Ayam lemas, itik cucuk
H Metro
PUCHONG – Ayam lemas dan diletakkan sebekas dengan itik cucuk antara kesalahan tiga premis di sini sehingga ia disita dalam operasi awal pagi semalam.
Selain itu, operasi Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu juga mendapati, premis terbabit juga tiada tauliah penyembelihan dan tiada lesen perniagaan.
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md. Ikhsan berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang ramai dan mendapati salah satu premis di Sri Andalas membiarkan ayam mati dalam keadaan terhimpit di dalam sebuah tong sebelum disembelih.
“Bukan itu sahaja, premis yang menjalankan operasi sejak sebulan lalu itu turut mengakibatkan pencemaran apabila sisa buangan ayam disalurkan ke parit menyebabkan pencemaran yang teruk,” ujarnya ketika ditemui selepas mengetuai operasi berkenaan di sini semalam.
Operasi selama tiga jam bermula pukul 2 pagi itu melibatkan seramai 40 penguat kuasa MPSJ dan 15 pegawai JAIS.
Ketiga-tiga premis tersebut menggunakan khidmat penyembelih warga asing seperti India dan Bangladesh selain beberapa warga tempatan. Terdapat pekerja bukan Islam sebagai pembersih ayam atau itik.
Ekoran ayam lemas itu, menurut Adnan, kad akuan penyembelih bertauliah bagi dua penyembelih itu ditarik balik oleh JAIS dan mereka dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di bawah Seksyen 69 Akta Kerajaan Tempatan kerana mencemarkan saliran parit awam.
Menurutnya, premis kedua di Taman Maju Jaya pula dikesan menjalankan operasi penyembelihan tanpa lesen perniagaan dan penyembelih pula tidak mempunyai sijil akuan penyembelih yang sah.
“Penyembelih ayam itu warga asing dan hanya dapat kursus penyembelihan secara individu bukan untuk tujuan komersial.
“Atas sebab itu, premis yang juga tidak menitikberatkan soal keselamatan turut disita agar tiada lagi operasi boleh dijalankan pihak mereka,” jelas Adnan.
Sementara itu, premis ketiga di Taman Maju Jaya juga didapati bersalah kerana memproses ayam dan itik tebuk dan mencampurkannya antara yang halal dan haram dalam satu bekas.
“Premis ini turut disita serta-merta sementara waktu sehingga proses lesen perniagaannya diambil semula,” katanya.
Jan 13, 2008
HUB HARAM DIPUCHONG
Labels: HUB HARAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment