Penyokong setia Umno Johor kecewa pemimpin tidak bela nasib mereka
Salman Hussin
harakahdaily
PONTIAN, 9 Feb (Hrkh) – Kecewa, marah dan terkilan, itulah kata-kata yang seringkali dihamburkan segelintir rakyat negeri Johor setelah menyedari kebajikan mereka diabaikan dan hak mereka dinafikan.
Luahan perasaan ini dizahirkan berikutan kegagalan pemimpin yang mereka sokong selama ini yang diharapkan dapat membantu menyelesaikan masalah mereka.
Tetapi realitinya pemimpin-pemimpin yang hampir dengan rakyat seperti ketua kampung, penghulu dan juga wakil rakyat ini, telah gagal memainkan peranan mereka sebagai pembela nasib rakyat
"Kita pun hairan bagaimana sesudah 50 tahun negara ini merdeka, masih terdapat ramai lagi kalangan rakyat yang hidup dalam keadaan yang serba dhaif ini, kata Yang diPertua Pertubuhan Kebajikan Islam Pulai Sebatang (PKIPS), Shamsuddin Jaafar.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program turun padang bertemu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulai Sebatang, dekat sini.
Terdahulu beliau telah mengedarkan buah limau kepada masyarakat Tionghua di pekan Parit Sikom, sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya berjaya mengesan seorang warga emas di Parit Sikom Dalam, Deni Chokro, 65, yang dinafikan hak mendapat rumah PPRT.
"Kali ini kita dapat mengesan dua lagi keluarga melayu di Pulai Sebatang dan Air Baloi, dalam kawasan Parlimen Pontian, yang sangat memerlukan bantuan kerajaan disebabkan kedhaifan hidup mereka," katanya.
"Apa yang sangat menghairankan kita, kesemua mereka ini adalah penyokong setia Umno, mereka sudah berulangkali merayu bantuan dari pemimpin Umno, sama ada di peringkat cawangan hinggalah ke Umno Bahagian, tetapi malangnya sehingga hari ini permohonan mereka tidak dilayan sewajarnya.
Shamsuddin seterusnya mendedahkan bagaimana sebuah keluarga di Pulai Sebatang, Mohd Arshad Hurairah yang mendakwa seringkali ditipu ketua kampung mereka.
Mohd Arshad, tinggal bersama Isteri, Faizah Anas, serta tiga dari empat anak mereka selain menyara ibu Arshad di sebuahrumah yang sudah begitu uzur
"Setiap kali mereka menemui ketua kampung untuk mengetahui perkembangan permohonan rumah mereka, mereka hanya diberitahu permohonan 'sedang dalam proses', itulah saja jawapan ketua kampung terbabit setiap kali ditemui, sejak beberapa tahun lalu.
"Baru-baru ini kita diberitahu, Penghulu ada datang melihat keadaan rumah keluarga ini tetapi kedatangan beliau langsung tidak memberi sebarang erti bagi keluarga ini. "beliau bukan saja tidak menunjukkan kesungguhan untuk membantu sebaliknya memberi alas an kononnya bantuan tidak dapat diberi disebabkan faktor usia yang masih muda.
“Kalau diukur dari segi usia, beliau (Arshad) memang masih muda, kita tidak nafikan alas an ini tetapi lihatlah dari sudut lain pula seperti pendapatan dan jumlah tanggungan beliau.
“Dengan pendapatan sebagai pengawal keselamatan yang tidak seberapa jumlahnya serta tanggungan tiga anak yang masih sekolah (darjah satu, dua dan empat) ini sudah tentu di luar kemampuan beliau untuk membaiki rumahnya, apatah lagi dalam keadaan harga bahan binaan yang begitu tinggi sekarang ini.
Katanya, atap rumah mereka sudah bocor di merata tempat, manakala dinding papan dan juga tiang rumah pula sudah banyak yang dimakan anai-anai.
"Apakah bantuan akan dihulur setelah rumah keluarga ini tersungkur menyembah bumi dan ada pula kalangan ahli keluarga ini yang terkorban atau tercedera, barulah semua pihak membuka mata dan berbondong-bondong datang menghulur berbagai bentuk bantuan," ujarnya.
Hal yang sama turut menghantui seorang ibu tunggal warga emas, di Air Baloi, Arfah Ahmad, 65, apabila rumah kayu peninggalan keluarga arwah suaminya yang dibina sejak sebelum zaman Jepun lagi, sedang menunggu masa untuk roboh.
Ketika ditemui, Arfah memberitahu, sudah banyak kali memohon bantuan melalui Wanita Umno cawangan dan juga seorang AJK Umno Bahagian Pontian bagi mendapatkan bantuan untuk membina semula rumahnya yang sudah terlalu uzur.
"Bahkan, setiap kali menghadiri mesyuarat wanita Umno cawangan, makcik tak jemu-jemu timbulkan fasal rumah ini, bila nak dapat, sampai bila lagi harus menunggu, namun jawapan mereka setiap kali pertanyaan ini diajukan, 'tunggu dan sabar', begitulah yang berlaku setiap tahun sehingga makcik naik bosan dibuatnya.
"Sejak sebelum suami makcik meninggal dunia tiga tahun lalu, kami sudah pun memohon bantuan lebih dari tiga kali daripada pemimpin-pemimpin Umno ini," ujarnya.
Malah katanya, ada pemimpin Umno yang menjanjikan untuk mendapatkan bantuan dari Baitulmal tetapi hingga kini bantuan yang diharap masih tidak kunjung tiba, sedangkan rumahnya hanya menanti masa untuk rebah saja.
"Baru-baru ini pihak tentera ada datang melawat makcik sebab suami makcik dulu bekas anggota tentera, mereka berjanji akan menyalurkan bantuan sara hidup kepada makcik, tetapi untuk membina rumah baru mereka kata tiada peruntukan," katanya.
Kecewa dan marah dengan sikap lepas tangan pemimpin-pemimpin yang selama ini diharap dapat membela nasib orang miskin sepertinya, ibu tunggal warga emas ini bertekad untuk tidak mengundi BN dalam pilihan raya umum akan datang.
"Setelah berpuluh-puluh tahun makcik setia menyokong Umno dan setiap kali pilihan raya makcik mengundi BN, nampaknya pilihan raya kali ini makcik kena beri undi pada PAS pula," ujarnya./wann
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
1 hour ago
0 comments:
Post a Comment