Berita Harian sebut Khir hanya lulus projek kecil, Utusan kata tak pernah lulus
kelantankini.
DUA akhbar utama, Berita Harian dan Utusan Malaysia hari ini melaporkan berita dengan maksud berbeza berhubung kelulusan projek ternakan babi bernilai RM100 juta oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Dato’ Seri Khir Toyo sebelum ini.
Utusan Malaysia dalam laporannya berkata Khir Toyo menafikan beliau meluluskan projek ternakan babi bernilai RM100 juta seperti dakwaan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Kata laporan itu, walaupun perbincangan mengenainya pernah dibuat dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 30 Januari lalu, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan mahu pun memberikan kelulusan.
Ini kerana katanya, saiz ladang yang dicadangkan terlalu besar.
Jelas beliau, dasar kerajaan negeri ketika itu adalah menetapkan setiap ladang ternakan babi hanya untuk menampung keperluan rakyat negeri Selangor iaitu sekitar 250,000 ekor dan bukan bagi tujuan eksport secara besar-besaran.
“Dalam perbincangan itu, kita hanya meluluskan projek ini sekiranya saiz ladang ternakan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
“Bagaimanapun, kita menolak cadangan ini atas faktor saiz dan kita tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan dan keputusan secara muktamad supaya projek ini dilaksanakan,” menurut laporan Utusan yang menghubungi Khir Toyo.
Manakala Berita Harian pula melaporkan kenyataan Khir Toyo yang menjelaskan mesyuarat Exco yang dipengerusikannya pada 30 Januari lalu ada membincangkannya perkara itu tetapi pada dasarnya meluluskan pembinaan ladang babi bersaiz kecil saja.
“Ketika itu kita tidak bersetuju dengan saiz kawasan ladang kerana kerana kita mahu kawasan yang lebih kecil untuk menempatkan ternakan babi.
“Lokasinya belum kita lulus kerana mahu mendengar pandangan penduduk kampung. Kita tidak mahu wujud ladang besar sehingga menjadi pengeksport babi,” memetik kenyataan Khir di Berita Harian.
Secara umumnya laporan Utusan Malaysia memberi faham bahawa kerajaan negeri pimpinan Khir Toyo tidak pernah langsung meluluskan projek berkenaan.
Ia juga memberi makna jika kerajaan negeri Pakatan Rakyat sekarang melaksanakan projek berkenaan maka ia tidak mempunyai kaitan langsung dengan keputusan kerajaan terdahulu.
Sebaliknya laporan di Berita Harian sedikit jelas kerana Khir mengakui ada meluluskan projek ternakan babi walaupun beliau mengatakan saiz yang diluluskannya adalah bersaiz kecil sahaja dan tidak menjadi halangan jika projek itu bukan untuk dieksport ke luar negara.
Jika tidak bagaimana mungkin Tan Sri Khalid boleh menyebut ungkapan ini “kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Khir Toyo meluluskan projek itu pada mesyuarat Exco, 30 Januari lalu“.
Kenyataan Menteri Besar Selangor itu dibuat selepas menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya dari Perak, Ir Muhammad Nizar Jamaluddin di pejabatnya di Shah Alam.
Khalid turut memberi jaminan projek berkenaan mematuhi piawaian kualiti ditetapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kerajaan negeri Selangor sendiri.
Pemimpin PKR itu juga dilaporkan berkata, ladang berkenaan tidak akan mencemarkan alam sekitar kerana semua bahan buangan akan diguna semula dalam bentuk bio gas untuk menjana elektrik dan air bagi pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak.
Sementara itu beberapa pihak menggesa kerajaan negeri agar memastikan masyarakat Islam di kawasan terbabit tidak teraniaya dengan apa-apa masalah berkaitan projek ternakan berkenaan.
Apr 9, 2008
BERITA HARIAN DAN UTUSAN BERCANGGAH BERITA
Labels: Belit media
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment