Malaysiakini - Senarai lengkap calon-calon bertanding tidak diperolehi pihak media sehingga 9 malam ini akibat kelengahan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengirim data rasmi.
Dalam kenyataan awal pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, senarai itu boleh diperolehi selepas jam 3 petang hari ini.
Walaupun begitu, beliau dilaporkan berkata proses pencalonan pagi tadi merupakan "yang paling baik, paling lancar dan paling licin" pernah diadakan.
Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor kemudiannya berkata kelewatan itu akibat kegagalan kakitangan suruhanjaya itu di negeri-negeri menghantar lebih awal.
"Kita (SPR) lambat terima kerana ia melibatkan beberapa peringkat iaitu yang pertama seramai 222 pegawai pengurus perlu menghantar senarai tersebut kepada pengarah pilihanraya negeri masing-masing, dan pengarah pilihanraya negeri akan hantar ke ibu pejabat," katanya seperti dipetik Bernama.
Bagaimanapun, tambahnya, beliau sendiri tidak pasti punca kegagalan SPR negeri mengurus senarai calon dengan pantas seperti lazim, beberapa jam selepas penamaan calon tamat.
SPR menetapkan satu jam untuk penyerahan borang calon pada pukul 9 pagi tadi, dan sejam lagi untuk proses bantahan. Jika tiada masalah luar jangka, kira-kira jam 11 pagi, pegawai pengurus mengumumkan calon-calon yang bertanding.
Menurut laporan itu lagi, kelewatan seumpama ini pertama kali berlaku dalam sejarah pengendalian pilihanraya umum.
Abdul Rashid juga dilaporkan berkata tiada kertas pencalonan ditolak atas alasan teknikal hari ini.
Bagaimanapun, SPR kemudiannya memaklumkan tiga kertas pencalonan ditolak, masing-masing satu di Kelantan, Kedah dan Johor.
Kertas calon PKR Saiful Izham Ramli bagi DUN Bukit Selambau, Kedah ditolak akibat tidak menyerahkan penyata perbelanjaan dalam pilihanraya umum 2004 kepada SPR.
Calon bebas Sumardi Ahmad di parlimen Pagoh mengalami nasib yang sama.
Di DUN Kijang, Kelantan, pencalonan BN Mustopha Ahmed terbatal kerana muflis dan sekali gus memberi kemenangan percuma kepada calon PAS Wan Ubaidah Omar.
SPR membenarkan calon-calon menimbang sama ada akan bertanding atau sebaliknya dalam tempoh tiga hari.
Feb 25, 2008
Kerna cuba bermuslihat, SPR negeri hadapi masalah
Labels: Belit SPR, Malaysiakini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment