detikdaily
Berita Projek swastakan kursus ulangan 850,000 pemegang lesen memandu teksi, bas dan lori. Walaupun kerajaan memberi subsidi lebih 95 peratus bagi menampung kursus itu, namun ini bermakna wang pembayar cukai sekali lagi digunakan untuk memperkayakan kroni Abdulah. PM difahamkan sudah beberapa kali mengamuk dengan Menteri Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ kerana projek ini masih tertangguh!
KUALA LUMPUR: Satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional untuk kroni rapat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, iaitu Dato' Patrick Lim hanya menunggu masa untuk dilaksanakan. Ia bakal memberi pulangan berbilion ringgit kepada tokoh perniagaan yang selama ini menguasai projek di Terengganu dan Pulau Pinang.
Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan apa yang dipanggil kursus ulangan latihan dan ujian bagi semua pemegang lesen memandu vokasional yang dikendalikan oleh syarikat Ace, milik Patrick. Difahamkan Khairy Jamaluddin, menantu Abdullah juga merupakan orang politik yang paling beruntung dengan projek yang membebankan pemandu kenderaan komersil ini.
Menurut sumber, kursus tambahan ini dirangka hasil cadangan yang dikemukakan Patrick Lim kepada Perdana Menteri ekoran beberapa insiden kemalangan ngeri membabitkan kenderaan komersial. Terbaru melibatkan bas ekspres yang mengorbankan 18 ahli Wanita Umno Kuala Kedah di Tol Jelapang, Ipoh.
Kursus ini bakal dibahagikan kepada dua kategori iaitu 'teksi dan lori kecil' dan 'bas dan lori besar'. Bagi kategori pertama, setiap pemegang lesen diwajibkan menghadiri kursus dua tahun sekali dengan kos RM850 setiap sesi.
Manakala bagi kategori kedua, setiap pemegang lesen diwajibkan menghadiri kursus setahun sekali selama tiga tahun berturut-turut dengan bayaran RM1,450 setiap sesi.
Pemandu kategori kedua kemudiannya diwajibkan menghadiri kursus setiap tiga tahun sekali bermula tahun keempat.
Menurut sumber, walaupun Perdana Menteri turun padang mengarahkan agar cadangan kursus ini dilaksanakan segera, Kementerian Pengangkutan dan JPJ menangguhkan pelaksanaannya kerana khuatir dengan bantahan awam khususnya para pemandu terbabit.
Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Chan Kong Choy turut keberatan melaksanakan kursus berkenaan kerana khuatir ia boleh mendatangkan impak buruk kepada pencapaian MCA dalam pilihan raya umum akan datang, apatah lagi di saat DAP berpotensi untuk meraih undi lebih besar daripada masyarakat Cina.
Sehubungan itu, cadangan baru dikemukakan supaya hanya bayaran sebanyak RM100 dikenakan bagi pendaftaran kursus untuk setiap pemegang lesen, manakala kos selebihnya ditanggung kerajaan melalui Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRAF) dan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam
(KWAPA).
Bagaimanapun, bayaran RM100 itu tidak termasuk belanja penginapan selama dua setengah hari, belanja makan minum, kos pengangkutan dan kos ulangan jika pemilik lesen gagal dalam ujian yang ditetapkan, selain kerugian kerana tidak bekerja semasa pergi berkursus.
Difahamkan, syarikat milik Patrick Lim itu sudahpun memiliki litar latihan di Sepang bagi mengendalikan kursus ulangan latihan dan ujian bagi semua pemegang lesen memandu vokasional itu. Litar serupa juga akan dibina mengikut zon Pantai Timur, Utara dan Selatan.
JPJ telah mengeluarkan notis kepada lebih 9,000 kumpulan pertama bagi mengikuti kursus ini pada 21 Disember lalu. Sepatutnya, Chan Kong Choy dalam satu sidang akhbar di Putrajaya memaklumkan hal ini kepada media tetapi terpaksa sekali lagi menangguhkannya kerana bimbang risiko politik ekoran banyak bantahan daripada pemandu.
Terdapat hampir 850,000 pemandu kenderaan komersil di negara ini dan ini menjadikan kursus berkenaan sebagai satu perniagaan baru yang cukup menguntungkan. Kontrak dengan Patrick Lim ini dikatakan sepanjang tempoh 25 tahun.
Jan 13, 2008
Lagi-lagi Patrick Badawi yang bolot projek ...
Labels: PATRICK LIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment