Proses Pengundian Pos Menggambarkan Kesahihan Seluruh Proses Pilihanraya Berada Dalam Risiko
Kuala Lumpur, 2 Mac - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) hari ini menyelar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di atas kegagalan mereka untuk memastikan proses pengundian pos dijalankan dengan telus dan adil.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh beberapa Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH itu, mereka kesal kerana kelihatan tidak ada sebarang perubahan yang dilakukan oleh SPR meskipun BERSIH telah berkempen untuk reformasi sistem sejak dua tahun sebelum ini.
Mereka terdiri daripada AJK Pemandu BERSIH yang juga Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah, Sekretariat BERSIH, Faisal Mustaffa; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; dan calon KeADILan Parlimen Setiawangsa Ibrahim Yaacob.
Ini berikutan pemerhatian yang dilakukan ke atas pengeluaran kertas undi pada hari Sabtu, 1 Mac 2008 di kawasan P118 Setiawangsa oleh wakil calon KeADILan Parlimen Setiawangsa iaitu Ibrahim Yaacob telah mendedahkan tiga kesalahan serius.
Kesalahan tersebut adalah pencabulan hak kerahsiaan identiti pengundi; peluang terbuka untuk pihak lain mengundi bagi pihak lain; dan pendaftaran bertindan.
“Undi pos membentuk sebahagian besar daripada jumlah setiap kawasan pilihanraya. Di kawasan Setiawangsa sahaja, undi pos membentuk 26% daripada keseluruhan jumlah pengundi.
“Jika integriti pengundi-pengundi pos tidak terjamin, integriti pilihanraya dan komposisi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri langsung tidak boleh dijamin. Ini adalah pencabulan ketara ke atas hak asasi pengundi di Setiawangsa dan kawasan-kawasan lain di Malaysia yang berhasrat untuk memilih pemimpin mereka melalui sistem pilihanraya yang adil, bersih dan telus,” tegas kenyataan tersebut.
Berikutan itu, BERSIH menggesa rakyat – di dalam Negara dan di luar negara – untuk menyatakan sokongan melalui kempen tandatangan untuk mendesak penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja Reformasi Pilihanraya selepas Pilihanraya Umum ke-12 ini dengan bidang kuasa untuk menyemak semula proses pilihanraya dan menyiasat sebarang aduan dan dakwaan salahlaku dan kekeliruan.
“Pada masa ini, kami mendesak SPR untuk menyediakan pemerhatian sepenuhnya ke atas proses pengundian pos di kem-kem tentera dan balai-balai polis pada kadar segera untuk mengurangkan potensi penyelewengan,” tambah kenyataan tersebut.
Berikut adalah merupakan salahlaku yang dikesan oleh BERSIH sepanjang perjalanan proses pengundian pos di kawasan Parlimen Setiawangsa:
1. Tidak ada jaminan ke atas kerahsiaan identiti dan undi. Kit Pengundi Pos yang dikeluarkan kepada pengundi-pengundi pos mengandungi Borang 2- ‘Borang Deklarasi Indentiti’ yang mengandungi kedua-dua nama anggota polis dan tentera (yang mengundi) dan nombor siri kertas undi. Dalam keadaan Borang 2 tersebut akan diletakkan di dalam sampul surat bersama-sama dengan kertas undi yang dipulangkan undi dikira, adalah sangat menggusarkan apabila pilihan yang dibuat oleh pengundi polis dan tentera akan diketahui dan mereka bakal berhadapan dengan sebarang kemungkinan sekiranya mereka mengundi pembangkang.
2. Pengundian oleh pihak lain tidak boleh dihalangkan sepenuhnya. Anggota polis dan tentera yang menjalani pengundian pos tidak perlu untuk menandakan kertas undi mereka di pusat pengundian, mereka dibenarkan untuk menandakan kertas undi mereka di mana sahaja dan kemudian memulangkan semula kertas undi tersebut di pusat pengundian, di kem tentera ataupun balai polis. Semua ini berlaku dengan ketiadaan agen-agen parti politik, membawa kepada kebarangkalian besar yang sangat tidak munasabah apabila ‘pihak ketiga’ boleh menandakan kertas undi tersebut bagi pihak pengundi, yang mana kemudiannya akan diagihkan kepada anggota tentera/polis untuk diserahkan semula. Malah, tuduhan ke atas ‘pengundian secara proksi’ yang diarahkan oleh pegawai senior polis atau tentera akan terus mencemarkan kesahihan proses pilihanraya di Malaysia, lantas meletakkan Malaysia tidak jauh berbeza daripada Negara autokratik di Asia Tengah dan Transcaucasia.
3. Pengundi bertindan. Dalam pemerhatian kami, penyediaan Kit Pengundi Pos di kawasan Setiawangsa sahaja, 6 pengundi telah disertakan dengan 2 kertas undi setiap seorang Nama yang terlibat adalah seperti berikut:
Kod : 188/00/12/600
No Siri : 11856
Nama : Nesam Banu Bt Mohamad Fahmi
No Kad : T375594
No Siri : 3896
Nama : Husaini b Mohd Said
No Kad : T0534732
No Siri : 3897
Nama : I’sak b Ali bawah
No Kad : T0534736
No Siri : 2700
Nama : Aishah bte Che Mat
No Kad : 761007-06-5728
Kod : 118/00/12/431
No Siri : 3906
Nama : Zulkhairi b Zainun
No Kad : T533580
93 Rejimen Semboyan, WP.
No Siri : 3954
Nama : Mohd Kamal b Keliwon
No Kad : T534766
93 Rejimen Semboyan, WP.
0 comments:
Post a Comment