Tidak pernah beri kebenaran, itu kerja haram – Radzi
Kosmo
KUALA LUMPUR – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menegaskan bahawa warga asing tidak pernah diberi kebenaran untuk bekerja sebagai pemandu bas atau teksi di negara ini.
Ini kerana warga asing hanya dibenarkan bekerja di beberapa sektor yang ditentukan terutama perladangan, perkilangan atau pembinaan.
Selain itu, mereka hanya boleh bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti pembantu rumah, pelayan di restoran atau tukang cuci.
“Kalau anda lihat perkara itu berlaku (warga asing pandu bas atau teksi) ia bermaksud mereka (warga asing) bekerja secara haram,’’ kata Menterinya, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad ketika ditanya mengenai kebanjiran warga asing terutama Indonesia yang dilihat semakin ramai memonopoli pekerjaan itu di ibu negara.
Menurutnya, kehadiran warga asing telah mencetuskan kebimbangan mengenai isu sosial termasuk soal-soal melakukan kerja yang tidak sepatutnya mereka lakukan.
Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Imigresen, Datuk Ishak Mohamed turut memandang serius masalah itu dan sedia mengatur gerakan menghentikannya.
“Kerajaan tidak pernah meluluskan warga asing dibenarkan bekerja sebagai pemandu atau konduktor, kalau dapat tangkap, kita akan kompaun mereka, tarik biometrik dan akan senarai hitamkan.
“Lebih-lebih lagi warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial kerana ia (pas) tidak boleh digunakan untuk bekerja di negara ini,’’ jelasnya.
Ishak berkata, ia juga satu maklumat yang baru kerana selama ini pihaknya belum ada menerima aduan mengenainya.
Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan pula akan meningkatkan operasi untuk mengesan kegiatan pemandu dan konduktor bas awam di kalangan pendatang asing tanpa izin.
Pengerusinya, Datuk Markiman Kobiran berkata, tindakan golongan tersebut memandu kenderaan awam sama ada bas atau teksi termasuk menjadi konduktor jelas menyalahi undang-undang kerana mereka tidak layak untuk berbuat demikian.
Jan 16, 2008
WARGA ASING JADI PEMANDU, SALAH SIAPA?
Labels: Pendatang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment