Hasrat Ku Li ‘rawat’ UMNO bakal cetus pergolakan
Utusan Merapu
KUALA LUMPUR 20 Mac – Kesediaan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk menerajui dan ‘merawat’ UMNO boleh mengakibatkan pergolakan dalam parti.
Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, keadaan UMNO hari ini sebenarnya sudah cukup mantap selepas pengumuman Kabinet baru Selasa lepas.
‘‘Niat merawat Tengku Razaleigh (Ku Li) baik. Tetapi jangan sampai hendak melawan Perdana Menteri (Presiden) UMNO pula.
‘‘Rakyat sudah beri respons setuju kepada Kabinet baru. Tugas kita untuk bersatu padu dan terus beri sokongan kepada pucuk pimpinan baru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang telah membuat kejutan dalam sidang akhbarnya di Kota Bharu dengan mengatakan bahawa beliau bersedia bertanding sekali lagi bagi jawatan Presiden UMNO pada persidangan agung parti akan datang.
Pemimpin veteran UMNO itu berkata, jika mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, tiada sebab baginya untuk menolak “harapan” bahagian-bahagian yang mahukan perubahan pada peringkat pucuk pimpinan.
Tengku Razaleigh juga secara terbuka menyatakan kesediaan merawat UMNO bagi memastikan parti itu tidak hilang kekuasaan dan Melayu terus dibela.
Jelas Muhammad, kenyataan Tengku Razaleigh itu membuka mata semua pihak yang tidak mahu sebarang pergolakan baru berulang di dalam UMNO.
‘‘Tengok sahaja masa lepas. Pergolakan dan pecah belah akan berlaku jika ada yang cuba bertanding dengan Perdana Menteri.
‘‘Kita tidak minat dengan pertandingan cara sebegini. Ini lebih kepada mengundang perpecahan antara kita,’’ ujarnya.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik berkata, kesanggupan Tengku Razaleigh seharusnya tidak dipandang mudah semua pihak.
Oleh itu kata Sabaruddin yang juga veteran UMNO, fakta dan cara Tengku Razaleigh untuk merawat parti juga perlu diteliti semua pihak.
‘‘Kita tengok caranya merawat UMNO. Asalkan beri kebaikan kepada semua pada akhirnya,” jelasnya.
Sementara itu, veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail berkata, tentu ada jalan lain selain kesanggupan Tengku Razaleigh untuk merawat parti seperti yang diumumkan beliau semalam.
‘‘Ada cara lain untuk pulihkan parti. Mungkin cara itu lebih baik daripada kesanggupan Ku Li,” ujarnya.
PERINGATAN BUAT BERSATU
2 hours ago
0 comments:
Post a Comment