Kini anak ku sudah 2 orang yang sekolah. Tanggung jawab sudah bertambah. Kerana bimbang mungkin, aku gunakan sedikit masa untuk berkunjung ke sekolah untuk beberapa hari ini. Masa menanti aku gunakan untuk bertanya khabar dan berita tentang keadaan sekolah. Maklumlah aku hanya hadir ke mesyuarat PIBG hanya sekali sejak anakku masuk ke sekolah. Setelah 4 tahun berada di sekolah yang sama, geli rasa untuk mendekatkan diri dengan PIBG kerana beberapa sebab.
Yang menjadikan aku muak adalah kerana PIBG sekolah tersebut dijadikan sebagai alat politik dan kepentingan hak para ibu bapa yang gila kuasa. Ada yang bersungguh sungguh untuk menjadi Pengerusi untuk menyenaraikan pencapaian diri mereka. Kebanyakan yang tergila gila dengan jawatan tersebut adalah golongan pegawai kastam yang rumah mereka terdapat berhampiran dengan kawasan sekolah. Memperlihatkan tentang bentuk banglo yang besar di satu kawasan kuarters Kastam itu menjelaskan bahawa mereka mereka yang mendiami rumah tersebut adalah golongan pegawai atasan dan berpangkat besar.
Rupanya kegairahannya membawa kepada memonopoli jawatan di dalam PIBG sekolah. Bentuk, cara, keadaan dan perangai memang memalukan. Ramai antara kumpulan pegawai kastam tersebut yang memegang jawatan penting di dalam PIBG. Tanggung jawab tidak seberapa tetapi gila pangkat usah nak kata.
Merujuk kepada kenyataan Hisammuddin (Menteri sotong negara) bahawa ramai ibu bapa yang tidak hadir ke mesyuarat PIBG dan kerana itu maka banyak berita yang tidak diketahui, termasuk tentang yuran dan sebagainya. Secara jelas, menurut beberapa orang ibu bapa dan penjaga yang ditemui, alasan mereka tidak menyertai PIBG adalah kerana terpesongnya tujuan asal penubuhan. Pihak PIBG sekarang banyak yang galak mencipta nama selain dari mencantikkan sekolah dari menjaga keadaan dan pencapaian anak murid. Akibatnya sekolah berhias canggih, anak murid terbiar dan ada antara mereka yang tidak mampu, tetapi PIBG tiada usaha untuk membantu.
Pegawai Kastam yang dilantik menjadi Pengerusi, kelihatan memperolehi barangan percuma termasuk langsir sekolah dan sebagainya. Kerusi bersantai serta pasu bunga disusun indah untuk memperlihatkan betapa berjaya nya sekolah itu. Dari siapa dan bagaimana ianya diperolehi, Wallahualam. Hanya Tuhan yang mengetahui. Kaedah mencantikkan sekolah ini umpama sikap kerajaan Malaysia yang memenuhkan bangunan dan kecanggihan di dalam negara sedangkan rakyat susah.
Aku berkesempatan untuk datang sendiri dan melihat. Cukup lama untuk aku meneliti. Melalui beberapa kali kehadiran sejak awal tahun, baru sekarang ingin menulis tentang keadaan sekolah anak ku. Ramai yang kecewa dengan keadaan disekolah walaupun pada zahirnya ia INDAH. Barangan makanan di kantin berbeza. Awal tahun dan sekarang. Belum pun habis bulan Januari, semua barang makanan sudah naik harganya. Paling kurang kenaikan adalah RM0.20 sen.
Dalam pada itu pihak kantin berangan untuk mempelbagaikan masakan. Kononnya untuk mengisi selera anak murid yang ada. Maka dimasakkan masakan seperti Mee Sup, Meehon Sup yang penuh dengan air dari meenya serta resepi resepi lain. Tiada kandungan perencah yang terdapat di dalam masakan tersebut kecuali air dan Mee. Harga semangkuk RM0.50. Cukup murah. Manakala 'Bebola ayam' dijual sebiji RM0.40 dan nasi lemak kosong RM0.50. Kalau ada ayam yang sekecil dua ibu jari harganya meningkat kepada RM1.00. Nasi ayam pun ada, dijual dengan harga RM1.00. Untuk membezakan antara nasi ayam dan nasi lemak, nasi ayam berwarna kuning dan ayam seketul yang sama saiznya. Tiada sayur dan tiada kuah mahupun sambal.
Memandang kurangnya murid yang mahu membeli makanan makan ketika rehat kerana mahal dan tidak enak, pihak kantin sekolah telah menaikkan harga minuman. RM0.30 kepada RM0.50 dan yang RM0.50 kepada RM0.70. Rata rata murid yang datang membeli minuman adalah mereka yang membawa bekalan dari rumah. Tidak sekarang ramai antara mereka sudah tidak membeli lagi kecuali membawa minuman sendiri dari rumah.
Sedang aku berbincang dan berceloteh, terlihat akan beberapa murid yang duduknya agak terpencil dari kawanan yang lain. Mereka kelihatan seperti dari golongan orang yang susah. Membawa roti dan meminum air kosong yang dibawa dari rumah. Kainnya pula berwarna "BIRU LUNTUR" dan kalau baju kurungnya sudah senteng dan singkat. Menunjukkan bahawa ianya dipakai sejak dulu lagi, tiada bertukar. Wajahnya muram, mungkin pemikirannya juga bercelaru memandangkan kanak kanak lain yang tidak kaya tetapi tidak sesusahnya. Bayangkan betapa susah nya kehidupan sehinggakan baju sekolah yang cuma berharga RM30.00 untuk sepasang pakaian pelajar perempuan, masih tidak mampu dibeli. Ini kan pula untuk membayar yuran dan sebagainya. Ada ibu bapa yang terpaksa berkorban untuk mengurangkan belanja kerja pergi dan balik semata mata untuk membeli baju anak. Itu menurut ibu bapa yang datang ketika itu.
PIBG tidak memandang semua ini kerana fokus dan cita cita mereka untuk mencantikkan bangunan dan sekolah. Pasu yang berharga RM100 pun mereka boleh beli. Baju anak anak sekolah yang cuma RM30.00 tidak mampu dibantu.
Ini lah yang ada di sekolah sekarang. Sistem Pembelajaran percuma adalah OMONG OMONG KOSONG kerajaan Malaysia. Sebenarnya, rakyat masih terpaksa terus membayar. Dan kalau meneruskan sekolah dan melanjutkan pelajaran, kanak kanak tiada lagi biasiswa kecuali pinjaman yang perlu dibayar. Kalau tidak dibayar maka nama mereka di senarai hitamkan sejak remaja lagi. Beruntunglah rakyat Malaysia kerana adanya kerajaan yang pandai berbohong dan bijak menipu. Semuga peristiwa harian kita menjadi pendorong kenapa KITA PERLU TUKAR KERAJAAN. Jangan hanya gila kan pembangunan tetapi rakyat terus papa kedana.
Aku membandingkan kehidupan dulu dan sekarang. Tiada lagi bantuan kasut, fakir miskin dan murid susah. PIBG sudah gila pangkat. Maju pada mereka adalah maju dari zahir. Realitinya rakyat terus miskin dan semakin susah dari hari ke hari. Satu ketika nanti mungkin ramai yang tidak dapat kesekolah kerana kurangnya pekerjaan dan kurangnya pendapatan disamping barangan yang naik harganya. Berterima kasih lah kepada mereka yang memilih kerajaan sekarang kerana mereka tergolong di dalam kumpulan yang bersubahat untuk meneruskan kepimpinan yang tidak tahu erti kasih sayang dan tanggung jawab. Mungkin anda juga tergolong di dalam kumpulan yang sama.
BILA WALAUN OTAK TERBALIK
1 hour ago
0 comments:
Post a Comment