alkerohi.
Perang mulut diantara tiga kuda tua di Perlis sesungguhnya mencerminkan dua pandangan yang berbeza dikalangan rakyat tempatan di negeri singa utara itu.
Pertama, ada yang mengatakan Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis sudah dapat berbau bahawa rakyat di negerinya gelisah dengan pelbagai kemelut politik termasuk kenaikkan harga barang harian.
Namun bagi Shahidan, rantaian masalah ini dikiranya berpunca dari persekutuan dan bukan dari dirinya di negeri Perlis.
Oleh itu demi kebimbangan masa depan politik negeri Perlis yang mungkin akan kehilangan banyak kerusi, berlaku pakatan diantara mereka bertiga. Rakyat ditontonkan bahawa ada pergeseran dalaman sehinggakan pendedahan begitu berani dilakukan dimedia oleh dua puak ini.
Pandangan kedua pula adalah, memang berlaku perselisihan dan perebutan kuasa diantara tiga kuda tua di negeri Darul Sunnah itu.
Radzi Setiausaha Agong UMNO yang kedua puloh dilantik pada Jun 2004 . Dikatakan orang kuat Abdullah Ahmad yang pernah bersama-sama menentang Tun Dr Mahathir. Radzi juga dikatakan adalah orang yang berpakat mencantas Tun daripada menjadi perwakilan G7 Kubang Pasu Kedah seketika sebelum berlangsungnya perhimpunan UMNO.
Bagaimana pula dengan sekutu Radzi, Azmi Khalid, 67 tahun Ahli Parlimen Padang Besar yang juga merupakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ?
Apakah kerana Datin Seri Normala Shamsuddin yang dikahwininya pada 25 Ogos 2005 bakal membawa tuah untuk menjadikannya Menteri Besar dan seterusnya pelobi dan perancak ekonomi di negeri Perlis ? Azmi dikatakan rakan sekelas Abdullah di pusat pengajian tinggi menumpang ‘tui’ di atas persahabatan mereka.
Apapun samada ianya dirancang atau sebaliknya, pemerhati politik di Perlis berpandangan bahawa negeri itu kini berada di ambang bahaya. Tempias sokongan rakyat terhadap PAS di Kedah sudah mula dirasakan di sini.
Shahidan yang memenangi DUN Tambun Tulang pada 2004 dengan majoriti 1742 undi pernah pada tahun 1999 memenangi kawasannya itu hanya dengan 887 undi sahaja. Pengundi Melayu di kawasan ini berjumlah 74.3% .
Parlimen Kangar yang diwakili Radzi mempunyai 78.8% pengundi Melayu, 17.7% Cina , 2.2% India dan selebihnya lain-lain keturunan. Pada tahun 2004, tahun yang dikira selamat bagi Abdullah Ahmad dan tahun selamat BN, PAS berjaya meraih 9950 undi di Kangar manakala Radzi mendapat 22,498 undi.
Apakah tahun 2008 merupakan tahun selamat bagi Perlis untuk tiga kerusi Parlimen dan lima belas kerusi DUNnya ?
Mr Clean melonjakkan kiraan undi pada tahun 2004. Pukulan maut di Perlis hanya memenangkan PAS melalui Hashim Jasin di DUN Sanglang. Tetapi tabiat ‘si kaki lena’ Mr Clean sudah diketahui umum sekarang. Kaum keluarga dan kroninya menjadi pilihan utama berbanding rakyat. Menantu lelakinya penentu dan pencorak masa depan negara Malaysia.
Shahidan bukan sahaja dibayangi oleh Abdullah kaki lena, tetapi oleh orang kuatnya Radzi dan Azmi. Malah Normala juga membayangi Shahidan. PAS dan pembangkang pula memanglah seteru politik lamanya.
Bagi Radzi dan Azmi mencantas Shahidan adalah tidak semudah ‘makan kacang’. Ibarat ‘menantikan kucing bertanduk’. Shahidan penyokong kuat Tun Dr Mahathir sudah pasti ada strateginya. Biar kalah jadi abu, menang jadi arang agaknya.
Kemelut politik Perlis adalah satu kesempatan yang selari dengan kebangkitan rakyat di Kedah. Sudah pasti pilihanraya kedua belas akan membawa kenangan pahit kepada Shahidan dan BN seandainya sedikit usaha menyedarkan pengundi di Perlis dapat dimanafaatkan oleh PAS, Keadilan dan DAP.
Samada tiga kuda tua itu bersandiwara atau disebaliknya, nasib mereka akan ditentukan oleh pengundi Perlis.
0 comments:
Post a Comment