klpos.com
KES Nurul Izzah Anwar hendak bertanding ini istimewa sikit, terutamanya bagi generasi muda yang menganggap Izzah adalah ikon, simbol perlawanan, seorang anak yang bangun menentang kekuasaan/daulah untuk keadilan bagi 'papa'nya, dan sekaligus bangsa dan negaranya. Selain itu, secara peribadi, saya menggangap Izzah (dipanggil begitu) seorang kawan. Seorang kawan yang baik. Kerana ini bila ada khabar Izzah hendak bertanding, saya cukup minat hendak tahu di mana?
Pemilihan tempat yang sesuai untuk beliau bertanding bukan soal kecil, sebagai ikon generasinya, yang membawa gelar Puteri Reformasi, Izzah membawa beban berat di bahunya, tambahan pula, dia anak sulung Anwar Ibrahim maka beban yang berat terasa bertambah berat.
Dalam congak saya, seorang kawan, kalau Izzah mahu bertanding, biarlah dia bertanding di kawasan yang selamat, erti selamat itu barangkali peluang menang 60 peratus ke atas. Misalnya Kota Bharu, atau kawasan yang 50-50 seperti DUN Hulu Kelang.
Ini penting supaya beliau boleh membawa suara generasi muda ke Dewan Rakyat. Beliau berkarisma, ada gaya, mana-mana parti yang mempunyai ahli Parlimen seperti Izzah, imej parti tersebut akan naik.
Sebab itu, bila timbul isu Izzah mahu diturunkan lawan Shahrizat di Lembah Pantai, ramai yang terkejut. Bukan terkejut gembira, tapi terkejut sedih, "Apa gilanya PKR ini, sudahlah tiada calon, calon utama yang ada hendak diturunkan lawan gergasi?" kata seorang lagi kawan masa minum teh di restoran Mydin Bangsar petang semalam.
Bayangkan calon muda paling berpotensi PKR, yang baru pertama kali bertanding atau istilahnya 'dara' lagi, mahu diturunkan berlawan dengan calon Wanita Umno paling popular. Kata orang, saham Shahrizat kini lebih tinggi dari bossnya Rafidah Aziz sendiri.
Selain itu, Shahrizat juga terkenal kerana jaga kawasan. Beliau antara ahli Parlimen yang cukup kerap selalu turun padang. Jadi soalnya, mengapa Izzah 'dipaksa' bertanding di tempat yang beliau hampir pasti kalah?
Mungkin pada sesetengah orang, Izzah adalah calon yang sesuai bertembung dengan Shahrizat, dari segi populariti Izzah memanglah sesuai, boleh diusung ke sana ke mari masa berkempen, ramai yang mahu bergambar, jentera pun semangat hendak bekerja, tapi soalnya dalam politik yang penting bukan proses tapi hasilnya.
13 hari masa berkempen, seronoklah, tapi bayangkan selepas keputusan diumumkan. Esoknya di dada akhbar,tajuk besarnya, "Nurul Izzah Anwar kalah" atau "Pengundi tolak anak Anwar Ibrahim" atau "Tiada tempat untuk Nurul Izzah Anwar"
Yang kalah hari itu, bukan Nurul Izzah sahaja, tetapi Anwar Ibrahim dan PKR juga.
Dan pada Nurul Izzah sendiri, bayangkan senario itu, bayangkan seorang pemimpin muda, memulakan rekod politiknya dengan kekalahan. Dan alangkah lebih malang jika majoritinya pula besar. Saya sebagai seorang kawan enggan membayangkan yang buruk-buruk seperti itu.
Sebab itu, pada saya, PKR jika mahu menurunkan Izzah dalam pilihanraya kali ini, carilah kawasan yang 'jernih' supaya suara anak muda yang progresif dapat berkumandang di Dewan rakyat atau DUN.
Tidak adil, pada Izzah, dan pada generasi muda, jika beliau diturunkan bertanding di kawasan 'kelabu' atau 'hitam' yang hanya sekadar untuk menguji sokongan rakyat.
Kerana itu, bila saya membawa tajuk rencana 'guru' saya, Mohd Sayuti Omar, yang mahu Izzah diturunkan bertanding menentang Khairy Jamaluddin, saya kurang setuju.
Secara teorinya baik, tapi lebih baik jika dicarikan kawasan 'jernih' untuk memastikan nama Izzah tidak hanya disebut 13 hari ketika berkempen sahaja, tetapi kekal dalam ingatan rakyat Malaysia untuk empat tahun seterusnya.
Apapun, ini hanyalah pandangan seorang kawan, tentulah congak panglima perang seperti Anwar Ibrahim dan Azmin Ali lebih tajam dan tepat dan kepada Nurul Izzah, selamat maju jaya.
No2umnO -
Eeee .... mudanya
Eeee .... Macam muda
PEMIMPIN PN OTAK KEMETOT.
3 minutes ago
0 comments:
Post a Comment