Hasmuzair Hassan
Exco Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar pimpinan UMNO Pulau Pinang yang memperalatkan orang Melayu demi kepentingan mereka sendiri dengan menggunakan isu penolakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh kerajaan pakatan DAP, keADILan dan PAS di Pulau Pinang.
Hakikatnya, DEB yang diperkenalkan pada tahun 1971 telah tamat tempoh perlaksanaannya pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) (1991-2000) serta Dasar Pembangunan Wawasan (DPW) (2001-2010).
Bekas Timbalan Ketua Menteri P.Pinang, Abdul Rashid Abdullah yang juga merupakan Ketua Pembangkang di Pulau Pinang seharusnya peka terhadap perubahan dasar ini. AMK juga kesal dengan Musa Sheikh Fadzir, yang merupakan bekas senator kerana gagal membezakan DEB dengan Hak Keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
AMK berpendapat Umno P.Pinang sengaja meniup sentimen perkauman bagi menaikkan kemarahan orang Melayu di negeri itu untuk menunjukkan mereka masih mempunyai sokongan selepas tewas dalam PRU 12 untuk kekal memerintah Negeri Pulau Pinang.
AMK berpendirian adalah tidak salah jika kerajaan baru P.Pinang tidak melaksanakan DEB, malahan ianya tidak pernah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Ianya hanyalah satu dasar atau polisi Umno yang diserapkan ke dalam pekeliling kerajaan, dan ianya berubah-ubah mengikut selera Perdana Menteri. Hakikatnya, kedudukan DEB tidak lebih daripada Wawasan 2020 ciptaan Mahathir Mohamad dan Islam Hadhari ciptaan Abdullah Badawi.
Yang menjadikan DEB 'istimewa' adalah kerana DEB sering diperalatkan oleh pimpinan Umno untuk meraih sokongan orang Melayu. Ianya hanya digunakan apabila Umno merasakan mereka kehilangan sokongan orang Melayu, dan ketika pemimpin serta kroni mereka menagih tender-tender atau kontrak-kontrak kerajaan.
Dengan bermodalkan DEB, pemimpin Umno dan kroni mereka mampu mendapat tender atau kontrak kerajaan sekalipun mereka tidak berkelayakan untuk mendapat tender atau kontrak tersebut.
Yang sering mereka laungkan ialah tanpa Umno yang mempertahankan DEB, maka orang Melayu akan ketinggalan. Hakikatnya, yang mendapat faedah hasil dari DEB adalah pemimpin Umno dan kroni sahaja, sedangkan ahli Umno di peringkat bawahan hanya menikmati cebisan-cebisan kecil faedah-faedah DEB yang ditinggalkan oleh pemimpin Umno serta kroni mereka.
Kejayaan terbesar yang dicapai oleh DEB selepas hampir 40 tahun ditubuhkan ialah mengayakan pimpinan Umno dan kroni, manakala matlamat asal DEB iaitu 30 peratus penguasaan ekonomi negara oleh orang Melayu tidak tercapai.
AMK bertegas bahawa Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang ditawarkan keADILan adalah lebih adil, lebih saksama dan berperanan untuk memastikan tidak ada seorang pun yang ketinggalan di belakang tanpa mengira agama dan bangsa mereka. Dalam masa yang sama, kepentingan orang Melayu dan Agama Islam akan kekal terpelihara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
TAK DAK KISAH. CUMA MURAH SANGAT NAMA JIHAD
22 minutes ago
0 comments:
Post a Comment