keadilanrakyat.org
Parti Keadilan Rakyat dengan sekeras-kerasnya membantan perbuatan kerajaan UMNO-BN menggunakan wang PETRONAS tanpa batas dan tanpa kawalan untuk projek-projek yang tidak mendatangkan kebajikan kepada rakyat.
Mulai dari pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, wang PETRONAS digunakan untuk projek-projek mega yang membazir dan memberi keuntungan serta faedah terutama bagi pemimpin-pemimpin besar UMNO-BN dan segelintir golongan keluarga dan kroni mereka. Akibatnya korupsi meluas berlaku.
Amalan ini diteruskan di bawah pemerintahan yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdullah Badawi. Ini bertentangan dengan ikrar Abdullah hendak menghentikan projek-projek besar yang tidak berfaedah kepada rakyat dan menghapuskan korupsi.
Dalam beberapa tahun ini untung yang diperolehi oleh PETRONAS bertambah besar. Tahun lalu untung bersih PETRONAS mencapai kira-kira RM 40 bilion. Dengan kenaikan tinggi harga minyak dunia hingga mencapai hampir USD 100 setong, tentulah keuntungan ini akan naik lebih tinggi lagi.
Sejak minyak petrol dikeluarkan oleh Malaysia pada tahun 1975, PETRONAS dianggarkan seharusnya mempunyai simpanan sebanyak lebih dari RM 300 bilion. Tetapi yang diketahui umum, jumlah simpanan ini dianggarkan tinggal sebanyak RM 50 bilion sahaja. Ke manakah perginya baki yang melebihi RM 250 bilion itu?
PETRONAS tidak pernah mengumumkan penyata kira-kiranya kepada umum. Bahkan tidak juga dibentang kepada Parlimen. Hanya Perdana Menteri yang mengawalnya. Ini mengakibatkan mereka berani menggunakan wang PETRONAS tanpa kelulusan. Ketelusan wang PETRONAS, yang merupakan sumber kekayaan negara sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyat bagi menyediakan pendidikan, perumahan dan kesihatan percuma. Sebaliknya, ia dirompak oleh pemimpin-pemimpin negara yang korup dan rakus untuk membesarkan tembolok sendiri.
Parti Keadilan Rakyat menuntut supaya Datuk Seri Abdullah Badawi menjelaskan kepada rakyat apakah yang telah mereka lakukan dengan wang PETRONAS yang telah mereka rompak selama ini.
Dr. Syed Husin Ali
Timbalan Presiden,
Parti Keadilan Rakyat.
Feb 25, 2008
KeADILan Bantah Perompakan Wang Petronas
Labels: Keadilan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment