pilihanraya2008.wordpress
Oleh Prof Lembah Kelang
Pelancaran secara rasmi manifesto PAS bertajuk Negara Berkebajikan pada hari Khamis 21 Februari adalah merupakan acara yang sangat penting dalam kalendar PAS. Isu yang dibentang juga adalah sangat menarik untuk dibincang dan dianalisa terutamanya oleh para pengkaji ekonomi konvensional.
Tentunya pandangan-pandangan yang diberikan oleh ‘pakar-pakar’ dan ahli politik BN sebelum daripada pelancaran rasmi manifesto pula adalah bersifat spekulatif dan serkap jarang yang rambang dan tidak berpaksikan kepada kenyataan sebenar. Akibatnya, hal ini menyerlahkan kebobrokan dan kepincangan pemikiran pimpinan tertinggi BN dan seterusnya dikongsi secara pukal oleh mereka yang bergelar pakar-pakar ekonomi yang akan saya nyatakan petikannya.
Supaya kita dapat memahami isu sebenar, maka reaksi yang diberikan oleh beberapa individu di dalam media massa seperti akhbar arus perdana dapatlah diringkaskan seperti berikut :
- Penasihat Jawatankuasa Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF), Datuk Zainal Aznam Yusoff berkata, tindakan mewujudkan ‘negara kebajikan’ akan menjadikan rakyat semakin malas dan tidak berani menghadapi risiko. Beliau seterusnya mempersoalkan : “Adakah ini bermaksud PAS akan membiayai perbelanjaan rakyat seumur hidup sehingga mereka tidak perlu mengeluarkan wang satu sen pun? ”
- Pakar ekonomi dan perbankan Islam, Datuk Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani pula berkata, hasrat Pas menubuhkan ‘negara kebajikan’ dikhuatiri melumpuhkan daya saing negara. Beliau berpendapat, rakyat akan disogok dengan pelbagai bentuk elaun dan subsidi sehingga menyebabkan mereka hilang motivasi diri serta semangat keusahawanan. Menurutnya, Nabi Muhammad s.a.w sendiri seorang tokoh perniagaan yang giat mengembangkan ekonomi umat Islam, bukan bersandarkan kepada kebajikan semata-mata. Soal beliau : “Jangan sampai dikongkong oleh pemerintah sehingga daya saing kita semakin lumpuh’’
Manakala antara komen yang diberikan oleh pimpinan BN pula adalah :
- Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran bahawa Malaysia boleh bankrap jika konsep ‘negara kebajikan’ yang ditawarkan PAS diterima dan dipraktikkan di negara ini. Seterunya beliau berhujah bahawa konsep negara berkebajikan PAS adalah : “seseorang yang tidak bekerja juga akan mendapat bayaran bulanan daripada kerajaan”.
- Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, manifesto seperti itu datangnya daripada pihak yang tidak memahami mengenai pentadbiran dan kerajaan. Seterusnya beliau menyebut : “Sekiranya PAS sanggup mewujudkan sebuah negara kebajikan dengan menanggung 100 peratus kebajikan rakyat di negara ini, saya yakin (jika PAS menang) sepenggal sahaja mereka menjadi kerajaan, nauzubillah negara ini akan menjadi bankrap”.
Bukan tujuan saya menulis artikel ringkas ini untuk mematahkan empat pandangan dungu di atas satu persatu kerana penjelasan semasa pelancaran manifesto pada 21hb Februari lalu adalah begitu jelas. Bak kata pepatah “ sudah terang lagi bersuluh” dan hanya orang yang gelap pemikirannya sahaja yang gagal memahaminya. Sementelah pula sudah ramai penulis yang menghujahkan intipati Negara Berkebajikan.
Saya akan hanya mengkhususkan dalam membicarakan keadaan minda (state of mind) para pimpinan BN dan para ahli cerdik pandai yang berlegar di kaki para pimpinan BN. Perkara pertama yang terlintas difikiran saya ialah, betapa hujah haru-biru sedemikian tidak sepatutnya keluar dari mulut orang yang diberi tugas untuk memacu negara ke persada ‘glokal’ setelah Malaysia mencapai kemerdekaan 50 tahun yang lalu !.
Kalau orang yang mempunyai nama besar seperti Dato Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berfikiran cetek sedemikian, mana mungkin para kerabat pimpinan BN yang lain mempunyai pandangan yang lebih baik ? Sekiranya kita berlegar pada premis ini, maka saranan Dato Husam Musa supaya diadakan debat terbuka yang disiarkan secara langsung di dalam TV nampaknya akan berat sebelah kerana pimpinan BN nampaknya tidak akan mampu menongkah soalan-soalan yang bakal dikemukakan.
Teringat pula pengalaman saya belajar di Amerika dan United Kingdom (ya, dengan biasiswa kerajaan, tapi duitnya dari cukai rakyat juga !) saya dapat melihat dan mendengar perbincangan yang serius, perdebatan, soal jawab – semuanya di antara pimpinan tertinggi parti dengan pelbagai pihak seperti rakyat awam dan wartawan. Para pimpinan yang ingin bertanding akan memastikan mereka faham isu yang dipersoalkan, dan dari situlah akan melahirkan pimpinan yang lebih serius dan tidak hanya melelapkan mata dan memekakkan telinga apabila sesuatu isu itu dibincangkan.
Hujah keramat pimpinan BN ialah – bahawa rakyat belum bersedia untuk mendengar perbahasan seperti itu. Sekali lagi pimpinan BN memperbudakkan rakyat jelata. Saya rasa pimpinan BN akan lebih dihormati sekiranya mereka berterus terang bahawa mereka tidak bersedia berhujah secara terbuka untuk disaksikan oleh rakyat kerana sememangnya tidak mampu dan tohor daya berfikir.
Saya dapat membayangkan para pimpinan BN akan terkedu bisu dan seterusnya akan menuturkan frasa keramat mereka bahawa – “rakyat belum bersedia”, “BN jaga ketenteraman rakyat umum”, “pembangkang bankrap idea” dan sebagainya. Betullah pandangan orang bijak orang bahawa seorang yang lemah akalnya akan terserlahlah kelemahannya apabila ia mula bercakap. Oleh itu, jalan terbaik bagi pimpinan BN ialah berdiam diri, macam yang selalu ditunjukkan oleh Pak Lah !.
Pada saya, kecelaruan cara berfikir kaum bangsawan BN ini tidak ada kena mengena dengan kurikulum pengajian mereka di peringkat universiti, atau samada pengajian mereka mendapat akreditasi atau tidak, atau di universiti manakah mereka berada sebelum ini samada dalam negara atau luar negara. Ianya juga tidak ada kena mengena dengan ranking berapakah universiti mereka semasa belajar dahulu.
Saya berpendapat, keserabutan cara berfikir cerdik pandai BN ini adalah bermula dari kemurungan jiwa akibat tiadanya pengisian rohani yang kukuh, ditambah lagi oleh tamak halobanya mereka kepada kuasa dan wang berjuta menyebabkan kebenaran dilihat sebagai satu hakikat yang amat perit. Hasilnya, maka lahirlah pandangan karut-marut bahawa hanya BN sahaja yang boleh dan tahu memerintah !.
Banyak ketikanya pandangan yang celaru dari pimpinan BN ini jauh lemah intipatinya dari pandangan seorang rakyat jelata yang tidak bersekolah tinggi tetapi mempunyai jiwa yang celik dan mampu berfikir secara kritis. Akhirnya pimpinan BN ini menyebarkan dongengan kepada rakyat jelata bahawa hanya BN yang boleh memerintah negara, hinggakan Biro Tata Negara pun menjadikan dongengan ini sebagai modul ceramah serta perbincangan dalam kursus Biro Tatanegara.
Sebagai contohnya, cuba kita ambil satu sahaja dari beratus dongengan ‘kepandaian menguruskan wang negara’. Apabila dilihat dalam Laporan Ketua Audit Negara – Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu 2006 - Jadual 5 yang memperincikan bahawa Terimaan dari Dana Khas untuk tahun 2005 ialah RM 1.015 billion dan 2006 berjumlah RM 1.334 billion. Laporan Audit Negara menyebut bahawa terimaan dalam tahun 2006 adalah merangkumi 85.3% dari hasil keseluruhan kerajaan negeri Terengganu. Kemana perginya 85.3 % hasil kerajaan negeri ini ?.
Seterusnya laporan itu memperincikan bahawa dana berkenaan adalah untuk Akaun Amanah Dana Khas, Akaun Progam Penganjuran Monsoon Cup, Akaun Projek Pembangunan Pulau Duyung dan Akaun Projek Pembangunan Pulau Wan Man. Bayangkan, kerajaan yang ‘pandai menguruskan wang negeri ini’ membelanjakan 85.3 % sumber kewangan negeri untuk projek kosmetik, yang satu pun tidak ada hasil kepada rakyat jelata tetapi menjadi lombong emas kepada taukeh besar dari Kuala Lumpur.
Hasilnya, rakyat tempatan hanya menjadi pelayan (waiter) dan pekerja am rendah untuk Malam Gala Monsoon Cup, melayan pembesar dan taukeh dari Kuala Lumpur. Akhirnya, rakyat tempatan hanya melukut di tepi gantang, sedangkan gantang dipunyai oleh orang lain. Itulah ‘kepandaian’ kerajaan BN !.
0 comments:
Post a Comment