kosmo
BAYANGKAN diri anda terpaksa hidup dalam ketakutan sepanjang hidup. Apakah yang akan anda lakukan untuk menghapuskan ketakutan itu? Adakah anda akan meminta pertolongan daripada pihak tertentu atau terus memencilkan diri. Itulah antara tindakan yang acap kali terlintas dalam diri segelintir masyarakat di negara ini yang terpaksa melalui setiap detik kehidupan dalam ketakutan.
Kenapa takut? Tiada peperangan mahupun rusuhan tercetus di negara yang aman dan makmur ini. Jadi, apakah perkara yang mengundang ketakutan mereka?
Mereka lahir di bumi bertuah tetapi kegagalan memperoleh identiti sebenar menerusi dokumen-dokumen sah seumpama surat beranak dan kad pengenalan mengakibatkan segelintir masyarakat terpaksa menjalani rutin harian dalam ketakutan.
Lebih memburukkan keadaan apabila mereka turut menghadapi pelbagai kesukaran untuk menikmati pendidikan sekolah rendah, menengah dan universiti, seterusnya memperoleh pekerjaan yang sesuai untuk menyara diri dan keluarga.
Kosmo! menyelami kehidupan mereka dengan membongkar kedukaan yang dilalui serta perjuangan yang dilakukan semata-mata untuk memperoleh taraf kewarganegaraan.
S. Vigneswary, 23, seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) berkongsi pengalaman perit dan kesengsaraan yang terpaksa dilaluinya selama 23 tahun gara-gara tiada identiti diri sebagai warganegara Malaysia.
"Saya tidak memiliki surat beranak dan kad pengenalan kerana ibu bapa tidak melaporkan kelahiran saya kepada Pendaftar Kelahiran dan Kematian. Saya dilahirkan di Lum Special Maternity, Kuala Lumpur pada tahun 1984.
"Sejurus dilahirkan, ibu bapa saya telah meninggalkan saya di rumah seorang saudara. Apabila berusia dua tahun, datuk dan nenek membawa saya tinggal bersama mereka di Perak. Dalam tempoh tersebut, mereka telah berusaha untuk mendapatkan surat beranak tetapi segala usaha itu menemui jalan buntu gara-gara prosedur yang diikuti tidak betul," katanya sambil mengesat air mata ketika ditemui di Puchong, Selangor baru-baru ini.
Pelajar tahun akhir Pengajian Sastera dan Sains Sosial ini memberitahu, walaupun dia tidak memiliki dokumen diri yang sah, ia tidak menjadi batu penghalang kepadanya untuk meneruskan pelajaran di sekolah rendah dan menengah.
Menjelang peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Perang dan SMK Buyong Adil, Perak telah membantunya mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi menduduki peperiksaan tersebut tanpa sebarang masalah.
Anak tunggal pasangan Sambanthan dan S. Enthrganthi itu sekali lagi melalui saat-saat getir semasa keputusan STPM diumumkan. Walaupun mendapat keputusan yang baik, namun dia masih mengalami kesukaran untuk memohon kemasukan ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada tahun 2004.
"Dengan bantuan nombor pengenalan diri sementara yang dikeluarkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia, saya berjaya meneruskan proses permohonan ke IPTA dan akhirnya memperoleh tawaran melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Sastera di UM," ujarnya.
T. NALINI dan M. Gobi terpaksa lalui pelbagai kesukaran akibat tiada kad pengenalan.
Dia mengakui bukan mudah menjalani kehidupan tanpa dokumen sah. Masalah itu menyebabkannya gagal memperoleh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga memaksanya bergantung kepada belas ehsan saudara mara untuk menyara kehidupan di kampus. Selain itu, membayar yuran pengajian menjadi satu pengalaman yang lebih memeritkan termasuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital.
"Itu antara kesusahan yang terpaksa saya lalui ekoran masalah ketiadaan pengenalan diri," ujarnya yang kini menggunakan kad matrik universiti untuk melakukan segala urusan rasmi di kampus.
Menurutnya, sehingga hari ini, dia masih berusaha untuk mendapatkan surat beranak dan kad pengenalan diri.
Katanya, dia telah menghantar permohonan pendaftaran lewat kelahiran ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Kecil Gombak pada 2003 dengan mengikut prosedur yang betul termasuk menghadiri dua kali temuduga.
"Sehingga hari ini, saya masih tidak mendapat apa-apa jawaban daripada pihak berkenaan," katanya kesal.
Kemudian dia telah dimaklumkan bahawa permohonan itu telah dipindahkan ke Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat, JPN Selangor pada 2005.
"Berikutan itu, saya telah dipanggil untuk temuduga sebanyak dua kali.
"Semasa temuduga tersebut, pegawai JPN menjelaskan bahawa dalam tempoh enam bulan, saya akan mendapat dokumen yang dipohon. Namun, tempoh enam bulan itu sudah lama tamat dan masalah saya masih tidak selesai," ujarnya yang mengakui telah berjumpa dengan beberapa ahli politik untuk membantunya menyelesaikan masalah ini.
Penantian Vigneswary selama 23 tahun nampaknya seperti tiada penghujung. Memandangkan beliau akan menamatkan pengajiannya pada bulan Jun ini maka pihak tertentu perlu tampil untuk membebaskannya daripada belenggu masalah ini.
"Jika tidak selesai, sudah tentu masa depan saya akan kelam dan tiada sesiapa boleh menjamin kehidupan saya yang lebih baik pada masa depan," katanya.
Nasib yang sama turut menimpa seorang lagi gadis dari Bedong, Kedah.
R.Nalini, 22, tidak memperoleh kad pengenalan selepas ditinggalkan ibunya dan kehilangan ayahnya pada 1999.
"Sejak itu, saya dibesarkan oleh emak saudara yang tinggal di Sungai Petani dan sehingga hari ini, saya tidak menerima sebarang khabar berita tentang ibu saya, S.Poovathy, yang meninggalkan saya ketika berusia 11 tahun.
"Saya terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memudahkan urusan mendapatkan kad pengenalan dan telah membuat permohonan kepada JPN.
"Pihak JPN meminta saya membawa sesiapa yang mempunyai pertalian darah untuk meluluskan permohonan tersebut," katanya.
Anak keempat daripada enam adik-beradik ini gagal membawa saudara terdekat akibat terputus hubungan dan dia juga tidak mengetahui di mana mereka berada pada saat ini.
Gadis ini juga terpaksa menumpang di rumah abang saudaranya di Puchong akibat tidak layak memohon sebarang pekerjaan sambilan. Sementara itu, sanak saudaranya pula ingin mengahwinkannya dengan lelaki pilihan mereka dalam masa terdekat ini.
"Pihak keluarga lelaki berjanji akan menanti sehingga saya mendapat dokumen yang sah agar kami dapat meneruskan pendaftaran perkahwinan dan melangsungkan perkahwinan mengikut adat istiadat kaum India," katanya.
Dia turut kesal kerana ketiadaan dokumen sah ini menyebabkannya ditipu oleh pihak yang mengambil kesempatan terhadapnya. Ada yang berpura-pura ingin membantunya mendapatkan kad pengenalan daripada JPN tetapi dengan syarat, Nalini perlu membayar sejumlah wang.
"Saya hampir kehilangan RM1,000 angkara niat jahat pihak terlibat," ujarnya dengan nada sedih.
Sementara itu, jejaka yang bernama M.Gobi, 21, kelihatan sedih dan tertekan ketika menceritakan keperitan yang terpaksa dilaluinya gara-gara tiada kad pengenalan.
"Saya kini bekerja sebagai pengedar surat khabar sambilan di ibu kota. Gaji yang diterima hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian. Ibu saya, M. Panchavarmah juga terpaksa bekerja keras di sebuah kilang dengan gaji RM600 sebulan," jelas Gobi.
Tambahnya lagi, jika keadaan terdesak, dia terpaksa meminjam duit daripada pihak majikan atau jiran untuk membeli keperluan dapur seperti beras, gula dan sebagainya.
"Sebenarnya, saya lahir di Nagapatinam, India. Apabila ibu bapa saya bercerai, ibu telah membawa saya ke Malaysia," katanya.
Anak bongsu daripada empat orang adik beradik ini berkata, dia telah memohon untuk mendapatkan kewarganegaraan dan kad pengenalan ketika berusia 15 tahun.
"Kini sudah lapan tahun berlalu dan apabila saya berjumpa pegawai JPN bertanyakan permohonan saya, antara jawapan yang diberi oleh mereka ialah permohonan saya masih dalam proses.
"Saya harap pihak JPN dapat menyemak semula permohonan tersebut dan mengambil langkah untuk meluluskannya secepat mungkin," katanya yang mendapat pendidikan awal di India tetapi tidak dapat meneruskan pelajaran di Malaysia kerana tiada kad pengenalan diri yang sah.
40,000 tidak memiliki surat beranak
T. MOHAN menerajui kempen kesedaran.
“KELALAIAN atau kecuaian ibu bapa dan berkahwin tanpa mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjadi antara penyebab utama seramai kira-kira 40,000 kaum India tidak memiliki surat beranak”.
Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan, Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, T. Mohan yang menerajui kempen kesedaran prosedur daftar lewat sijil kelahiran dan kad pengenalan untuk masyarakat India sejak lapan tahun lalu, berkata, pihaknya telah mempergiatkan kempen ini untuk menyedarkan ibu bapa kaum India tentang pentingnya anak-anak memiliki surat beranak dan kad pengenalan diri yang sah.
“Mengikut tinjauan terbaru, kami mengenal pasti sebanyak 2,000 kes di seluruh negara. Masalahnya, kebanyakan daripada mereka merupakan masyarakat luar bandar yang menetap di ladang - ladang yang terletak di kawasan pedalaman.
“Kami juga mendapati berlakunya gejala tiada dokumen yang sah ini lantaran perbuatan mereka yang melangsungkan perkahwinan tanpa mendaftar di JPN.
“Padahnya bukan mereka yang terima tetapi terpaksa dipikul oleh anak-anak mereka yang mengalami kesukaran untuk memperoleh sijil kelahiran dan kad pengenalan,” ujarnya yang mensasarkan untuk menyelesaikan sebanyak 80 kes dalam tempoh tiga bulan lagi.
Katanya, kempen kesedaran yang dipergiatkan di seluruh negara ini membantu masyarakat India untuk melengkapkan borang permohonan dan menghantarnya kepada pihak JPN.
Pihaknya juga sanggup membayar denda yang dikenakan oleh JPN jika keluarga tersebut tidak mampu membayarnya.
“Sukarelawan yang terlibat dalam kempen ini terdiri pelajar-pelajar universiti yang rela memberi pendedahan dan penerangan tentang kekangan-kekangan yang perlu dihadapi jika tiada dokumen yang sah.
“Antara kekangan itu ialah gagal mendapatkan pendidikan di peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi, sukar mendapatkan pekerjaan yang sesuai, tidak boleh mencarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso, menghadapi masalah untuk melangsungkan perkahwinan mengikut undang-undang, tidak boleh memohon pinjaman bank serta pembelian rumah atau kereta tambahan serta dinafikan hak mengundi sebagai warganegara yang sah,” jelasnya.
Menurutnya, pihak MIC bertungkus lumus mengadakan pelbagai kempen dan program untuk menyedarkan masyarakat India tentang kepentingan dokumen-dokumen yang sah ini.
TAK DAK KISAH. CUMA MURAH SANGAT NAMA JIHAD
17 minutes ago
1 comments:
pelik jugak ye...jpn boleh buat ic pengundi hantu dgn pantas..cpat dan pantas utk kepentingan spr bn dan yg sewaktu dgnnya;mota baru jpn.
Post a Comment