kadirjasin.blogspot
SEORANG aktivis Umno di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia yang lama saya kenal menyatakan kehampaannya kepada saya kerana “laman-laman berita Internet dan blog-blog berat sebelah.”
Katanya laman-laman berita Internet dan blog-blog lebih memihak kepada pembangkang dan tidak adil kepada Barisan Nasional dan Umno.
Saya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana melayari laman-laman berita Internet dan blog-blog. Saya sendiri agak terperanjat mendapati banyak penggiat Umno yang segenerasi dengan saya yang melayari laman-laman berita Internet dan blog-blog.
Jadi tidaklah tepat anggapan bahawa semua pembesar dan aktivis Umno generasi saya yang buta IT atau hanya generasi muda yang celik IT.
Saya tidak berhasrat bercakap bagi pihak laman-laman berita Internet dan blog-blog lain. Saya hanya boleh bercakap mengenai blog ini.
Tetapi sebelum itu saya ingin menyebut bahawa aktivis Umno itu terdiam apabila saya merujuk kepada liputan media massa arus perdana – akhbar, televisyen dan radio.
Saya bertanya kepada beliau, apakah media massa arus perdana yang dimiliki atau dilesenkan oleh pemerintah adil dan tidak berat sebelah?
Blog ini bukanlah blog berita atau kempen. Ia lebih berupa laman untuk menganalisis isu semasa, peristiwa dan perwatakan – isu-isu seperti politik, ekonomi dan jenayah.
Contohnya mengenai kenaikan kadar jenayah dan kenaikan harga barang-barang pengguna.
Peristiwa-peristiwa seperti tunjuk perasaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), kempen pilihan raya bersih (Bersih) dan pemancaran koridor-koridor mega ekonomi oleh pemerintah.
Dan hal-hal yang berkaitan dengan perwatakan seperti perwatakan Perdana Menteri dan pembesar-pembesar politik lain termasuk soal kemunculan mendadak Khairy Jamaluddin sebagai aktivis Umno dan broker kuasa.
Adalah di luar kawalan saya jika ramai daripada yang mengulas dan berbahas adalah mereka yang mempunyai isu atau sungutan terhadap pemerintah, pembesar dan parti-parti politik pemerintah.
Ini adalah ciri blog. Ia adalah ruang demokratik untuk sesiapa sahaja yang mahu membaca dan bersuara.
Saya tidak boleh menyekat orang yang tidak sependapat dengan pemerintah daripada membaca blog ini dan membuat ulasan.
Begitu juga saya tidak pernah menyekat orang yang pro-pemerintah daripada membaca dan membuat ulasan mempertahankan dan menyokong pemerintah.
Malah, banyak juga pembahas blog ini yang membuat kritikan dan serangan peribadi terhadap saya yang saya siarkan. Ini adalah antara antara ciri blog. Semua orang bebas bersuara asalkan tidak melampaui batasan.
Akhir sekali, saya maklumkan kepada aktivis Umno itu bahawa blog ini adalah daya usaha peribadi saya seorang diri. Saya yang membiayainya, saya yang menulisnya, saya yang menyuntingnya dan saya yang menjadi “moderator”nya. Tiada orang atau pihak lain yang terbabit.
Lagi pun, kalau benar seperti kata seorang pembesar pemerintah iaitu para blogger hanya “syok sendiri” tidaklah ada apa-apa yang hendak dirisaukan. Biarlah blogger syok sendiri.
Terima kasih.
Mar 4, 2008
Blog Sebagai Ruang Demokratik Massa
Labels: Blogger
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment