Deris Ke Kuala Lumpur lagi – Pak Lah & Najib main jongkang jongkit
buletinonline.net
Deris Jusoh bergegas ke Kuala Lumpur pagi ini walaupun esok adalah hari penamaan calon. Kelibat Deris dilihat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud seorang diri.
Apabila di sapa oleh orang ramai yang mengenali beliau, “Dato’ Seri keluar dari kawasan lagi waktu sebegini?” “sekejap, petang nanti balik” jawab Deris yang kelihatan tergesa-gesa.
Buletin Online dimaklumkan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu itu bergegas ke Kuala Lumpur ekoran dari kedatangan Najib ke Terengganu kelmarin. Berita kedatangan Timbalan Perdana Menteri diterima oleh Buletin Online pada pagi kelmarin dan para petugas terus mengekori maklumat tersebut.
Walaupun ada sebuah pesawat kecil di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, namun hasil siasatan Buletin Online mendapati bahawa kelibat Najib tidak dilihat oleh para pegawai lapangan terbang, walaupun maklumat kedatangan Najib disahkan oleh beberapa rakan media dan bahagian risikan tentera.
Pihak berkuasa lapangan terbang tidak mengetahui dimana pesawat Najib mendarat. Kemungkinan besar Najib menggunakan kemudahan tentera di Gong Kedak, Besut, yang terletak dibawah bidang kuasanya.
Rentetan ‘demonstrasi jalanan’ para penyokong UMNO yang berterusan selama dua hari, Najib tiba untuk meredakan keadaan ‘orang-orangnya’ yang di ketepikan oleh Pak Lah.
Maklumat yang diterima oleh Buletin Online, senarai nama calon adalah disiapkan oleh Khairy Jamaludin, menantu Pak Lah yang sangat beruasa kini. Khairy ‘meminjam’ kuasa Pak Lah untuk memperturunkan calon-calon bukan sahaja akan menjadi penyokong Pak Lah, tetapi juga akan menjadi ‘orang Khairy’ bagi menentang kem Najib pada Perhimpunan Agong UMNO akan datang.
Hanya kesempatan PRU ke 12 ini sahaja yang ada untuk Khairy bagi mempersiapkan ‘askar-askar’nya. Sekiranya gagal, maka impiannya untuk menjadi Perdana Menteri sebelum berumur 40 tahun tidak mungkin tercapai.
Justeru itu kita dapat lihat susunan calon-calon yang di isytiharkan oleh Deris adalah calon-calon yang kurang dikenali, baik oleh pengundi mahupun oleh ahli-ahli UMNO sendiri. Ramai bekas pegawai yang dicalonkan. Antaranya Matulidi Jusoh bagi Parlimen Dungun, Rosli Harun bagi DUN Sura dan Mohd Nor Othman bagi Parlimen Hulu Terengganu.
Matulidi Jusoh adalah bekas Pegawai Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah(Ketengah), Rosli Harun adalah bekas Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu dan Mohd Nor Othman adalah bekas Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah(PPD).
Deris Jusoh sendiri tidak dapat menyatakan sebab musabab mengapa susunan calon-calon yang diisytiharkannya sedemikian rupa. Apabila ditanya oleh pihak media dia hanya menjawab “Itu adalah arahan Perdana Menteri”.
Perisytiharan Deris yang kontorversi dalam majlis yang dibuat diluar kebiasaan, benar-benar mencetuskan komplikasi. Sejenak menerima berita para YB mereka tidak di calonkan semula, Seberang Takir adalah DUN yang paling awal mengangkat sepanduk dan turun ke jalan raya. Pentas demonstrasi yang digunakan oleh PAS sewaktu membantah pengambilan tanah rakyat oleh kerajaan Deris Jusoh beberapa tahun dulu, kembali bergema.
Laungan kini bukan dari luar tapi dari dalam batang tubuh UMNO sendiri. Teriakan ‘kami mahu Shapian’ kedengaran di hadapan Wisma Darul Iman. Slogan ‘Jangan Bermain Api’ dan ‘Seluruh Seberang Takir Mahu kan Shapian’ diangkat tinggi, setinggi pagar besi Wisma Darul Iman. Demonstrasi jalanan yang di gelar RTM sebagai ‘Bukan Budaya Kita’ kita menjadi sebahagian dari budaya, ahli-ahli dan penyokong UMNO dan Barisan Nasional.
Dikuti kemudian oleh kumpulan Man Bakar, kumpulan Tengku Putera dan serpihan kecil dari kumpulan Yusof Majid dari Setiu serta tidak ketinggalan kumpulan yang menyokong Pak Rosli dari Dungun. Setelah puas beraksi di Wisma, mereka berarak ke kediaman rasmi Deris Jusoh di Batu Burok. Lokasi mereka berhimpun secara haram tidak jauh dari tempat Azman dan Suwandi ditembak dengan peluru hidup pada 8 September tahun lalu.
Laungan perhimpunan dan sekatan dipintu rumah kediaman rasminya menyebabkan Deris kecut perut. Lalu mengambil jalan belakang untuk ‘lari’ pulang ke Besut.
Timbalan Perdana Menteri Najib datang segera ke Terengganu setelah Man Bakar bergegas ke Kuala Lumpur, meninggalkan majlis perisytiharan calon di Kediaman Rasmi MB tanpa menunggu sidang media. Yang tinggal dan cuba menyembunyikan kesedihan adalah Pak Rosli, bekas ahli Parlimen Dungun.
Pergerakan Najib sewaktu datang ke Terengganu tidak dapat dikesan walaupun ramai yang mengetahui tentang maklumat kedatangannya. Kawan-kawan dari media perdana yang diberitahu, mengakui menerima maklumat yang sama, tapi juga gagal mengesan pergerakan Najib.
Setelah Najib pulang, seolah-olah jongkang jongkit, ‘Kem Najib’ timbul kembali. Kedengaran berita dari ‘Kem Najib’ bahawa susunan calon akan di perbetulkan. Man Bakar, Pak Rosli dan Ku Tera akan dicalonkan semula di Parlimen Marang, Dungun dan Hulu Terengganu. Namun sejauh mana kesahihan berita tersebut masih belum dipastikan.
Berupayakah Najib untuk mengubah keputusan yang telah menjadi sejarah. Cukup hebatkah Menteri Pertahanan itu membuat ‘order’ untuk menyapu semula tulisan yang telah ditulis didada-dada akhbar tentang calon-calon yang telah diisytiharkan oleh Deris. Mampukah dia menghadapi Mat Rempit lulusan Oxford yang berkuasa di tingkat 4 Putrajaya?
Semuanya belum boleh dijawab. Apakah papan jongkang jongkit mainan orang nombor satu dan nombor dua negara akan senget ke kiri atau ke kanan. Kalau Man Bakar, Ku Tera dan Pak Rosli naik kembali dan menjulang bendera UMNO sekaligus bendera Najib bermakna, impian Khairy akan musnah. Pak Lah mungkin akan meninggalkan PutraJaya selepas penggal depan.
Namun jika papan jongkang jongkit tidak bergerak, dengan seluruh orang-orang Deris yang menjadi ‘wak yih’ Pak Lah duduk dan menjadi pemberat disebelah Khairy, maka mungkin Najib akan meninggalkan PutraJaya selepas pemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang. Najib akan meninggalkan PutraJaya dengan membawa ‘bag plastik’ sebagaimana Ghafar Baba, bukan disebabkan oleh Perdana Menteri, tapi oleh Si Khairy!
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
29 minutes ago
0 comments:
Post a Comment