Johari Jaafar
IPOH, 28 Feb (Hrkh) - Kes calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Dato' Seri Rafidah Aziz, yang tidak menandatangani borang pencalonan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya bukan satu yang remeh seperti yang didakwa oleh calon tersebut.
Ini kerana tanda tangan itu menandakan persetujuan untuk menjadi calon untuk bertanding dalam pilihan raya, sekiranya borang pencalonan itu tidak ditandatangani bermakna seseorang itu tidak bersedia untuk menjadi calon dalam pilihan raya, sekali gus borang pencalonan itu boleh ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Demikian ditegaskan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang, dalam satu sidang akhbar bersama pimpinan PAS Perak dan pimpinan PKR di Pejabat PAS di sini.
"Dalam apa hal pun termasuk dokumen atau cek, ia perlu ditandatangan, jika cek berkenaan tidak ditandangan, cek itu tidak laku, jika tanda tangannya silap, ianya juga tidak sah dan tidak laku, begitulah halnya dengan borang pencalonan, sekiranya ia tidak ditandatangani, borang pencalonan itu dianggap tidak sah,” ujar beliau.
Pihak PAS telah membuat bantahan tetapi telah ditolak dengan alasan SPR menerima satu daripada tiga borang pencalonan itu telah ditandatangani dan mendakwa borang pencaloan yang berada pada Pegawai Pengurus Pilihan raya itu adalah salinan yang asal.
"Kalau itulah alasannya dan jika benarlah borang pencalonan yang didakwa telah ditandatangani oleh Rafidah itu sebagai salinan yang asal, akan datang kita tandatangan satu kertas sahaja, dua kertas pencaloan itu kita tidak perlu tandangan," katanya.
Timbalan Pesuruhjaya merangkap Pengarah Pilihanraya PAS Perak yang juga seorang peguam turut menegaskan pihak PAS membuat bantahan itu berdasarkan dua kertas pencalonan yang diisikan oleh Rafidah yang dipamerkan di luar dewan tidak ditandatangani.
"Kita bantah kertas pencalonan Radidah yang dipamer di luar dewan kerana ia tidak bertandatangan, kita tidak tahu apakah benar yang satu lagi itu telah ditandatangani," ujarnya.
Menurut beliau ketiga tiga kertas pencalonan itu sama sahaja, tidak ada yang salinan, semuanya adalah yang asli dan ianya perlu diisi oleh calon, pencadang dan penyokong pada setiap kertas pencalonan.
"Apabila SPR mendakwa kononnya satu kertas pencalonan yang berada pada Pegawai Pengurus Pilihan raya itu yang asli dan dikatakan telah ditandatangani, kita boleh buat kesimpulan lain kali kita tidak perlu tandatangan ketiga-tiga kertas pencalonan itu, cukup satu kertas pencalonan sahaja ditandatangani," katanya.
Sementara itu calon PAS yang bertanding bagi kerusi berkenaan, Dr. Khairuddin Dato’ Abdul Malik, menjelaskan ketiga-tiga kertas itu perlu ditandatangani di hadapan saksi iaitu Pegawai Pengurus Pilihan raya dan pembantu-pembantunya.
"Tidak mungkin pencadang dan penyokong Rafidah hanya membiarkan Rafidah cuma tanda tangan satu kertas sahaja, tentunya mereka beritahu Rafidah yang dua kertas lagi belum ditandatangani," ujar beliau.
Sehubungan itu beliau mensyaki kertas pencalonan yang berada pada Pegawai Pengurus Pilihan raya itu mungkin ditantangani setelah tamat masa penyerahan kertas pencalonan apabila tersebar berita Rafidah tidak menangani kertas pencalonan tersebut.
"Kita mengesyaki kemungkinan berlaku perlanggaran undang-undang di mana kertas pencalonan itu ditandatangani selepas tamat tempoh penyerahan kertas pencalonan," ujar beliau lagi.
Berhubung perkara tersebut wakil calon telah membuat aduan polis di Balai Polis Kuala Kangsar pada jam 11.30 pagi pada 25 Februari lalu meminta pihak polis membuat siasatan kemungkinan berlakunya perlanggaran undang-undang tersebut.
Aduan polis yang kedua telahpun dibuat pada 26 Februari yang lalu juga mahukan polis membuat siasatan apakah benar terdapat pelanggaran undang-undang iaitu kertas pencalonan ditandatangi setelah tamat tempoh masa pencalonan.
Menurut beliau, pengundi-pengundi di kawasan itu terutamanya kaum Cina yang ditemui turut kesal bantahan PAS itu tidak diterima dan ini malah mereka menyatakan kes tersebut merupakan satu penganiayaan terhadap calon PAS .
"Saya tetap bertanding di situ tetapi kita mahu undang-undang dipatuhi, kerana itulah aduan polis kita buat bagi mempastikan tidak berlakunya sebarang perlanggaran undang-undang sama ada oleh calon BN atau pun pihak SPR," jelas beliau. - mns
Feb 28, 2008
Kes Rafidah tidak tandatangani kertas pencalonan, laporan polis kedua dibuat
Labels: Belit Rafidah, Belit SPR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment