malaysiakini
Parti-parti pembangkang hari ini mengecam keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membatalkan pada saat-saat akhir penggunaan dakwat untuk menanda kuku atau jari pengundi, yang menurut mereka, boleh menangani masalah pengundi hantu.
Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali mendakwa, keputusan tersebut merupakan bukti jelas bahawa SPR berpakat dengan Barisan Nasional (BN) untuk membolehkan berlakunya penipuan dalam pilihanraya umum kali ini.
Beliau menyifatkan alasan 'keselamatan' dan 'ketenteraman awam' sebagai sesuatu yang karut, yang sering digunakan di pelusuk dunia untuk mengekang kebebasan demokrasi.
Menurutnya, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang bukan sahaja mewakili parti-parti politik tetapi juga masyarakat sivil, telah berkempen tanpa penat lelah supaya dakwat tersebut digunakan bagi menangani masalah pengundi hantu.
Syed Husin berkata, calon-calon juga mendapati berlaku penyelewengan dalam undi pos dan mendedahkan beratus, malah beribu alamat palsu, pengundi yang sudah meninggal dunia dan pengundi berusia lebih 100 tahun, wujud dalam senarai pemilih.
Bagaimanapun, katanya, keputusan SPR itu juga menandakan bahawa pembangkang mendapat sokongan hebat rakyat menjelang pilihanraya umum 8 Mac depan.
"Risikan BN mesti telah mendapati bahawa para pengundi beralih kepada pembangkang.
"Keadaan itu, memaksa mereka sekali lagi menggunakan pengundi hantu dan cara-cara lain lagi untuk menipu, bagi meminimakan kehilangan undi," kata Syed Husin.
Fail petisyen
Sementera itu pemimpin PAS yang juga seorang anggota Bersih, Dr Dr Dzulkifli Ahmad turut menyuarakan kekesalannya terhadap keputusan SPR itu.
"Ini bermakna tiada satupun tuntutan kita yang dipenuhi. Kita fikir, sekurang-kurangnya tuntutan (penggunaan dakwat) akan dilaksanakan," kata beliau yang juga pengarah pusat penyelidikan PAS.
"Kami ingin tegaskan di sini bahawa kita menyertai pilihanraya ini dengan bantahan," katanya sambil menambah bahawa kebimbangan mereka selama ini memang ada kebenarannya.
Bagaimanapun, Dzulkifli menggesa calon-calon dan penyokong pembangkang supaya bertenang dan menumpukan kepada tugas, iaitu menang dalam pilihanraya umum akan datang.
"Kita tidak akan memusnahkan peluang kita untuk menang dan tidak akan melakukan apa-apa yang tidak diingini," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, selepas pilihanraya, Bersih akan memfailkan petisyen berhubung perkara tersebut.
Sidang akhbar Mafrel
Sementara itu, Naib Presiden, R Sivarasa juga kesal dengan tindakan SPR membatalkan penggunaan dakwat tersebut.
"Saya begitu terkejut dengan keputusan tersebut. Sejak Julai lalu mereka memberitahu rakyat akan menggunakan dakwat tersebut.
"Dan alasan yang diberikan untuk membatalkan penggunaan dakwat tersebut adalah karut.
"Apa kena mengena menanda jari seseorang itu dengan keselamatan negara?" soalnya.
Manakala badan pemantau pilihanraya, Mafrel, ketika dihubungi, berkata ia akan mengadakan sidang akhbar esok untuk mengulas perkara tersebut.
Pengumuman mengenai pembatalan penggunaan dakwat tersebut dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman selepas bermesyuarat di Putrajaya petang tadi.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berasaskan nasihat dari segi perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam.
Mar 4, 2008
Pembangkang kecam SPR
Labels: Belit SPR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Gunakan kesempatan ini untuk membuktikan kepada rakyat bahawa SPR adalah penipu dan bersekongkol dengan BN untuk menipu dalam pilihanraya ini. Jelaskan kepada rakyat bahawa pembatalan penggunaan dakwat ini sebagai buktinya disamping segala bukti yang sedia ada.
Gunakan kesempatan yang tinggal untuk berkempen tentang ini terutama terhadap mereka di atas pagar, insyaallah, segala penipuan tersebut tidak dapat melawan semua undi yang BA dapat dengan adanya undi mereka di atas pagar kepada BA.
Post a Comment