Bahasa?
Mereka (bloggers) menghentam Perdana Menteri, menteri dan anggota pentadbiran tetapi yang mereka tak hentam adalah diri mereka sendiri.
Tindakan penulis blog kini semakin menjadi-jadi dan pada pandangan saya mudah, musim (pilihan raya) ini adalah musim mencemuh orang, membunuh orang dengan kata-kata tetapi itu bukan budaya kami (BN). Saya sarankan mereka menjalani kursus budi bahasa kerana budi bahasa itu budaya kita.
Pada 11 Oktober 2006, saya kirimkan posting berjodol Ingatan Google Tentang Pengaruh Blog yang saya petik daripada Reuters seperti berikut:
Ketua Eksekutif Google Inc., Eric Schmidt, menyifatkan ahli-ahli politik masih belum menghargai impak dunia secara talian yang akan turut memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.
Katanya, ramai ahli politik sebenarnya tidak memahami fenomena Internet dengan baik disebabkan masalah usia mereka.
Pada 14 September 2006 saya kirimkan tulisan ke blog ini berjodol Demokrasi Maya Mula Berwibawa. Antaranya saya meminta Datuk Seri Lik Kheng Yaik membaca The Electronic Republic oleh Lawrence Grossman, Cyberethics oleh James Lynch, dan Vote.Com oleh Dick Morris, kerana ketiga-tiga buku ini memberikan perspektif jelas mengenai alam siber dan generasi internet.
Maklumat Alternatif
Ketiga-kita buku ini juga boleh membantu kita memahami bagaimana masyarakat celek internet di serata dunia, termasuk di Malaysia, sedang dan akan mencorakkan demokrasi di hari muka menerusi ICT.
Pada 3 Mei 2007, saya poskan menerusi blog ini berita Bernama yang berjodol NUJ Mahu Kerajaan Iktiraf Blog Sebagai Media Baru. Berita itu memetik Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Norila Mohd Daud, sebagai berkata bahawa fenomena mendapatkan maklumat menerusi internet memberi kesan yang amat besar dan ini menjadi sumber maklumat alternatif isu-isu semasa yang menyentuh masyarakat di negara ini.
Akhir sekali, inilah tulisan mutakhir saya yang saya akan muatkan sebagai prolog dalam buku baru saya mengenai bloggers. Antaranya saya katakan seperti berikut:
Saya menerima satu ugutan maut, lebih lima kali diura-urakan untuk di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, pernah digosipkan secara meluas untuk dipecat daripada UMNO, dibenci dan dimusuhi oleh segelintir manusia di sekeliling Perdana Menteri, digolongkan dalam kalangan 30 bloggers Malaysia yang berada dalam senarai hitam pihak-pihak tertentu, dan, paling hina sekali, pernah dikartunkan wajah saya dengan bertubuhkan seekor anjing!
Semua ini terjadi kerana manusia yang memandang serong terhadap bloggers sosio-politik, termasuk Abdullah dan segelintir menterinya, gagal memahami pentingnya blogs sebagai wadah komunikasi rakyat yang paling berkesan pada ketika ini. Sikap prejudis dan kebencian yang amat tebal ini menyebabkan individu-individu tersebut jadi buta hati. Mereka enggan menerima hakikat bahawa bloggers sosio-politik di Malaysia adalah golongan yang mempunyai kepakaran di bidang profesional. Mereka juga gagal untuk mengakui bahawa majoriti bloggers sosio-politik di negara ini juga adalah kumpulan wartawan yang berpengalaman dan ada nama.
Paling Rugi
Kegagalan Abdullah dan segelintir menterinya memahami hakikat blogs dan blogging serta signifikennya cabang komunikasi ini di seluruh dunia, juga menyebabkan mereka jadi bahan ketawa kepada banyak pihak. Lebih serius lagi, kegagalan ini menyebabkan mereka tidak menggunakan blogs sebagai satu daripada media penting dalam soal-soal negara dan kenegaraan.
Dalam konteks parti politik, sikap negatif dan tindakan konfrontasi Abdullah serta segelintir menterinya terhadap bloggers sosio-politik, menyebabkan UMNO khususnya, jadi pihak yang paling rugi dan paling ketinggalan dalam memanfaatkan blogs sebagai satu cara mengukuhkan parti, baik dari segi proses memenangi jiwa dan sokongan generasi muda, mahu pun dalam konteks melicinkan pengurusan politik hingga ke akar umbi.
Sebagai seorang ahli UMNO, saya amat sedih dengan hakikat ini. Bagaimanapun, saya sengaja tidak akan menghurai serta memperincikan dari aspek manakah UMNO kerugian dan dari aspek mana pula UMNO jadi ketinggalan. Cukup sekadar saya nyatakan di sini, apalah yang hendak diharapkan daripada UMNO kalau Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang tidak tahu cara mengakses sesuatu lamanweb, membawa bala tenteranya ke satu balai polis di Kuala Lumpur untuk membuat laporan kononnya ada lamanweb tempatan yang menghina Institusi Raja.
Memang UMNO mempunyai sekumpulan cyber troopers atau bloggers upahan dengan ganjaran yang lumayan. Tetapi, oleh kerana individu yang jadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia pun tidak faham apa itu blogs dan apa pula signifiken dan pentingan blogs sebagai wadah komunikasi moden, bloggers upahan ini pun hanya bertindak sebagai kaki pukul siber yang merapu tak tentu hujung dan pangkalnya. Ada juga di kalangan bloggers upahan ini yang kini jadi penabur fitnah par excellence!
Segala-galanya jadi begini kerana inilah hakikatnya UMNO di era Abdullah. Kalau UMNO di era Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mencetuskan gagasan ICT yang dikagumi dunia, UMNO di era Abdullah terbukti gagal hanya untuk menangani fenomena blogs - satu-satunya ledakan baru daripada convergence ICT mutakhir ini. Kalau ada individu yang perlu dipersalahkan dalam hal ini, individu itu adalah Abdullah, Menteri Penerangannya dan lain-lain pihak yang enggan menasihati Abdullah, UMNO dan pemerintah dengan nasihat yang sebenar-benarnya mengenai blogs dan komunikasi rakyat di zaman ICT.
Feb 20, 2008
Polemik Pasal Bloggers Di Ambang PRU 12
Labels: Belit Rais Yatim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment