Rakyat Hujung Batu tagih janji BN yang tidak tertunai sekian lama
Mohd Sabri Said
harakahdaily.net
BUTTERWORTH, 18 Feb (Hrkh) - Kami dah tak tahan tinggal di sini dan mahu penempatan baru" itulah keluhan sebahagian besar penduduk Kampung Baru, Hujung Batu, Butterworth ketika Harakahdaily meninjau kebakaran yang memusnahkan sembilan buah rumah semalam.
Kebakaran yang berpunca dari rumah keluarga India dipercayai dari api lilin turun menyambar beberapa buah rumah lagi ekoran kepadatan kediaman.
Lima buah keluarga Melayu dan empat India hangus sama sekali dalam kebakaran tersebut namun bagaimana pun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Seorang suri rumah Jamaliah Othman berkata, janji kerajaan mahu memberikan penempatan baru seperti di Ampang Jajar, Permatang Pauh masih lagi di awang-awangan.
Padahal flat yang dibina telah pun siap dan sebahagianya telah diduduki oleh setinggan yang tinggal di tanah Tol sekitar Butterworth, sebelum ini.
Perpindahan merupakan impian kami sambungnya, kerana penempatan di sini terlalu lama dan tidak lagi sesuai kerana kurang infrastruktur asas seperti laluan masuk yang sempat, tiada halaman, paip bomba bertekanan rendah dan sebahagiannya.
"Mana dia janji Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam, Subbaiyah a/l Palaniapan yang mahu memberi penempatan baru pada kami. Beliau hanya berjanji setahun, dua tahun sampai sekarang kami masih di situ, " jelasnya.
Laluan masuk yang sempit katanya, menyukarkan bantuan bomba tambahan lagi kereta bomba pertama tergelincir dan tersekat di pintu masuk kampung manakala laluan ke dua juga tidak boleh dilalui ekoran terlalu banyak kenderaan yang diletakan di bahu jalan.
Jirannya, Salamah Rejab pula berkata, bukan itu sahaja bahkan paip bomba yang dipasang di hujung jalan mempunyai tekanan yang rendah sekaligus menyukarkan pasukan bomba bertindak cepat.
Memandangkan berbagai masalah yang timbul dan banyak lagi pada masa hadapan wajar setinggan yang berusia lebih 30 tahun itu dipindahkan ke penempatan baru yang lebih sesuai dengan kemajuan negara dan Pulau Pinang itu sendiri.
"Pindah adalah jalan terbaik untuk kami tapi biarlah yang berpatutan dengan keadaan kami yang daif.
"Jangan pula bila berpindah kami pula dibebankan dengan hutang atau sewaan yang tinggi, katanya.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan, Osman Jaafar memberitahu, kebakaran semalam mengakibatkan tiga orang ahli PAS hilang tempat bergantung termasuk seorang Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan, Asri Harun dan seorang penyokong pembangkang.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasarudin Mat Isa sempat meninjau kejadian tersebut apabila di bawa oleh Unit Amal Pulau Pinang selepas berceramah di Sungai Kechil, Sungai Bakap, Nibung Tebal setelahsehari suntuk terlibat dengan program 'Jelajah Presiden' di Pulau Pinang.
Sesiapa yang ingin bertanyakan keadaan mangsa yang lain atau menyumbangkan wang ringgit boleh menghubungi Ketua Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS Kawasan, Azman Din di talian 012-4397327
Unit Amal bergegas membantu mangsa
Unit Amal Pulau Pinang merupakan organisasi terawal membantu membersihkan kawasan kebakaran yang menghanguskan sembilan buah rumah di Kampung Baru, Hujung Batu semalam.
Kira-kira 50 orang pasukan berbaju merah itu diketuai oleh Pengarah Unit Amal Negeri, Norazman Ishak bertindak mengutip saki baki barangan yang masih tinggal manakala kayu dan serpihan zink dilonggokan di sudut selamat.
Menurutnya, sebelum itu Unit Amal Kawasan Bagan melakukan rondaan kampung serta menjagai keselamatan penduduk yang terkejut dengan kejadian itu.
"Kami akan melaksanakan tugas sebaik mungkin untuk rakyat tidak kira apa pun ideologi politik sekali pun," jelasnya.
Ramai penduduk mengucapkan ucapan terima kasih pada pasukan dan kerja kebajikan itu adalah kerja amal pertama selepas menghadiri Jambori Amal peringkat negeri yang diadakan di Kebun Haji Sharif, Teluk Kumbar, Balik Pulau pada 9 dan 10 Februari lepas. - mr
ADA FUNFAIR... UNSUR JUDI???
7 hours ago
0 comments:
Post a Comment