Kerajaan mengerahkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengepung ribuan pengundi di Desa Mentari Sunway yang tidak berpuas hati kerana terhalang dari membuang undi di Dun Sri Setia, Parlimen Kelana Jaya.
Jumlah keseluruhan pengundi di Desa Menteri mencecah 7000 orang dan Premis Pusat Undi PJS 6 Timur yang sempit mereka terpaksa bersesak-sesak dan menunggu terlampau lama untuk membuang undi.
Ketika dihubungi Suara KeADILan, Penyelaras Pilihanraya KeADILan Kelana Jaya Faisal Mustaffa berkata kesesakan serius di PJS 6 Timur disamping waktu pengundian yang tamat pada jam 5 petang menyebabkan ramai tidak sempat untuk membuang undi.
Jumlah pengundi yang dihalang dari mengundi tidak terhitung hinggakan egen undi tidak dapat menjalankan tugas mereka.
“SPR seharusnya lebih cermat. Pengundi marah kerana keadaan ini menyebabkan mereka terhindar dari membuang undi. Berbanding Kampung Lindungan dimana SPR menyediakan sebuah sekolah untuk menampung 3000 pengundi semata-mata, balai raya yang dijadikan pusat undi ini terlalu sempit untuk 7000 pengundi,” tegasnya.
Tambah beliau lagi, kehadiran FRU memburukkan lagi keadaan dan jentera KeADILan Kelana Jaya sedang bertungkus-lumus mententeramkan keadaan dan menjaga keselamatan pengundi.
“Kami terpaksa arahkan mereka-mereka yang telah mengundi untuk terus pulang ke rumah masing-masing dan tidak berkeliaran di kawasan sekitar pusat undi bagi mengelakkan berlakunya sebarang tindakan yang tidak diingini dari pihak polis,” kata Faisal.
Dun Sri Setia, khususnya Desa Menteri menyaksikan sokongan hebat penduduk pangsapuri kepada KeADILan dalam pilihanraya ini.
0 comments:
Post a Comment