harakahdaily
KLUANG, 19 Mac (Hrkh) Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfodz Mohamad, mengingatkan orang Melayu agar tidak terpengaruh dengan ajakan Umno supaya orang Melayu memusuhi kaum-kaum lain.
"Ini adalah propaganda jahat mereka semata-mata bagi mencetuskan ketegangan kaum berikutan kekalahan teruk mereka pada Pilihan raya Umum baru-baru ini," katanya di sini.
"Sekiranya ketegangan kaum ini berjaya diwujudkan maka mudahlah bagi mereka untuk meneruskan agenda jahat mereka," katanya semasa berucap pada majlis meraikan petugas dan pengundi di Parlimen Simpang Renggam, yang diadakan di Kampung Shari, Simpang Renggam, dekat sini.
Hadir sama pada majlis ini adalah calon PAS yang bertanding di Parlimen Simpang Renggam dan Dun Macap, Ustaz Atan Gombang dan Ustaz Abdullah Hussein serta Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Atiah Ahmad.
Lebih 500 penyokong PAS yang terdiri dari berbagai kaum serta petugas PAS dan Barisan Alternatif (BA) yang telah bertungkus lumus pada PRU lalu menghadiri majlis yang diadakan seawal jam lima petang hingga 11.30 malam ini.
Menurut Dato' Mahfodz, PAS tidak pernah memusuhi mana-mana kaum dan agama, ini terbukti dengan wujudnya kerjasama erat antara kaum India dan Tionghua semasa PRU lalu.
"Bahkan hasil kerjasama yang sangat baik ini telah menghasilkan jumlah peningkatan undi yang begitu tinggi diperolehi calon-calon PAS, DAP dan KeADILan yang bertanding pada pilihan raya kali ini," katanya.
Katanya, Islam tidak pernah mengajar umatnya memusuhi bangsa atau penganut agama lain sebaliknya, Islam mendidik umatnya supaya berbaik-baik serta menjalin hubungan muhibbah dengan semua bangsa dan agama.
"Hari ini kaum-kaum lain di negara ini sudah memahami hakikat ini, sebab itu pada PRU baru-baru ini, secara terbuka mereka memberikan sokongan yang sangat baik kepada pakatan BA," ujarnya.
Dato' Mahfodz yang turut bertanding di Dun Bukit Serampang, pada PRU ini, melahirkan rasa terharu di atas perubahan sikap di kalangan orang bukan Islam yang bersedia untuk bersama dengan PAS.
"Perubahan sikap yang begitu mendadak di kalangan bukan Islam terhadap PAS yang berlaku hari ini tidak pernah berlaku sebelum ini, suasana yang berlaku mutakhir ini membuktikan bahawa PAS memang relevan bagi semua kaum dan agama," katanya.
Sehubungan itu beliau menyeru setiap pimpinan PAS di semua peringkat agar memanfaatkan sepenuhnya perubahan sikap rakyat berbilang kaum ini.
"Jangan lepaskan peluang ini, mulakan gerak kerja bagi memantapkan lagi kekuatan sedia ada," ujarnya lagi. - mns
TAK DAK KISAH. CUMA MURAH SANGAT NAMA JIHAD
1 minute ago
0 comments:
Post a Comment