Pemandu ‘buruan’
Oleh Zainuddin Zain dan Rudy Syareme Sheriffudin
hmetro.com
GEORGETOWN: Masalah antara pemandu dan pengurusan RapidPenang mungkin sudah diselesaikan semalam, tetapi muncul masalah baru yang menghantui orang ramai mengenai status waran tangkap ke atas pemandu bas syarikat itu.
Ini apabila Ketua Pegawai Operasi RapidPenang, Azhar Ahmad, mengakui semua pemandu bas syarikat itu sudah kembali bertugas termasuk 35 pemandu yang mempunyai sekurang-kurangnya satu waran tangkap.
Keadaan itu bermakna pemandu bas berkenaan berada di atas jalan raya walaupun status mereka menjadi ‘buruan’ pihak berkuasa.
Bagaimanapun, Azhar dalam sidang akhbar khas semalam, menjelaskan mogok yang dilancarkan 80 pemandu bas syarikat itu kelmarin mengesahkan satu usaha sedang dilakukan dengan polis untuk menyelesaikan isu mengenai waran tangkap berkenaan.
“RapidPenang meminta sedikit kelonggaran kepada polis supaya tidak mengenakan sebarang tindakan kerana mereka (pemandu bas) ketika sedang memberi perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.
“Yang penting ada beberapa pemandu sudah melunaskan pembayaran saman yang tertunggak, manakala yang lain dibuat mengikut peringkat demi peringkat sehingga selesai,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan ribuan warga bandar raya ini terkandas berjam-jam berikutan tindakan lebih 80 pemandu bas RapidPenang melancarkan mogok mulai jam 6 pagi.
Pemandu terbabit yang mendakwa dihimpit pelbagai masalah dengan pihak pengurusan berkumpul di Depoh Bas Sungai Nibong dan membuat pakatan secara aman untuk tidak menjalankan operasi selagi masalah mereka tidak diselesaikan.
Azhar berkata, semua saman itu perlu dibayar pemandu sendiri kerana kesalahan itu dilakukan ketika mereka berkhidmat dengan syarikat lain selain menggunakan kenderaan sendiri.
“Tidak ada syarikat yang akan membayar saman sedemikian. Andainya kami bayar pun, kemudian mereka berhenti siapa yang rugi.
“Syarikat tidak dapat mengikut kehendak pemandu bas kerana ada antaranya cukup melampau,” katanya.
Katanya, tindakan mogok selama sehari oleh pemandu bas terbabit mengakibatkan syarikat kerugian RM50,000 dan ribuan penumpang terkandas.
“Ini mencemarkan imej syarikat. Kami ingin memaklumkan yang tindakan ini di luar jangkaan dan pengurusan tidak menyangka sama sekali,” katanya.
Azhar berkata, selepas perbincangan dengan 80 pemandu di depoh bas Sungai Nibong di sini, akhirnya operasi pulih seperti biasa bermula jam 7 pagi semalam.
“Kami hanya bersetuju ke atas beberapa perkara seperti menaikkan elaun harian, tetapi ada perkara yang kami tidak bertoleransi seperti waran tangkap dan pengesahan jawatan.
“Pengesahan jawatan akan dilakukan secara berperingkat ke atas pemandu yang cemerlang saja bagi kepentingan dua juta penduduk negeri ini,” katanya.
Beliau juga menafikan yang masalah itu berpunca daripada kegagalan syarikat mencarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Syarikat memohon maaf kepada seluruh penduduk negeri ini kerana masalah yang berlaku semalam (kelmarin) dan akan berusaha sedaya upaya memastikan perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Feb 8, 2008
RAPIDPENANG RAYU JANGAN AMBIL TINDAKAN?
Labels: Rapid, Syarikat Kroni
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment