Lobi melobi dan dakwaan sabotaj gugat BN Sabah
Oleh NASHIR MANSOR
MStar
KOTA KINABALU: Sebelum ini, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Maju Sabah (SAPP) sahaja yang berpolemik melalui akhbar-akhbar tempatan di sini dalam usaha melobi untuk diberi kerusi Parlimen Sandakan.
Ini diikuti pertikaman lidah antara Ketua Umno Bahagian Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh dan Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Liew Yun Fah dari LDP mengenai desakan Abdul Ghafur supaya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai yang disandang Liew dikembalikan semula kepada Umno.
Terbaru sebuah lagi parti komponen BN terheret sama dalam polemik melobi kerusi iaitu antara Parti Bersatu Sabah (PBs) dengan SAPP.
Polemik terbaru itu timbul apabila presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee membayangkan hasratnya menawarkan diri bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu yang kini disandang oleh Menteri Kemajuan Sumber dan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Dr Yee Moh Chai dari PBS.
Ketika ditanya pemberita sama ada beliau serius mahu bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Yong berkata "fikiran adalah ke arah itu".
Kenyataan Yong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu kemudian mendapat reaksi daripada presiden PBS Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan yang menyifatkan kenyataan Yong itu sebagai tidak menghormati parti PBS.
"Setiap orang ada pendapat tetapi pada masa yang sama mereka (SAPP) juga perlu menghormati keputusan orang lain. Kawasan Parlimen Kota Kinabalu telah menjadi milik kami selama ini. Kami telah memenanginya walaupun ketika kami di pihak pembangkang," kata Pairin.
Kenyataan Pairin itu kemudian dijawab Yong dengan meminta PBS supaya menghormati kebebasan orang lain untuk menyatakan fikiran mereka.
Yong berkata minatnya kepada kerusi Parlimen Kota Kinabalu serupalah dengan minat PBS dan beberapa parti komponen BN lain untuk mendapatkan kerusi tambahan dalam pilihan raya umum kali ini.
"Formula cuma sebagai garis panduan. Masalahnya ialah sama ada kerusi berkenaan boleh dimenangi atau sebaliknya. Cuma disebabkan seseorang calon itu seorang penyandang tidak bermakna BN akan memenangi kerusi berkenaan," kata Yong.
Akan ada lagikah komponen BN di Sabah yang akan terheret dalam polemik ini Jawapannya bergantung kepada keadaan.
Orang kata "jika ada aksi akan ada reaksi". Bagaimanapun, ramai beranggapan situasi melobi kawasan pilihan raya di kalangan parti komponen BN di Sabah khususnya untuk beberapa kerusi yang dianggap "panas" akan reda sebaik sahaja senarai calon BN dimuktamad dan diumumkan oleh pucuk pimpinan BN.
Berdasarkan pengalaman pada pilihan raya lalu, mungkin ini benar kerana sebaik sahaja nama calon diketahui, tidak kedengaran lagi suara-suara melobi.
Parti-parti komponen BN sebaliknya menukar topik meminta penyokong masing-masing supaya "menyokong" sesiapa sahaja yang dicalonkan BN.
Melihat kepada perkembangan pada pilihan raya umum 2204, pada ketika itu timbul pula isu sabotaj.
Parti LDP yang tewas di Parlimen Sandakan mendakwa kekalahan calon mereka Datuk Lau Ngan Siew kepada calon Bebas Chong Hon Min dengan majoriti 1,330 undi adalah disebabkan perbuatan sabotaj.
Juga timbul desas desus bahawa kekalahan calon BN Datuk Wences Angang dari parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) kepada calon Bebas Datuk John Ghani di DUN Kuala Penyu dengan majoriti 2,018 undi juga disebabkan sabotaj.
Walaupun sehingga ke hari ini belum ada bukti yang mengaitkan kekalahan BN di DUN Kuala Penyu dan Parlimen Sandakan disebabkan perbuatan sabotaj seterusnya menafikan kemenangan 100 peratus BN, namun tidak salah jika pucuk pimpinan BN pada pilihan raya umum kali ini lebih berhati-hati dan memandang serius situasi melobi kerusi kerana situasi yang sama berlaku pada pilihan raya lepas.
Soal sabotaj mungkin tidak akan timbul jika semua parti komponen BN boleh menghentikan sama sekali kegiatan melobi kawasan dan menerima sepenuhnya keputusan pucuk pimpinan atas prinsip semangat BN walaupun tidak mendapat apa yang dihajatkan.
Masalahnya apakah semua komponen parti BN sanggup dengan rela hati dan ikhlas menerima hakikat bahawa tidak semua tuntutan mereka boleh dipenuhi pucuk pimpinan berdasarkan jumlah kerusi DUN dan Parlimen yang terhad.
Berpegang teguh kepada prinsip semangat perjuangan BN inilah yang sering diulang-ulang oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman acap kali diajukan soalan sama ada BN boleh meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum ini.
"Yang pentingnya keikhlasan dalam perjuangan parti itu dan kita mesti memberi keikhlasan sepenuhnya dalam memperjuangkan parti BN. Saya percaya kita akan terus bekerjasama dengan rakanrakan kita dalam komponen BN.
"Saya sentiasa memberi nasihat kepada semua kompoen BN supaya sentiasa saling faham memahami dan bantu membantu di antara satu dengan lain. Dengan kewujudan keikhlasan dalam perjuangan parti khususnya dalam BN, tidak harus wujud istilah "tikam menikam dari belakang," kata Musa
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri jamuan malam ulangtahun SAPP ke-14 baru-baru ini mengingatkan anggota parti komponen BN supaya berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan supaya tidak menyinggung perasaan rakan-rakan parti dalam BN.
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
7 hours ago
0 comments:
Post a Comment