detikdaily.net
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Ya, apalah ertinya Harakah, diterbitkan sekali dalam tempoh 15 hari, malah kempen pilihan raya pun dijangka tidak melebihi lapan hari, seperti yang berlangsung pada tahun 2004. Sedangkan, Umno ... jangan ceritalah, segala kemudahan kerajaan dan media diperalatkan semahunya. Stesen tv akan bertukar menjadi bilik gerakan BN. Wang berguni-guni ditabur.
Namun, lawan tetap lawan, pantang berundur sebelum bertarung habis-habisan. Wang, projek, manipulasi media bukan segalanya. Rakyat mesti dibekalkan dengan maklumat dan fakta sebenar selain menangkis fitnah BN yang makin menggila itu. Usah diharap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi akan mengendurkan asakannya, malah pelbagai taktik keji yang baru hanya menunggu masa untuk dilancarkan.
Beliau begitu mengimpikan kemenangan besar mahu menyifarkan pembangkang dan menawan semula Kelantan. Jika pada 2004 Abdullah dikenang sebagai Presiden Umno yang mampu memulihkan kembali sokongan rakyat yang begitu benci, meluat dan muak kepada parti itu pada 1999, sehingga Terengganu dapat dikuasai balik, maka kali ini beliau mahu terus memahat sejarah. Nampak mustahil mandat besar 91 peratus kerusi Parlimen BN berulang, tapi Abdullah tetap bercita-cita besar untuk mengukir legasi mengatasi mana-mana Presiden Umno yang terdahulu.
Semua pihak akui bahawa pengaruh media dalam pilihan raya cukup besar (Pemimpin pembangkang harus menterjemahkannya dalam bentuk menawarkan media alternatif dan pengedarannya yang cekap). Namun ia tidak bermula sebaik Parlimen, Dun dibubar. Umno-BN sudah menyumbatkan pemikiran karut-marut tentang pembangkang sejak sekian lama. Ia diulang-ulang hingga menjadi ratib harian terutama kepada pengundi Melayu di kampung-kampung.
Media tradisi seperti akhbar, radio, tv tentu tidak terlawan. Namun, rakyat bukan bodoh untuk mengunyah apa saja yang disogok. Intan dan kaca dapat dibezakan. Masyarakat yang kian terdedah dan terdidik, serta pembentukan kelas menengah yang tambah membesar menyebabkan Umno tidak mudah lagi memperbodohkan rakyat.
Yang pasti, ego Umno-BN wajar ditamatkan. Kemenangan besar BN 2004 hanya mengundang padah dan celaka buat rakyat. Pemerintah cukup sombong-takbur kerana merasakan tiada lagi suara pembangkang yang berkesan untuk menegur dan mengkritik di Parlimen dan sidang Dun.
Abdullah pula hanya mahu mendengar puja-puji melangit dan cukup berang apabila telatah anak menantunya didedahkan. Di depan umum beliau nampak merendah diri, "tegurlah saya, jangan membodek, beritahulah perkara yang benar walaupun pahit". Namun segalanya dusta dan bohong semata. Beliau berselindung di sebalik imej agama untuk terus meraih simpati.
Justeru, siri makalah khas bertajuk Kempen diterbitkan untuk mengisi kekosongan ini. Kami mensasarkan ruang kosong 15 hari di antara penerbitan Harakah untuk menyelitkannya. Dengan tenaga kerja yang sama di Harakah, kami cuba berperanan menawarkan berita alternatif di tengah kerancakan media rasmi berpesta. Kami percaya, jika maklumat yang benar sampai ke tangan pengundi, ia boleh membantu mereka membuat keputusan lebih matang.
Rakyat begitu dahagakan berita sahih. Mereka mahu informasi seimbang. Mereka mahu tahu apa kata BN, apa bicara PAS, apa telahan KeADILan, dan apa pandangan DAP. Bukankah semua parti-parti itu, termasuk calon Bebas mungkin, mahu menawarkan khidmat buat rakyat? Pengundi perlu pengetahuan sebelum memutuskan pendirian. Soalnya, dari mana maklumat dan analisis dapat diperolehi jika media arus perdana dibolot hanya satu kumpulan?
Lihat saja liputan tentang isu negara berkebajikan PAS. Semuanya buruk, dan dilabel angan-angan mat jenin. Jangan harap media sediakan ruang untuk pemimpin PAS jelaskan segala tohmahan. Hanya yang busuk dan jelik disiarkan.
Malaysia boleh bankrap, kata Timbalan Perdana Menteri, jika PAS melaksanakan konsep negara berkebajikan seperti ditawarkannya. Sedangkan kita semua maklum bahawa Malaysia, negara tercinta ini cukup kaya untuk menampung kepentingan dan menjamin kesejahteraan rakyatnya. Malaysia dikurniakan Ilahi anugerah bumi yang berharga, kedudukannya yang strategik dan iklim politik yang stabil.
Ingat: Politik Malaysia stabil kerana kesediaan pembangkang sejak merdeka untuk patuh menerima setiap kali pilihan raya meskipun akhir-akhir ia dicemari pelbagai insiden penipuan yang menjolok mata.
(Yang akan bankrap apabila negara berkebajikan PAS dilaksanakan adalah pemimpin Umno-BN yang korup itu, walhal rakyat seluruhnya bakal menikmati secara lebih merata khazanah negara).
Sayang, pemimpin BN cukup membazir, rasuah, korup, memperkayakan diri dan kroni, dan menimbun harta untuk kemewahan diri dan sibuk membeli undi demi survival kuasa. Khazanah negara dibolot semahunya untuk mempertahankan pemerintahan korup. Rasuah sememangnya memakan korban yang bukan sedikit meskipun kesannya mungkin dapat disembunyikan hari ini tetapi ia membarah dalam senyap, dan akhirnya boleh memusnahkan negara untuk tempoh beberapa generasi lamanya.
Saya mempunyai banyak maklumat bagaimana khazanah kekayaan kita diagihkan sesama suku-sakat Umno-BN. Projek kerajaan berbilion ringgit dibahagikan macam "harta mak-bapak" sendiri, tanpa rundingan terbuka dan harganya dinaikkan berkali lipat. Ada projek baiki sekolah bernilai RM200,000, tetapi yang dapat kepada kontraktor hanya RM70,000, manakala RM130,000 lagi difaraidkan sesama pemimpin Umno. Itu projek RM200,000, bagaimana dengan projek RM2,000,000,000 (RM2 bilion)?
Masalahnya, segala kebusukan itu ditutup rapat oleh media dan pelbagai sekatan akta, misalnya OSA. Kempen cuba menyelongkar rahsia yang cuba ditutup, fakta yang diseleweng dan maklumat yang dipendamkan. Anda juga mungkin ada info menarik, marilah kita berkongsi sama. Dan jangan lupa sebar-luaskan Kempen. Jumpa lagi.
- Tulisan ini adalah Catatan Hujung Ahmad Lutfi dalam Kempen1, akhbar percuma 8 halaman, terbitan Jabatan Penerangan PAS Pusat.
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
2 hours ago
0 comments:
Post a Comment