cucumatkilau.
17 Feb 2008 Patutlah kita tengok sejak mutakhir ini Dato' Najib, Si Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kini dikaitkan dengan Kes Altantunya seolah-olah berada dalam kedudukan selesa tatkala menghadapi pilihanraya umum ke-12 ini. Gaya dan gelagatnya kelihatan selamba membuatkan kita tertanya-tanya apakah muslihatnya. Beliau yang kini banyak menyerang dan menggempur Kelantan, jelas sekali seakan-akan membelakangkan pengundinya di Pekan. Walhal, umum mengetahui bahawa kedudukan Najib kini sebenarnya dalam kedudukan yang "Panas", itu belum ditambah dengan isu-isu moral yang melibatkan kreadibiliti beliau. Najib kini nampaknya semakin berkokok ditempat orang. Mungkin agaknya, Pak Lah mencabar beliau agar merampas kembali Kelantan jika beliau mempunyai pengaruh yang kuat dan benar-benar diterima oleh rakyat.
Faktor ini mungkin kerana, Pak Lah melihat Najib adalah seteru politiknya yang bakal menikam beliau dari belakang. Ditambah lagi Najib dilabelkan sebagai orang Mahathir yang kini kononnya menjadi musuh utama Pak Lah. Sikap mantan perdana menteri itu yang dilihat lebih suka mengganggu pentabdiran Pak Lah dan sering mengaitkan nama Najib sebagai pengganti Pak Lah sebenarnya amat menggusarkan presiden UMNO itu. Beliau tahu bahawa masih terlalu ramai orang-orang Mahathir dan Najib yang berada dalam UMNO sekarang ini. Maka itulah, Khairy si anak menantunya itu bakal digunakan sebagai peledak untuk mencantas orang-orang Mahathir dan Najib. Mungkin juga antara mereka yang menjadi sasaran ialah Bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. Justeru itu kita tidak hairan mungkin selepas ini ramai lagi pemimpin kanan UMNO yang dikaitkan dengan Team Mahathir akan menjadi mangsa politik mereka sendiri. Apa yang pasti, cantas mencantas pasti akan berlaku dikalangan mereka.
Atas dasar itulah, Najib mungkin terpaksa menyahut seruan Pak Lah agar mengembalikan semula Kelantan ke tangan BN/UMNO. Mereka begitu terdesak kini, tambahan pula bila mengetahui Kelantan kini mempunyai aset yang bernilai iiaitu minyak. Lantaran itu, apa sahaja yang dilihat salah pasti akan dilakukan oleh mereka. Matlamat bakal menghalalkan cara !!. Kunjungan yang bertali arus para pemimpin pusat termasuk Najib sendiri ke Kelantan jelas membayangkan BN/UMNO semakin kemaruk untuk merampas kembali negeri itu dari PAS. Bukan sahaja pemimpin utama mereka mengadakan kempen menakluki Kelantan malahan juga si budak hingusan Khairy Jamaluddin (Calon BN bagi kerusi parlimen Rembau dan merupakan calon Menteri Belia Dan Sukan menggantikan Azahlina). Baru-baru ini kita melihat Khairy juga telah menyediakan sebuah bilik gerakan untuk menarik seberapa ramai rakyat Kelantan balik mengundi. Katanya lebih 50 ribu rakyat Kelantan berada di Lembah Kelang dan mereka bakal menentukan masa depan politik negeri itu. Khairy mengandaikan agar rakyat Kelantan terutamanya golongan muda hanya akan mengundi BN dalam pilihanraya akan datang.
Kemungkinan besar, banyak peruntukkan yang disediakan oleh Khairy dalam usaha memunggah para pengundi ini ke Kelantan. Apa yang kita gusarkan ialah, bukan sahaja anak Kelantan dibawa pulang.. namun mereka juga memunggah para penggundi "Hantu" untuk membantu undi di Kelantan itu nanti. Kehilangan terlalu banyak nama daripada daftar pemilih yang diwartakan SPR baru-baru ini, jelas sekali menunjukkan ada tangan-tangan ghaib yang memberi arahan terhadap semua itu. Soalnya siapakah lagi tangan-tangan itu? Mungkinkah Najib atau Pak Lah. Kemungkinan besar itu pasti ada kerana Si Rashit SPR hanya takut kepada dua lembaga ini sahaja.
Soalnya kini kenapa Najib merasa agak selamat kini, walhal beliau pernah ditewaskan di Pekan dalam pilihanraya umum ke-10 yang lalu. Umum masih ingat ketika itu Najib yang sudah kalah telah dimenangkan oleh Undi Pos yang entah dari mana datangnya. Maka akhirnya Najib menang dengan kelebihan majoriti yang amat memalukan kepada calon PAS. Lebih perit lagi apabila kerusi DUN Chini telah dimenenagi oleh calon KeAdilan dengan kelebihan 5 undi sahaja.
Maka, setelah disiasat terbuktilah kepada kita kenapa Najib seolah-olah berasa selamat di parlimen Pekan kini. Antara sebab-sebab utama yang menjadikan Najib merasa selesa menjelang pilihanraya umum ke-12 ini ialah :-
1. Peneroka Felda Disuapkan Dengan Skim Insurans
Najib telah mengumumkan penubuhan skim insurans berkelompok kepada kira-kira 112,000 peneroka di lebih 50 tanah rancangan Felda di seluruh negara dengan caruman premium ditanggung penuh oleh agensi tersebut. Ketika mengumumkan penubuhan skim itu, Najib berkata, polisi insurans berkonsep syariah itu akan berkuat kuasa 1 Mac ini. Menurut beliau, tidak ada sebarang bayaran dikenakan ke atas peneroka termasuk jumlah premium sebanyak RM75 hingga RM80 seorang setahun. Beliau memberitahu, skim insurans itu melibatkan tujuh jenis pelan perlindungan meliputi kematian dan kemalangan diri iaitu bagi faedah kematian biasa, waris peneroka akan menerima perlindungan sebanyak RM10,000. Katanya, bagi kematian akibat kemalangan, keilatan kekal, keilatan kekal akibat kemalangan dan keilatan separuh kekal akibat kemalangan, waris turut menerima sebanyak RM10,000.
Ini bermakna Najib bakal mendapat undi yang besar dari para peneroka Felda di kawasan Chini yang telah menumbangkan beliau dulu. Tambahan pula Chini adalah kawasan Felda yang kritikal dan bila-bila masa sahaja pembangkang boleh merampas kembali kerusi tersebut. Adalah difahamkan ramai SB "Special Branch" yang telah dihantar ke Chini bagi memantau kawasan tersebut sejak beberapa bulan yang lalu. Namun melihat kepada sambutan Anwar baru-baru ini, Najib bakal berhadapan dengan laluan sukar. Justeru itulah skim insurans dianugerahkan kepada para peneroka. Semua ini adalah rasuah pilihanraya yang jelas. Bukankah SPR sepatutnya mengambil tindakan terhadap perkara ini.
2. Undi Pos Angkatan Tentera Kem Tentera Batu 10, Kuantan
Umum mengetahui Najib telah awal-awal lagi mengarahkan SPR membuat persempadanan semula menjelang pilihanraya umum ke-11 lalu dimana Kem Batu 10, Kuantan telah dimasukkan ke parlimen Pekan. Bagi memudahkan kerja jahat itu, SPR telah mewujudkan satu kerusi DUN baru iaitu Pulau Manis. Apa yang menghairankan kita ialah, dari mata kasar memang jelas Kem Batu 10 yang terletak dalam daerah Kuantan itu termasuk dalam parlimen Paya Besar yang diwakili oleh Siti Zaharah (Bekas Ketua Wanita yang dihumbankan oleh Rafidah dulu). Mungkin atas dasar, Najib juga adalah Menteri Pertahanan maka itu Kem Tentera Batu 10 dihadiahkan oleh SPR kepada beliau. Maka itulah. Najib mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya umum ke-11 yang lalu. Walhal sebelum itu beliau telah terkena pukulan maut oleh pembangkang dalam pilihanraya terdahulu.
Kita juga tahu, sememangnya tidak langsung wujud ketelusan dalam undi Pos! Apatah lagi yang melibatkan anggota tentera dalam sebuah kem. Biasanya kerja mengundi dijalankan oleh para pegawai atasan semata-mata. Bahkan, anggota tentera terbabit tidak pernah pun melihat kertas undi mereka sendiri. Bayangkan di Malaysia ini terdapat ratusan ribu pengundi pos. Siapakah yang akan lebih untung sebenarnya? Bukankah ianya bakal menjadi penyelamat kepada kawasan-kawasan kritikal yang bakal dimenangi oleh parti pembangkang. Apabila didesak oleh rakyat yang cintakan keadilan supaya undi pos dihapuskan, SPR memberi bermacam-macam alasan dan berdolak-dalih. Inilah yang amat mengecewakan kita sebenarnya. Apapun, sememangnya pada kali ini, Najib agak selesa kerana lebih 10,000 undi sudah pasti menanti beliau dari Kem Tentera Batu 10, Kuantan.
3. Mengarahkan SPR Memindahkan Nama Pengundi Ke Pekan
Terbongkar! Inilah kerja terbaru yang dilakukan oleh Najib dalam usaha memastikan kemenangan mutlak beliau di parlimen Pekan sebenarnya. Maklumat ini Cucu terima secara sulit daripada seorang rakan Cucu yang dikenali sebagai Abg Yie. Beliau, yang berasal dari Kelantan namun sudah lama bermastautin di Kuantan itu menjelaskan kepada Cucu bahawa tiga bulan yang lalu beliau telah dihubungi menerusi panggilan telefon dari Pejabat Perhubungan UMNO Pahang untuk memohon kerjasama bagi pertukaran tempat mengundi beliau dan keluarga ke parlimen Pekan. Beliau yang pada awalnya tidak bersetuju akhirnya terpaksa akur apabila didesak beberapa kali oleh individu terbabit. Selepas itu beliau sekali lagi dihubungi pula oleh pejabat SPR yang mengatakan namanya bakal ditukarkan ke Pekan. Beliau ada mengatakan bahawa pejabat perhubungan UMNO ada menjanjikan "Habuan" sekiranya beliau bersetuju.
Beliau sememangnya tidak bersetuju kerana sememangnya menyokong parti pembangkan sejak dulu, kini dan selamanya. Namun setelah beliau didesak dan sememangnya mempunyai banyak hubungan perniagaan dengan kerajaan maka akhirnya beliau terpaksa akur. Dan kini namanya telah ditukar ke kawasan mengundi di Pekan. Cucu tidak dapat menunjukkan bukti disini, atas sebab-sebab keselamatan dan amanat dari beliau. Namun begitu Cucu telah melihat sendiri nama beliau sememangnya telah ditukarkan ke Pekan. Ini bermakna UMNO dan SPR telah melakukan kerja sebegini sejak tiga bulan yang lalu. Mereka menukarkan dengan sewenang-wenangnya nama pengundi di Kuantan ke Pekan. Bagi beliau, parlimen Kuantan dan Indera Mahkota yang terletak di ibu negeri Pahang itu bukanlah kawasan kritikal. Soalnya disini, itu hanya satu keluarga yang dibongkarkan. Mungkin ada banyak lagi diluar sana yang tidak mengetahui atau takut untuk melaporkannya. Bukankah semua ini atas arahan orang yang berkuasa. Siapa lagi kalau bukan Najib anak Tun Razak ini !!.
4. Sokongan Istana Sejak Turun Temurun
Maklumat sulit yang diperolehi Cucu tatkala Najib ditewaskan dalam pilihanraya ke-10 lalu ialah bantuan daripada pihak istana. Biarpun rakyat tidak sepatutnya menderhaka kepada raja mereka. Namun di Pahang, semua rakyat boleh dikatakan tahu dan faham benar sikap mereka yang mendiami Istana Pahang di Pekan. Maka tidak perlulah diulaskan secara detail disini. Apa yang penting menurut ceritanya, rakyat Pahang sudah masak dan tahu bermacam-macam cerita yang melibatkan pihak istana. Bahkan ada yang mengatakan, sememangnya sudah untuk parti pembangkang berkuasa di Pahang. Ini kerana. kemungkinan besar jika menang di Pahang sekali pun, pasti pentadbiran kerajaan negeri tak akan mampu untuk melayan pihak istana. Inilah yang menjadi kemusykilan kita sebenarnya. Jika dulu pahlawan Hang Tuah ada mengatakan "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah !!". Tapi hari ini, apakah kata-kata keramat itu boleh digunakan lagi?. Inilah persoalannya.
Apa yang pasti, pihak Istana Pahang pasti akan membantu Najib agar terus berkuasa di Pekan. Sejak dari zaman ayahandanya lagi, jasa keluarga Najib dilihat memainkan peranan yang besar serta menjadi faktor sokongan istana terhadap beliau. Pihak istana melihat, keluarga Najib telah banyak membawa pembangunan ke Pekan. Ianya dikatakan menjadi sebab utama untuk mengekalkan Najib di situ. Lagipun, Najib juga banyak menyumbang untuk istana. Menyedari hakikat ini, sudah pastilah pihak istana amat menyayangi beliau dan tidak mahu tempatnya digantikan dengan orang lain.
Kesimpulan
Mungkin banyak lagi sebab musabab mengapakah Najib merasa selesa di Pekan sekarang. Lantaran itu sanggup memperjudikan Nasibnya untuk meyerang negeri Kelantan. Diganyangnya Kelantan cukup-cukup !!. Ini jelas membuktikan kepada kita bahawa Najib sebenarnya dipertanggungjawabkan oleh Pak Lah untuk mengembalikan Kelantan ke tangan BN/UMNO dalam pilihanraya umum akan datang. Soalnya disini, biarpun segala faktor ini menjadi peranan utama membantu Najib tetapi sebenarnya SPR lah yang bertanggungjawab untuk memastikan Najib selesa sekarang. Menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan negeri Kelantan daripada jatuh ke tangan mereka. Maka marilah kita sama-sama mengembeling tenaga agar semua ini tidak berlaku. Sama-samalah juga kita berdoa agar Tuan Guru Nik Aziz akan terus kekal berkuasa di negeri "Serambi Mekah" itu, untuk selamanya.
[Ramai yang berpendapat bahawa BN/UMNO memang akan terus berkuasa di Pahang negeri cucu ni. Namun begitu banyak kerusi DUN akan jatuh ke tangan Barisan Alternantif jika pun mereka bermain kotor kali ini. Jika mereka tidak bermain kotor, kemungkinan besar Pahang akan menjadi seperti Kelantan. Apapun, sama-samalah kita terus berjuang ]
0 comments:
Post a Comment