tronohtranquility
“Habislah, Pulau Pinang dah tergadai.”
Ayat yang terpacul dari rakan sepejabat, Melayu Jelutong yang tidak balik mengundi pada 8 Mac lepas kerana sibuk, bila dia mendapat tahu langkah nombor satu Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri ialah untuk menghapuskan “elemen-elemen yang menyumbang kepada rasuah, kronisme dan salah guna kuasa di dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).”
Aku petik ayat Lim Guan Eng dengan terperinci kerana malam tadi Buletin Utama di TV3 menyiarkan laporan yang menuduh Lim Guan Eng berdolak-dalik dalam isu DEB. Mula-mula mahu hapus DEB, tapi sekarang tukar ayat kepada kononnya mahu menghapuskan rasuah di dalam DEB.
Masalahnya ayat Guan Eng yang aku petik di atas ialah ayat yang pertama sekali terpacul dari mulut beliau menyentuh isu DEB. Mengikut pemahaman mudah budak Darjah 1, rasuah, kronisme dan salah guna kuasa dalam DEB mesti dihentikan. Sama ada DEB dirombak atau pun dihapuskan itu bergantung pada keputusan kerajaan Pulau Pinang sesudah kajian nanti. Perkara pokok di sini ialah menghentikan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa yang berlaku kerana DEB ini agar rakyat Pulau Pinang dapat menikmati kerajaan yang telus dan efisien.
“Transparent Penang” tulis suratkhabar berbahasa Inggeris. “DEB Dihapuskan” tulis suratkhabar berbahasa Melayu. Ya, suratkhabar Utusan Malaysia yang hidup segan mati tak mahu tapi lebih sanggup jadi keldai tunggangan UMNO. Suratkhabar UMNO yang digunakan untuk terus membodoh-bodohkan orang Melayu supaya senang diperintah UMNO.
Hari ini pula sudah keluar surat pembaca di Utusan Malaysia yang menuduh suratkhabar Inggeris dan Mandarin mempunyai rancangan jahat mahu merampas hak-hak Melayu. Sejak dari hari Isnin ke hari ini, punyalah banyak surat pembaca di Utusan Malaysia itu yang mengapi-apikan orang Melayu sambil menghina mana-mana Melayu yang tidak mengundi BN pada pilihan raya lepas.
Sama ada mereka itu semua orang UMNO, atau memang begitu ramai Melayu bodoh beragamakan Islam Hadhari.
Ya, Utusan Malaysia bukan akhbar yang membela Melayu tapi sebenarnya tidak lebih dari suratkhabar racist dan bahan propaganda UMNO untuk menakut dan mengapikan orang Melayu. Bahkan jika Joseph Goebbels masih hidup pun beliau akan tabik pada Utusan Malaysia.
Api perkauman yang dimainkan oleh UMNO semenjak politikus-politikus mereka yang berperut buncit kerana rasuah dan berkulit licin kerana tempe ditolak rakyat. Kononnya Melayu sudah hilang kuasa kerana mengundi DAP, PKR dan PAS. Kononnya habislah Melayu dipijak kepalanya, digadai tanahnya dan dinodailah anak dara suntinya kerana kuasa UMNO sudah terhakis.
“Melayu yang mengundi pembangkang mesti jawab pada Melayu yang lain.”
Kata Nazri Aziz dalam Utusan Malaysia mengulas mengenai hilangnya kuasa UMNO kerana Melayu di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor mengundi parti pembangkang. Ya, Nazri Aziz orang UMNO yang hidupnya tidak lain tapi hanya untuk membela bangsa Melayu. Nazri Aziz yang dulu kerjanya beri permit teksi pada syarikat-syarikat Bumiputera, maaf, maksud aku Umnoputera sebab mahu menolong orang Melayu berjaya dalam perniagaan. Betul, Nazri Aziz tolong usahawan Melayu. Nazri Aziz juga tindas pemandu teksi Melayu, Cina dan India dengan memaksa mereka pandu teksi cabuk milik usahawan Umnoputera dengan sewa RM45 sehari, sedangkan syarikat teksi cuma bayar pada bank tidak sampai RM450 sebulan sebagai ansuran pinjaman.
Aku bohong? Pergi tanya Pak Lebai yang bawa teksi di Kuala Lumpur tentang betapa seksanya mahu cari sesuap rezeki untuk keluarga, dia pun Melayu. Itu pasal Pak Lah sebelum pilihan raya tempoh hari, sibuk-sibuk berkempen dengan pemandu teksi. Sebab dia tahu selama ini UMNO pijak kepala Melayu, Cina dan India yang kerjanya pandu teksi.
UMNO akan terus membodoh-bodohkan orang Melayu dengan gula-gula DEB mereka serta isu Ketuanan Melayu. Jika betul UMNO membela nasib Melayu kenapa selama 50 tahun yang lepas ini orang Melayu di Pulau Pinang cuma duduk di Balik Pulau atau pun beramai-ramai menyesakkan Seberang Jaya? Betulkah DEB berkesan bila mana 80% kekayaan Melayu dibolot oleh hanya 5% orang Melayu dari golongan tertentu setelah 37 tahun dilaksanakan? UMNO memperjuangkan Ketuanan Melayu atau Ketuanan UMNO?
UMNO, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, hanya memperjuangkan Ketuanan UMNO. Parti fasis ini tidak memperjuangkan masa depan setiap bangsa Melayu, tetapi hanya nasib Melayu yang patuh pada UMNO. Jika takrifan Perlembagaan Persekutuan menetapkan Melayu itu beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu serta mengamalkan budaya dan adat resam Melayu, takrifan UMNO pula menambah Melayu itu mesti menyokong, mengundi dan setia pada UMNO.
Baru betul Melayu.
Dan seperti mana parti fasis yang pernah wujud satu masa dahulu, UMNO itu akan hanya wujud dan kuat dengan cara memperbodoh dan menakutkan bangsa Melayu. Segala permasalahan Melayu hari, baik dari segi agama, ekonomi atau sosial, dipersalahkan pada bangsa-bangsa lain. Orang Melayu ditakutkan dengan penguasaan ekonomi Cina, ditakutkan bahawa orang Melayu akan dikristiankan atau ditakutkan dengan bangsa-bangsa bukan Melayu di Malaysia yang kononnya mahu membolot negara ini dan menindas Melayu di bumi sendiri. Lalu untuk UMNO sendiri kekal wujud dan kuat, UMNO akan terus-terusan membiar orang Melayu dalam permasalahan mereka sendiri supaya mereka merasakan diri mereka lemah dan memerlukan perlindungan UMNO.
Jadi apa UMNO ini sebenarnya?
Warisan kemelayuan kita semua yang tidak dapat dikikis dari bangsa Melayu. Seperti bangsa Melayu berkurun lama dahulu yang hidup dalam sebuah masyarakat feudal, UMNO yang ada hari ini ialah sebuah organisasi untuk mewujudkan satu golongan bangsawan Melayu, seperti adanya bangsawan-bangsawan Melayu di zaman dulu kala. Satu kelompok golongan atasan Melayu dengan kuasa dan jawatan, satu kelompok minoriti Melayu yang berkuasa ke atas majoriti Melayu yang lain.
Jika di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu ada Sultan dan istana sebagai kuasa mutlak, kemudian golongan bangsawan seperti bendahara, temenggung, syahbandar atau panglima dan di hirarki terbawah sekali, rakyat kebanyakan atau layaknya pacar-pacar hina, hari ini kita ada raja-raja Melayu di istana, kemudiannya golongan bangsawan Umnoputera di dalam UMNO dan akhir sekali rakyat Melayu kebanyakan tanpa pangkat atau kuasa di dalam UMNO.
Bangsat-bangsat Umnoputera inilah yang berkuasa. Macam Allahyarham Zakaria Deros yang membina istana beliau di atas tanah awam tanpa sebarang kelulusan, jika ada rakyat Melayu biasa yang membantah akan diugut pula dengan orang-orang suruhannya. Jika dulu panglima bengis masuk kampung merogol anak dara sunti, hari ini ada Datuk dan Tan Sri tamak gilakan kontrak DEB memijak-mijak orang Melayu lain atas kepentingan diri sendiri.
Dan bagaimana golongan bangsawan dulu kala menghambakan orang Melayu golongan pacar hina untuk patuh setia tidak berbelah bagi, samalah hari ini Melayu disuruh dipaksa untuk tunduk pada UMNO. Jika kamu Melayu dan kamu tidak bersama UMNO, murtad bangsalah kamu!
Akhirnya Melayu yang mengundi parti lain selain UMNO pilihan raya lepas dituduh khianat dan derhaka pada bangsa. Dan ini bukan kali pertama UMNO menjatuhkan hukum mereka.
Tidak percaya?
Bila PAS ditubuhkan di Gunung Semanggul, Perak, dulu Onn Jaafar menggelarnya “malapetaka dari gunung” kerana takutkan ancaman PAS yang akan menarik kesetiaan Melayu dari UMNO. Bila tertubuhnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), UMNO berpakat dengan British untuk memenjarakan pemimpin-pemimpin Melayu berhaluan kiri kerana takutkan orang Melayu bangkit menentang golongan monarki dan bangsawan UMNO. Dan pada tahun 1963 di Singapura bila ada orang Melayu menyertai Parti Tindakan Rakyat (PAP), Syed Jaafar Albar menyeberang tambak untuk menuduh mereka ini sebagai pengkhianat bangsa.
UMNO tidak akan terima Melayu yang menolak UMNO. Kerana bagi mereka, Melayu mesti setia pada UMNO, mesti sokong UMNO dan mesti undi UMNO, supaya golongan bangsawan Umnoputera boleh terus berkuasa dan memeras ugut golongan pacar-pacar hina Melayu yang lain.
Dan apa akibatnya bila kamu melawan kehendak golongan bangsawan Umnoputera ini?
Kamu akan dihukum seperti mana Azhar Ibrahim, Setiausaha UMNO Pulau Pinang yang baru-baru ini keluar televisyen untuk mendesak kerajaan Pesekutuan menghentikan segala projek pembangunan di Pulau Pinang sebagai menghukum orang Pulau Pinang kerana menolak UMNO dan BN.
Bodoh dan bebal sangatkah beruk seperti Azhar Ibrahim ini yang agaknya masih berfikiran feudal? Agaknya si beruk ini fikir duit untuk pembangunan itu datang dari tempayan emas milik para bangsawan? Atau memang ini satu lagi contoh politik UMNO yang mengugut rakyat biasa yang tidak setia kepada UMNO?
Hari ini, hasil dari kempen oleh si beruk Azhar Ibrahim ini, pariah-pariah atau orang suruhan UMNO berhimpun di Komtar. Kononnya mahu bela nasib Melayu di Pulau Pinang kerana Lim Guan Eng sudah memutuskan untuk menghentikan sistem tender tertutup dalam pemberian kontrak, yang merupakan satu punca rasuah serta salah guna kuasa dalam DEB.
Orang Melayu yang kerja kampung sekitar Balik Pulau tidak ada syarikat kontraktor dan tidak ada sebab mahu risau atas tindakan Guan Eng itu. Tapi bangsawan merangkap usahawan Umnoputera memang patut risau, kerana kita arif sangat cara mereka bekerja, tandatangan kontrak RM5 juta dan hulur RM5 ribu bawah meja.
Bukan aku tipu. Memang betul pernah dan sedang berlaku. Paling tidak pun beri kontrak yang tidak masuk akal. Contohnya kontrak mahu bina 60 rumah kuarters kerajaan di Sarawak dengan jumlah harga RM15 juta. Ini bukan aku cerita dongeng. Ini apa yang aku lihat dalam kerja setiap hari. Kerajaan beri kontrak pada usahawan Umnoputera yang kemudian di ali babakan pada usahawan bukan Melayu.
UMNO tolong Melayu? Bukan. UMNO cuma tolong Umnoputera, orang Melayu yang ada keahlian UMNO. Umnoputera pula berpakat dengan tauke-tauke Cina dan India sebab mereka sendiri malas mahu buat kerja. Siapa yang mahu kerja bila sudah dapat makan duit atas angin (atau bawah meja).
Tapi UMNO terus menipu, tulis dalam suratkhabar Utusan Malaysia yang sebenarnya lebih sesuai jadi kertas tandas, bahawa mereka membela nasib Melayu. Dan UMNO terus takutkan Melayu dengan cerita Cina dan India yang mahu rampas tanah Melayu, mengkafirkan Melayu dan menindas Melayu di bumi sendiri. Dan mereka terus memainkan api perkauman atas alasan membela nasib Malyu hinggakan dalam Utusan Malaysia ditulis orang Cina dan India di negara ini anggap diri mereka tidak lebih dari sekadar diaspora Cina dan India, bukannya rakyat Malaysia. Dalam Utusan Malaysia diagungkan Allahyarham Zakaria Deros yang berjuang membela nasib Melayu, bila mana beliau membina istana atas tanah awam dan tidak bayar taksiran cukai selama 12 tahun. Dalam Utusan Malaysia difitnahkan orang-orang Melayu yang mengundi DAP sebagai pengkhianat bangsa dan penjual maruah Melayu.
Walhal ideologi Ketuanan Melayu yang dilaungkan itu hanya satu muslihat untuk mengizinkan bangsa Melayu terus mundur dalam sebuah masyarakat feudal yang menguntungkan bangsawan Umnoputera. UMNO yang sebenarnya memperjuangkan Ketuanan UMNO agar mereka terus berkuasa dan menindas Melayu, Cina dan India.
Hari ini kecohlah UMNO dan Utusan Malaysia yang kononnya risaukan nasib bangsa Melayu. Yang dijadikan kambing hitam ialah orang Melayu yang mengundi DAP, PKR dan PAS.
Dan mereka terpekik terlolong kononnya tergadailah Pulau Pinang bila diperintah oleh DAP.
Inilah sebenarnya dilema Melayu. Dipergunakan oleh UMNO untuk kepentingan bangsawan Umnoputera.
222 tahun dulu Francis Light menjejakkan kaki di Pulau Pinang setelah mendapatkan pulau itu dari Sultan Kedah yang mengaku Melayu tapi kononnya pula keturunan Iskandar Zulkarnain seperti di dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Dan selepas itu habislah satu demi satu negeri Melayu dijajah British.
Oleh kerana sikitnya jumlah Melayu dan ada pula yang pemalas maka dibawa masuk oleh British kaum Cina dan India, buat memajukan ekonomi Tanah Melayu. Dan hiduplah tiga bangsa ini hingga satu hari mereka berani menuntut kemerdekaan.
Sayang sekali penjajah British hanya mahu berunding dengan pihak yang mereka senangi. Bukan KMM, bukan PUTERA dan bukan AMCJA. British lebih senang dengan pihak istana dan parti royalist atau golongan bangsawan seperti UMNO.
Lalu diserahkan Tanah Melayu pada UMNO dengan persetujuan raja-raja Melayu. Dan gembiralah golongan bangsawan ini dan raja-raja mereka, kerana selepas ratusan tahun dijajah British dapat juga mereka mengekalkan bangsa Melayu di dalam masyarakat feudal agar senang dipijak dan ditindas.
Ketuanan Melayu kononnya dicanangkan. Dan selepas 50 tahun merdeka Cina, India dan bangsa lain kekal dianggap warganegara kelas dua. Melayu kekal dalam feudalisme UMNO, dibodohkan, ditakutkan, diapikan dan ditindas bangsawan Umnoputera yang mendabik dada sebagai pembela bangsa.
Siapa gadai siapa?
RAKYAT CERDIK HARUS BERFIKIR
2 hours ago
0 comments:
Post a Comment