Tanah Adat Rembau Akan Tergadai !
rembau-hari-ini
Akhbar Utusan Malaysia bertarik 21 Februari 2008 antara lain menyebut bahawa Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bahawa kerajaan negeri bercadang untuk membina landasan pesawat kecil. Kawasannya juga telah dikenal pasti iaitu di Batu Hampar , Rembau. Menurutnya lagi kawasan itu adalah TANAH KAMPUNG.
Kita tidak menolak sebarang pembangunan, buatlah landasan kapalterbang tak kiralah besar atau kecil.
Cuma persoalannya sekarang kenapa perlu ambil TANAH KAMPUNG ? Adakah tanah kampung ini merupakan TANAH ADAT ? Sekiranya ianya Tanah Adat berapakah pampasan yang akan diberikan kepada pemilik tanah ? Adakah menurut nilaian Tanah Adat , Tanah Pertanian , Tanah Perumahan atau Tanah Industri ? Memang Tanah Adat di Rembau ini tiada nilai langsung jika hendak dijual, ini adalah kerana Tanah Adat hanya boleh dijual di kalangan adik beradik perempuan sahaja , lelaki tiada hak langsung untuk mendapatkan Tanah Adat. Sehinggakan ada yang menawarkan untuk membeli tanah adat ini dengan harga RM 5000 sahaja untuk suku ekar.
Tapi sekiranya Tanah Adat ini ditukar status ke Tanah Industri , barangkali ianya boleh mencecah berjuta-juta ringgit untuk satu ekar.
Janganlah orang kampung tergila-gilakan pampasan yang beberapa puluh atau beberapa ratus ribu ringgit. Dapatkah katakan RM 100,000 ringgit sekarang ini menggantikan satu ekar Tanah Adat yang sudah tergadai ? RM 100,000 hanya dapat membeli sebuah rumah teres 20 kaki kali 60 kaki.
Kenapa perlu ambil Tanah Adat milik orang Melayu ? Ambil saja Tanah Kerajaan , Tanah Swasta , Tanah Badan Berkanun , Tanah Estet dan sebagainya.
Orang-orang Adat di Rembau ini , seharusnya mempertahankan Tanah Adat di Rembau ini. Ianya haruslah dimajukan untuk kebaikan pewaris-pewaris yang sah. Moyang kita bersusah payah datang dari Sumatera , meneroka bumi Rembau ini , sekarang kita keturunan cucu cicitnya hendak menggadaikan Tanah Adat yang tinggal sekangkang kera ini atas nama pembangunan ? Kalau benar atas nama pembangunan , pastikan pampasan yang diberikan adalah setimpal dengan nilaian Tanah Komersial bukannya Tanah Adat.
Mana pergi semangat perjuangan UMNO 1951 , atau orang UMNO Rembau ini sudah lupa sejarah perjuangan UMNO di bumi Rembau ini ? Sila rujuk buku “A Share of the Harvest - Kinship, Property, and Social History among the Malays of Rembau” yang ditulis oleh Michael Gates Peletz terbitan University of California Press pada tahun 1988
AShareofTheHarvest
Dalam buku itu menyebutkan berlaku Kontoversi Adat yang besar pada tahun 1951. Pada tahun 1951 Biro Agama UMNO Bahagian Rembau telah mengeluarkan satu memorandum bahawa terdapat beberapa amalan Adat Perpatih yang bertentangan dengan hukum Islam , dan sesiapa yang mengamalkannya adalah berdosa. Ramai pihak telah menyokong memorandum tersebut. Sehingga mendapat sokongan Undang dan Yam Tuan Besar pada ketika itu dimana dalam buku itu memetik “…Yang diPertuan Besar then brought the matter to the Council of State, proposing a review of Chapter 215 of the Customary Tenure Enactment of 1926 on the grounds that it was unfair to men” (Yang Dipertuan Besar kemudian telah membawa perkara tersebut pada Majlis Negeri, mencadangkan agar dikaji Bab 215 Akta Adat 1926 atas alasan ianya tidak berlaku adil kepada pihak lelaki)
Bagaimanapun memorandum ini tidak berjaya dilaksanakan kerana ianya mendapat tentangan dari orang-orang Adat di peringkat bawahan.
Dengar sini ahli UMNO, dengar sini Puteri UMNO, dengar sini Putera UMNO. Ingat ! dulu lagi UMNO dah perjuangkan Tanah Adat ini agar diberi sedikit kelonggaran kepada anak lelaki untuk mendapatkan bahagian, agar anak lelaki dapat SOLOMPAP tanah untuk dibuat rumah empat tiang. Tapi sekarang UMNO atas nama pembangunan perjuangkan Tanah Adat untuk dibangunkan sebagai Tanah Komersial. Sanggupkah kita tengok adik beradik lelaki kita hidup menumpang tanah orang , berebutkan rumah PPRT sedangkan Tanah Adat masih ada ?
Jangan pertahankan UMNO , jangan pertahankan PAS , jangan pertahankan PKR. Pertahankan Tanah Adat kita. Bawa berunding dengan orang-orang Adat, orang UMNO, orang PAS, orang PKR. Supaya Tanah Adat di Rembau ini dapat dikongsi bersama dengan adik beradik kita yang lelaki. InsyaALLAH Rembau ini akan maju dan akan mendapat rahmat ALLAH swt.
Jangan sampai kita disumpah oleh nenek moyang kita yang meneroka tanah Rembau ini , kerana kita menggadaikan Tanah Adat atau tidak mengusahakan Tanah Adat !
SAPA IKUT PAS PN TAK SIGN SSPA MEMANG BODOW
32 minutes ago
0 comments:
Post a Comment